|
|
APAPUN persepsi orang, pelakon Abby Abadi tetap mempertahankan hubungan akrabnya dengan pendatang baru di persada seni tanah air, Zulkifli Ariffin (Zul), 23, yang heboh diperkatakan sampai hari ini. |
Bagi Abby atau nama sebenarnya, Arbaieyah Abdul Manan, 31, selepas hidup solo, dia bebas untuk berkawan dengan siapa saja yang disukainya.
“Saya akan terus berkawan dengan Zul kerana saya selesa dengannya. Saya juga tidak berasa persahabatan kami ini sebagai beban. Kami juga akan pastikan untuk sama-sama menjaga maruah keluarga masing-masing dalam perhubungan ini.
“Adakah saya melakukan kesilapan untuk terus berkawan dengannya? Setakat ini, Zul tidak beri sebarang masalah pada saya begitu juga sebaliknya. Apa yang penting, kami sama-sama mencari rezeki halal dalam bidang seni,” katanya.
Abby berkata, dia juga kesal kerana ada pihak yang menjaja cerita, penerbit dan pengarah drama menawarkan peluang berlakon kepada Zul semata-mata kerana pengaruhnya yang turut sama berlakon dalam produksi berkenaan.
“Sebenarnya, ia terpulang pada penerbit untuk mengambil pelakon bekerja dalam produksi mereka. Siapalah saya untuk memutuskan perkara seperti itu kerana saya hanya pelakon saja dalam produksi berkenaan.
“Pemilihan pelakon diputuskan penerbit yang sanggup melabur untuk pembikinan drama berkenaan.
Isu ini juga tidak sepatutnya ditimbulkan orang kerana ia menjatuhkan maruah dan imej saya sebagai pelakon,” katanya.
Abby berkata, sebagai pelakon lebih berpengalaman, tiada salahnya dia berkongsi ilmu lakonan dengan Zul yang baru mencari tapak dalam bidang seni.
“Salah ke saya bantu orang baru sepertinya? Bukan semua tawaran berlakon yang Zul dapat kerana bantuan saya.
Bagi saya, Zul juga mempunyai bakat dan kelebihannya tersendiri untuk menarik perhatian penerbit mengambilnya berlakon dalam produksi mereka,” katanya.
Ditanya perancangan untuk berkahwin selepas kembali solo, Abby yang juga ibu kepada tiga anak ini berkata, perkara itu tiada dalam agenda hidupnya buat masa ini.
“Saya berasa seronok untuk kembangkan kerjaya lakonan sedia ada. Sebenarnya, saya juga tidak sangka akan pegang status janda ini (perceraian).
“Justeru, pengalaman pahit masa lalu saya jadikan sebagai pengajaran dalam menempuh hari mendatang. Banyak benda baru yang saya belajar sekarang. Kini, saya reda dengan ketentuan Tuhan dalam hidup saya ini.
“Kalau berkahwin lagi, saya akan pastikan pasangan saya itu lebih baik berbanding dulu dan pada masa sama, lebih menjamin masa depan saya. Maklumlah, perkahwinan itu bukan perkara yang mudah. Saya perlu fikir banyak benda terutama masa depan anak-anak,” katanya.
Mengenai kerjaya seni, Duta Ribena ini berkata, dia bersyukur kerana rezekinya dalam bidang seni tidak pernah putus sampai sekarang.
“Sejak bujang, berkahwin dan selepas itu bercerai, tawaran berlakon tetap ada. Selain berlakon dalam Gerak Khas, saya juga ditawarkan berlakon dalam drama bersiri 26 episod arahan Adlin Aman Ramlie, Jongkang Jongket.
“Sebagai pelakon, saya tidak kisah diberikan watak pembantu dalam drama kerana yang penting ia mencabar. Contohnya, dalam drama bersiri untuk TV3, Segalanya Ku Terima, saya bawa watak pembantu, Datin Sofia yang mempunyai skandal dengan pemandunya sendiri.
“Selain itu, watak saya dalam drama bersiri Yusuff juga watak pembantu tetapi ia menarik kerana saya bawa watak yang sangat jahat,” katanya.
Ketabahan Abby sebagai ibu tunggal juga menjadi contoh kepada wanita senasibnya. Justeru, dia ingin berkongsi suka dukanya dengan masyarakat menerusi seminar bersama Bengkel Mak Dara pada 25 dan 26 April ini di Kuala Lumpur dan Port Dickson.
Abby ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri 13 episod, Segalanya Ku Terima arahan Raja Ahmad Alauddin di Sri Pentas, TV3, di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Zul yang setia menemani Abby petang itu dan turut berlakon dalam drama bersiri berkenaan berkata,
Abby banyak membantunya dalam mencari hala tuju sejak berkecimpung dalam bidang lakonan.
“Saya banyak meminta pandangan Abby dalam bidang lakonan. Kalau orang kata, saya menumpang populariti Abby, ia terpulanglah pada mereka kerana saya tidak boleh halang cakap-cakap orang. Saya juga hanya terima pandangan yang positif dan kalau ia negatif, saya biarkan ia berlalu begitu saja,” katanya.
Zul berkata, setakat ini, dia dan Abby terbabit dalam empat projek drama sama iaitu Gerak Khas, telefilem Angan Si Along, KL Driftt dan terbaru, drama bersiri, Segalanya Ku Terima.
“Saya juga tidak ada masalah untuk berlakon bersama Abby termasuk jika digandingkan bersama dalam drama. Tapi, bukan semua projek drama kami digandingkan bersama. Dalam Gerak Khaspun, kami jarang berjumpa di lokasi.
“Dalam drama Segalanya Ku terima, saya bawa watak pembantu yang tidak kurang menariknya iaitu pemandu yang ada skandal dengan majikan sendiri iaitu Datin Sofia. Apa yang menarik, saya bukan ada skandal dengan Datin Sofia saja tapi juga kawannya, Datin Maimon (lakonan Azizah Mahzan),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: