Tuesday, April 21, 2009

Teroka muzik rock tanpa had


JENAMA Alexa di persada muzik Indonesia boleh diumpamakan seperti bayi sedang bertatih.

Namun, jika menyingkap pengalaman mereka nyata kumpulan yang dianggotai lima jejaka ini bukan calang-calang pemuzik.

Alexa sendiri adalah band baru yang dibarisi orang lama seperti Ridzky, bekas ahli kumpulan Tiket, Satrio (Maliq & D'essentials), Rizki (Manis Sedap), JMono (Parkdrive), dan Fajar (Stepforward).

Berlatarkan ideologi dan jalur muzik yang berbeza, lima sahabat ini bergabung dan membentuk satu kumpulan dana muzik yang digelar powerpop.

Sedikit menyimpang daripada kebiasaan muzik band dari Indonesia yang terikat dengan genre brit pop, Satrio bermain di posisi gitaris juga penyanyi latar memaklumkan, fokus Alexa adalah meneroka muzik rock tanpa had dan batas.

"Sememangnya jalur powerpop ini muncul secara kebetulan. Seawal penubuhan kumpulan ini, kami mulanya merancang mengetengahkan konsep rock alternatif.

"Bagaimanapun, ia berubah apabila kami kerap 'jamming' bersama. Gaya muzik dan latar belakang kami yang pelbagai, ada yang asas muziknya jazz, metal, rock sampailah ke dance mewujudkan satu pembentukan melodi yang sangat unik.

"Yang mana pada pendapat saya tidak elok jika mengkhususkan konsep kami sebagai rock alternatif saja sedangkan hasil yang tercipta meliputi lebih daripada itu.

"Maka, kami putuskan konsepnya sebagai powerpop, kerana semua muzik yang terhasil hari ini bermula atau asasnya daripada pop kemudian suntikan pelbagai elemen diberikan hingga membentuk genre muzik yang berbeza," katanya.

Ditubuhkan pada Disember 2007, Alexa menampilkan Aqi selaku vokalis, Rizki (gitaris/ vokal latar), JMono (bassist) dan Jar (dram) pula mahu meneroka muzik rock tanpa had dan batas.



Menghuraikan sebab dan pendirian menggunakan nama wanita untuk memperkenalkan nama kumpulan, Satrio berkata,



mereka berusaha membuatkan band ini tampak seimbang.

"Kami semuanya lelaki, akan sangat menarik dan seimbang sekiranya band ini diberikan nama perempuan. Alexa dalam pengertian bahasa Yunani adalah 'pembela lelaki," katanya.

Alexa sempat mengunjungi Kuala Lumpur awal April lalu untuk menjayakan promosi album sulung mereka yang diaturkan Warner Music Malaysia sekali gus menjayakan showcase di kelab Zouk, Kuala Lumpur pada 9 April lalu, jam 8 malam.

Durasi persembahan mengambil masa 30 minit dan antara lagu yang disampaikan Jangan Pernah Pergi yang menjadi single pertama Alexa, Kau Khianati dan Tak Kan Pernah Bisa.

Sedikit info mengenai album sulung mereka, 10 lagu dimuatkan dan ditambah dengan sebuah 'hidden track' juga hasil implementasi daripada konsep muzik mereka.

"Sebelas lagu ini kami anggap paling mencerminkan awal karier Alexa, baik dari segi muzik mahupun lirik. Lagu ini mampu mewakili dan mempamerkan karakter setiap anggota secara peribadi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: