Saturday, April 25, 2009

Platform terbaik jadi pengarah


PERKEMBANGAN positif industri animasi tempatan mendorong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menganjurkan Bengkel Masterclass Animasi dan Pengarahan.

Biarpun dalam tempoh yang singkat iaitu selama lima hari, bengkel yang diadakan di Finas, Hulu Klang bermula 20 April lalu ternyata menjadi platform terbaik buat penggiat dan peminat industri perfileman bergelar pengarah suatu hari nanti.

Bengkel animasi di bawah kendalian tenaga pengajar berpengalaman dari Jerman, Hans Martin Rall manakala pengarah filem terkenal, Mohamad Mohd Khalid atau Mamat Khalid mengendalikan program pengarahan. Program berkenaan disertai 22 peserta tempatan bagi pengarah dan 14 bagi program animasi.

Pengarah Pembangunan Finas, Abd Khalid Maulod berkata, dengan adanya program seperti itu ia dapat membantu masyarakat yang terbabit dalam bidang ini menambah pengetahuan. Malah mereka yang terbabit turut berpeluang berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing ketika menghadiri kursus berkenaan.

“Ini kali kedua kami menganjurkan bengkel animasi di bawah bimbingan tenaga pengajar dari luar dan dedikasi seperti Hans Martin Rall serta Mamat sendiri . Sambutan terhadap kursus ini amat menggalakkan. Ia turut dihadiri mereka yang sudah terbabit dalam bidang ini. Sepanjang tahun ini kami merancang mengadakan tujuh lagi kursus membabit siri Masterclass.

“Kami sentiasa mengalu-alukan pembabitan setiap individu yang sudah menceburi industri ini. Secara tidak langsung, ia membantu memperkembangkan industri hiburan terutama animasi dan pengarahan tempatan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program berkenaan di Finas, baru-baru ini.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan menerusi kerjasama itu ia sebagai platform terbaik untuk masyarakat luar bekerjasama dengan Finas. Siri bengkel Masterclass turut membabitkan penulisan skrip, pengarahan, lakonan dan sinematografi yang diadakan mengikut jadual tertentu.

Bagi tenaga pengajar program yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Nanyang, Hans, menerusi program itu peserta akan mengetahui beberapa perkara membabitkan pemilihan teknik animasi di samping menitikberatkan aspek kesenian dalam animasi.

“Setiap animasi yang dihasilkan mempunyai tarikan tersendiri. Sebagai pensyarah, saya sentiasa menitikberatkan proses awal iaitu menghasilkan idea dalam penulisan skrip selain mengharapkan peserta dapat tampil dengan kreativiti tersendiri. Pelbagai cara boleh dilakukan dalam menghasilkan animasi terbaik.

“Di samping berkongsi pengalaman, saya juga menggalakkan setiap peserta menampilkan pandangan mereka ketika mengikuti kursus ini.



“Saya juga berkeyakinan mereka yang terbabit dalam bidang ini mempunyai masa depan yang cerah jika benar-benar komited dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Pengalaman luas Hans menerusi animasi sejak 1980-an memberi peluang kepada peserta kursus mendalami ilmu dalam bidang itu.

Sementara itu, pengarah filem yang popular dengan karyanya iaitu Man Laksa, Rock, Zombi Kampung Pisang, Mamat memaklumkan langkah Finas menganjurkan kursus berkenaan mendatangkan kebaikan kepada karyawan seni tanah air.

Malah Mamat sendiri mengakui pernah menghadiri kursus Masterclass yang diadakan sebelum ini sekitar 2007 untuk penulisan skrip dan tahun berikutnya di bawah kendalian tenaga pengajar dari United Kingdom, Barbara Slade.

“Saya amat berbesar hati kerana dijemput Finas untuk bertindak sebagai tenaga pengajar dalam kursus ini. Bengkel seperti ini memang mendatangkan manfaat kepada karyawan yang terbabit dalam dunia seni. Ini juga kali pertama saya bertindak sebagai tenaga pengajar untuk kursus anjuran Finas.

“Bagi bengkel pengarahan ini saya akan menerapkan kreativiti, tanggungjawab dan beberapa aspek membabitkan produksi berdasarkan pengalaman yang pernah saya lalui. Di samping beberapa pengisian menerusi bengkel ini seperti perbelanjaan, peringkat post produksi, aspek politik dalam dan luar produksi.

“Sebelum berakhirnya kursus setiap peserta akan melakukan tugasan akhir sebagai menilai pemahaman peserta,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: