Tuesday, April 21, 2009

Que tolak tawaran luar KL


Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah seminggu berlalu, namun bagi pelakon dan pengantin baru, Que Haidar, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular di majlis kemuncak anugerah di Arena Of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini.

Malah, ketika menanti detik pengumuman itu, Que, suami kepada pereka tari, Linda Jasmine, sangat yakin keputusan itu tidak akan berpihak kepadanya.

Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que berkata semua ini adalah rezeki selepas berkahwin dan seterusnya membuktikan usaha kerasnya sekian lama akhirnya membawa tuah.

"Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Nampaknya, rezeki saya selepas berkahwin semakin melimpah-ruah.

"Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki anak sulung yang bakal lahir nanti," kata Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.

Que, selepas bertahun-tahun mencuba, akhirnya berjaya menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997, namun tidak pernah berasakan dirinya begitu hebat kerana memenangi anugerah itu.

"Setiap yang tercalon mempunyai populariti tersendiri dan tidak semestinya timbul isu tak popular jika gagal memenangi pencalonan berkenaan.

"Lagipun, bukan mudah untuk mempertahankannya pada masa akan datang kerana semuanya bergantung kepada kepercayaan peminat.

"Bagaimanapun, saya akan terus melakukan yang terbaik kerana inilah sumber rezeki saya," kata Que yang sebelum ini pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin dan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-19 pada 2006.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, nyata Que tidak sabar untuk bergelar seorang ayah dan mengakui kehidupannya sekarang ini semakin bahagia bersama isteri dan Qalif Khan (anak Linda hasil perkahwinan pertamanya).



"Kehidupan rumah tangga saya sangat membahagiakan. Saya juga bersyukur kerana isteri sangat memahami jadual kerja saya walaupun dia dalam keadaan mengandung ketika ini.



"Sebagai suami, saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya dengan sentiasa berada di sampingnya.

"Disebabkan itu, saya terpaksa menolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur kerana ingin memastikan setiap hari saya mesti pulang ke rumah," katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya, kata Que, mulai Jun ini dia akan menjalani penggambaran filem 'Romance' yang diadaptasi daripada novel 'Lagenda Budak Setan' dan antara pelakonnya ialah Farid Kamil dan Lisa Surihani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: