|
|
MENONTON sesuatu penerbitan baik berupa drama, telemovie, filem mahupun iklan dan program televisyen, pastinya membuatkan ramai yang berkeinginan untuk mengetahui segala selok belok proses pembikinan penerbitan tersebut.
Kerja-kerja di belakang tabir dan apa jua 'rahsia' yang berlaku sepanjang proses penggambaran dijalankan merupakan sesuatu yang menarik untuk diambil tahu.
Melihatkan keinginan ramai itu, Nafalia Corporation Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menerbitkan sebuah program televisyen berjudul Layar Lensa yang memaparkan aktiviti-aktiviti penerbitan tempatan.
Bakal bersiaran setiap Jumaat pada pukul 4.30 petang di TV1 bermula 10 April ini, Layar Lensa arahan Nik Azizah Hassan menampilkan pelakon popular, Sherry Ibrahim selaku hosnya.
Pertama kali berkecimpung dalam dunia pengacaraan, melalui perantaraan Sherry, penonton akan dibawa melihat bagaimana sesebuah penerbitan itu dilakukan.
Empat segmen diketengahkan dalam program selama setengah jam itu seperti Roll Camera & Action, Prebiu, Glosari & Indeks Penerbitan dan Variasi.
Lebih menarik, Layar Lensa turut menemu bual warga kerja penerbitan yang terdiri daripada krew produksi, pengarah, penerbit, penulis skrip, pelakon, jurukamera serta pengurus produksi.
Menurut Penerbit Eksekutif Layar Lensa, Mohd. Najib Jaafar, selain sebagai tontonan biasa, program berkenaan amat berguna kepada pelajar yang mengambil jurusan perfileman atau penerbitan.
Melalui Layar Lensa, jelasnya, kalangan pelajar akan mendapat inspirasi untuk menceburi dunia penerbitan satu hari nanti.
"Layar Lensa akan meninjau sendiri lokasi penggambaran sesebuah penerbitan. Daripada situ, kita akan menemu bual mereka yang terlibat dalam penerbitan berkenaan.
"Mesej yang ingin disampaikan dalam program ini adalah untuk memberi pengalaman, pengetahuan dan perspektif lebih jelas kepada audiens mengenai proses pembikinan penerbitan.
"Ia juga sebagai motivasi kepada sesiapa yang mahu menceburi dunia penerbitan yang menjanjikan masa depan cemerlang,'' katanya ketika ditemui Hits pada sesi penggambaran Layar Lensa di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar Mohd. Najib, Layar Lensa sebanyak 13 episod diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Penerbitan Televisyen Malaysia.
Jelasnya, program itu menjadi platform kepada penerbit dan pengarah untuk mempromosikan hasil karya mereka kepada penonton.
"Setakat ini, kerjasama penerbit dan pengarah di dalam Layar Lensa cukup baik. Kita mengalu-alukan penyertaan mereka untuk menonjolkan karya masing-masing,'' katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Sherry selaku hos Layar Lensa, Mohd. Najib berkata, pelakon tersebut mempunyai pakej tersendiri selain bakat beraksi di hadapan kamera.
"Gaya dia (Sherry) cukup santai dan punyai bakat yang orang lain tidak nampak. Kariernya sebagai pelakon membuatkan dirinya tidak kekok di hadapan kamera dan mengetahui selok belok penerbitan,'' katanya.
Pengalaman manis Sherry
Sementara itu, berkongsi pengalaman sebagai hos Layar Lensa, Sherry menjelaskan, ia merupakan pengalaman yang sukar dilupakan kerana itulah kali pertama kali dia menjadi pengacara.
Menganggap ia bukan kerja mudah, Sherry berpendapat, dia cukup bertuah kerana dipilih untuk menjadi hos dalam rancangan itu.
"Ini merupakan satu lembaran baru dalam kamus hidup saya. Selama ini menjadi pelakon, kini saya menceburi bidang pengacaraan pula.
"Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya kena ada banyak informasi tentang filem, drama dan apa jua penerbitan lain. Bagus juga kerana kini saya banyak belajar tentang dunia penerbitan.
"Apa pun, saya masih belajar dan berharap akan dapat meningkatkan kemahiran selaku hos program,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: