|
|
KETIKA Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) ditubuhkan pada 1984, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 33, belajar dalam darjah dua. Oleh kerana keluarganya menetap di Petaling Jaya, selalu juga dia lalu depan bangunan TV3 yang ketika itu di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur dan berazam suatu hari nanti akan bekerja di situ kerana baginya TV3 membawa kelainan dalam dunia penyiaran tanah air. |
Meningkat dewasa, TV3 terus menjadi saluran televisyen kegemaran dan bagaikan satu kemestian jika tidak ke mana-mana dia akan menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI). Timbul pula minat untuk muncul sebagai pengacara MHI. Bagi memenuhi impiannya menyertai bidang penyiaran tanah air, Ally menyambung pengajiannya di Universiti of The Pacific di Stockton, California, Amerika Syarikat dalam jurusan Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem peringkat ijazah sarjana muda selama dua tahun.
"Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya tidak menyambung ke tingkatan enam kerana pada saya peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) agak sukar. Jadi, saya mengikuti pengajian Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem di luar negara yang dilihat antara kursus yang selari dengan cita-cita saya untuk menceburi bidang penyiaran sekembali ke tanah air.
"Namun, kerjaya awal saya bukan bermula di TV3, tetapi menjadi guru di Sekolah Kampung Tunku, Petaling Jaya dan Sekolah Menengah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya. Merasa juga sekejap menjadi pensyarah Kolej Yayasan Pelajaran Mara di Cheras.
"Pada 1999 barulah saya mencuba nasib dengan memohon sebagai wartawan penyiaran di TV3, tetapi saya ditawarkan menjadi pengacara terlebih dahulu. Rancangan pertama saya kendalikan ialah Kuiz Mana Popular dan Famili Ceria selama dua musim. Sebaik selesai Famili Ceria, saya ditugaskan mengacarakan rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan untuk dua musim.
"Meskipun pada mulanya bidang pengacaraan tiada dalam senarai kerjaya impian, tetapi apabila diberi peluang saya buat sebaik mungkin. Alhamdulillah, hasilnya tidak menghampakan.
"Selepas itu baru saya diserap menjadi wartawan penyiaran sepenuh masa di TV3 dan setia sampai sekarang. Saya pun tak sangka tahap kesetiaan saya begitu tinggi dengan stesen televisyen ini.
"Saya juga gembira apabila dapat muncul dalam MHI seperti yang diidamkan dan kini dilantik sebagai penerbit rancangan itu," katanya.
Selepas 10 tahun berkhidmat dengan TV3, minggu lalu, dia diberi peluang mewawancara mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah sempena peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kelima. Melengkapkan profil kerjayanya, Ally turut diberi kesempatan mewawancara Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak. Wawancara itu dibuat di kediaman rasmi masing-masing di Putrajaya.
Wawancara bersama Abdullah sudah disiarkan di TV3 Jumaat lalu manakala wawancara bersama Najib pula disiarkan dua hari selepas itu (Ahad).
"Peluang diberikan majikan suatu penghargaan dan penghormatan tertinggi buat saya yang tidak pernah terbayangkan sebelum ini. Saya mendapat dua peluang sekali gus mewawancara Pak Lah dan Datuk Najib. Wawancara itu pula diadakan secara eksklusif berdua dengan mereka saja.
"Sebagai persediaan, saya belajar dan menyelidik latar diri mereka, sejarah kepimpinan dalam Umno dan pentadbiran negara. Mewawancara mereka tidak sama seperti mengacarakan program lain termasuk program saya sendiri, Ally, yang baru saja habis bersiaran. Segala fakta perlu lengkap dan jelas kerana membabitkan urusan tertinggi negara.
"Saya juga perlu tahu dasar dan kempen yang mereka perjuangkan selama bergelar pemimpin. Melengkapi tugas sebagai wartawan penyiaran, semua bahan bacaan dibaca dan dikaji termasuk buku berkaitan politik dalam serta luar negara, tetapi saya tidak pernah bercita-cita menjadi ahli politik. Saya senang dengan tugas sekarang sebagai penyebar maklumat kepada masyarakat.
"Impian saya ingin terus berjaya dalam bidang penyiaran dan pengacaraan. Setinggi dan sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang ini, biarlah masa menentukan," katanya.
Dengan ketinggian yang sederhana, mudah mesra dan memiliki senyuman manis disertai sepasang kaca mata yang tidak pernah berpisah daripadanya, secara tidak langsung dunia penyiaran mengangkat anak muda ini ke dalam dunia selebriti. Masih bujang dan dengan kepetahan berkata-kata, Ally juga mencipta populariti tersendiri sehingga dia turut menjadi sasaran gosip. Fasha Sandha pernah dikatakan intim dengannya dan terbaru, Elyana.
Mengakui pernah terlarut dan hampir hanyut seketika dek tumpuan berlebihan diberikan terhadapnya dan dikaitkan pula dengan artis popular, Ally segera beristighfar dan bermuhasabah diri.
"Saya terkhayal seketika, tetapi cepat mengingatkan diri ini semula apakah tujuan saya menceburi bidang ini. Saya ingin menjadi wartawan penyiaran dan bukannya artis. Saya perlu kenal pasti di mana keutamaan saya.
"Ia membuatkan saya sedar siapa saya sebenarnya. Sebagai wartawan, saya berkenalan dan berkawan dengan ramai orang, tetapi pandangan masyarakat berbeza terhadap saya apabila dilihat rapat dengan artis. Saya tidak boleh memilih kawan, nanti dilabel sombong.
"Saya terima apa saja pandangan masyarakat dan menilai balik perbuatan saya sama ada betul atau tidak. Kenapa saya hendak melatah kerana tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang negara dan adat kita. Saya hanya berkawan dengan mereka dan tidak pergi ke tempat yang menimbulkan kecurigaan masyarakat.
"Jika tiba masanya hendak mencari calon isteri, saya mahukan wanita yang melihat diri saya sebagai Ally Iskandar, bukannya insan yang wajahnya sering terpampang di televisyen. Terima saya sebagai insan biasa.
"Tidak mahu memilih peminat sebagai isteri kerana mereka meminati saya atas kapasiti selebriti. Saya mahukan wanita biasa menjadi 'rakan kongsi' hidup saya. Perkahwinan itu nanti akan melengkapkan diri saya sebagai seorang lelaki. Pun begitu saya tidak terburu-buru mencari calon isteri, kalau ada, adalah," katanya.
Ally baru selesai mengacarakan rancangan bual bicaranya sendiri, Ally. Bersiaran sebanyak 13 episod, Ally mengharapkan rancangan itu bersambung kerana sambutannya bagus. Gayanya yang santai dan bersahaja membuatkan penonton sentiasa menunggu hari siarannya setiap Rabu jam 11 malam.
"Siapa tak seronok ada rancangan bual bicara sendiri dan berharap ada musim baru. Tiga belas minggu bersiaran terasa begitu cepat masa berlalu. Tidak puas berinteraksi dengan penonton," katanya.
>Profil
NAMA: Ally Iskandar Mohd Mardzi
TARIKH LAHIR: 13 Januari 1976
USIA: 33 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ZODIAK: Capricorn
STATUS: Bujang
KERJAYA: Penerbit dan pengacara
CITA-CITA: Pengamal media prolifik
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Pengajian Filem University of the Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat
IDOLA: Richard Quest, Ryan Seacrest, Anderson Cooper
MAKANAN KEGEMARAN: Nasi lemak masakan ibu.
MINUMAN KEGEMARAN: Kopi O' dan Neslo
HOBI: Bola keranjang
PENGALAMAN: Antaranya Kuiz Mana Popular, Sinaran Pasport kegemilangan, ResQ, Singgah Sahur, Majalah 3 - edisi khas perkahwinan Aidid dan Norzie,
Tiada Rahsia - Siti Nurhaliza, Anugerah Juara Lagu, Konsert Jomheboh, Malaysia Hari Ini, Wawancara Khas bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, Wawancara Khas bersama Datuk Seri Najib Razak, Ally, Program Khas sempena Majlis Angkat Sumpah Perlantikan Perdana Menteri keenam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: