Saturday, April 25, 2009

Tugasan mengejut 20 lelaki kacak


TIRAI pembukaan majlis sambutan Minggu Setiausaha Hotel Istana yang berlangsung Rabu lalu, gah dan hangat dengan kehadiran 20 artis lelaki kacak serta bergaya mengenakan sut Lord's Tailor. Kemunculan mereka hasil gabungan artis dua negara, Malaysia dan Indonesia.

Seperti dijanjikan penyelaras publisiti majlis, Bill Bora, dengan kerjasama syarikat rakaman dan pihak pengurusan, masing-masing berjaya menerbangkan Rio Febrian, Delon, Ello, Irwan Syah, Samuel Rizal, Didi Riyadi dan Ariffin Putra dari Indonesia.

Dari Malaysia pula, Faizal Tahir, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Awalludin Ashaari, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Aqasha, Kamal Adli dan Fizo. Sementara AC Mizal dan Afdlin Shauki selaku pengacara.

Penampilan istimewa Jaclyn Victor, Azharina, Shila ND Lala dan Siti Sarah yang turut membuat persembahan pada hari itu. Walaupun pada mulanya Bill berasa bimbang sambutan awal kurang memberangsangkan, tetapi akhirnya dia menarik nafas lega kerana pada hari itu semua meja penuh.

Masakan tidak, kerana bukan senang untuk bertemu dan beramah mesra dengan semua artis popular itu kerana terikat dengan komitmen masing-masing. Daripada luar sehingga ke dalam dewan mereka tidak melepaskan peluang bergambar dengan artis pujaan apa lagi dengan artis Indonesia yang biasanya hanya dilihat menerusi sinetron yang disiarkan di sini.

Pada majlis itu, Faizal Tahir berduet dengan Juara Bintang Idola Berita Harian, Nazatul Farahin Mohd Hussin, menyanyikan lagu Cuba. Irwan Syah tampil menyanyi bersama Shila menerusi lagu My Heart. Menyemarakkan lagi majlis, Rio Febrian muncul bersama Jaclyn Victor dengan lagu yang pernah dirakamkan bersama, Ceritera Cinta.

Delon, bintang yang dilahirkan menerusi program Indonesia Idol (2004) menghiburkan hadirin dengan lagunya, Adinda dan Rio Febrian juga menyanyi lagu solo terbarunya, Aku Bertahan. Ello dengan gayanya yang tersendiri turut membuat persembahan bersama Siti Sarah dengan lagu mereka, 1'll Feel Good. Azharina yang bergaya dengan gaun petang rona merah menyampaikan dua lagu, Rawan dan Rasa.

Manakala barisan pelakonnya pula tampil di pentas untuk acara cabutan bertuah dan diminta menghiburkan bos serta setiausaha menerusi permainan ala program Sehati Berdansa dan membuat drama sebabak klip video. Oleh itu mereka diminta memilih pasangan masing-masing ke pentas.

Namun, di sebalik segala keindahan yang ditampilkan kepada sekalian yang hadir pada majlis itu, rupanya ada agenda tersembunyi. Ada artis tidak tahu mereka perlu bekerjasama menggayakan sut tajaan Lord's Tailor untuk menjayakan Minggu Setiausaha di hotel itu apabila butik pakaian lelaki terkenal itu selaku penaja utama.

Mereka tidak kisah untuk bekerjasama dengan butik itu kerana menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada mereka. Cuma mereka agak terkilan kerana tiada siapa beritahu yang mereka perlu menjayakan Minggu Setiausaha itu kerana pada mulanya mereka diberitahu perlu hadir dengan pakaian yang direka khas untuk muncul pada majlis anjuran butik itu sendiri.



Pada saat akhir baru tahu mereka dikehendaki menggayakan pakaian itu pada Minggu Setiausaha selepas membacanya di akhbar dan gambar mereka terpampang pada kain rentang hotel itu. Sudahlah begitu, mereka juga tidak diberitahu mengenai atur cara dan 'tugasan' mereka dalam majlis itu.

Segala yang berlaku secara tiba-tiba dan atas nama profesionalisme serta menjaga adab sebagai orang Melayu, dalam senyum kelat mereka terpaksa akur kehendak penganjur.

Seperkara lagi ia bukan majlis amal. Pihak hotel mengenakan bayaran RM290++ dan RM350++ untuk seorang. Semua meja penuh namun atas alasan menghargai sokongan Lord's Tailor, memberi publisiti dan promosi kepada semua artis terbabit, mereka muncul secara percuma.

Permulaan atur cara yang sangat hebat apabila semua artis bergambar solo dan beramai-ramai di pentas luar dewan berlatarkan tirai merah dan jambangan bunga memercikkan kemewahan majlis. Sebaik atur cara bermula, semua artis melangkah dengan begitu segak dan bergaya masuk ke tengah dewan.

Kemunculan mereka menerima tepukan gemuruh hadirin apatah lagi bukan mudah bertemu artis pujaan terutama yang datang dari seberang.

Namun langkah yang dianggap gah, hebat dan bergaya itu hanya setakat itu saja apabila tiada ruang khusus disediakan untuk mereka duduk menyaksikan perjalanan majlis itu. Selepas bergambar seketika dengan hadirin, semua artis dilihat terpaksa berlegar di luar dewan. Artis Indonesia yang menginap di hotel itu khabarnya terpaksa menunggu di bilik masing-masing sementara menunggu giliran mereka membuat persembahan.

Manakala artis lain pandai-pandailah membawa diri sehingga majlis berakhir sekitar jam empat petang. Bayangkan sepanjang hampir empat jam sepanjang acara berlangsung, mereka mundar-mandir tanpa tujuan. Ada yang terpaksa membuang perasaan malu mengambil inisiatif sendiri mencari tempat duduk dengan menumpang di meja hadirin.

Alasan tidak disediakan meja dan kerusi untuk artis kerana kononnya konsep acara hari itu mereka dikehendaki bermesra dengan hadirin. Bukankah suatu alasan yang tidak logik dan janggal sepanjang majlis itu berlangsung artis terpaksa berjalan dari meja ke meja, menayang muka mereka.

Secara profesionalnya, adakan satu sesi khas untuk hadirin bermesra dan bergambar dengan artis. Atau paling tidak, hadirin boleh mendekati artis yang mereka minati. Bukannya dengan cara artis itu terpaksa mundar-mandir dalam dewan itu. Penganjur juga tidak menyediakan makan untuk artis. Apa jua alasan diberikan penganjur, mereka melayan artis seperti tiada harga diri.

Sesungguhnya dalam limpahan populariti yang diterima, semua artis itu masih tahu menghargai jasa pelbagai pihak yang banyak membantu membentuk penampilan diri mereka tetapi ada pula yang seolah-olah mempergunakan mereka demi kepentingan sendiri.

Ketika ditemui selepas majlis berakhir, Bill menjelaskan dia terpaksa berulang-alik hampir empat bulan untuk bertemu syarikat rakaman dan pengurusan artis di Indonesia sebelum mereka memberikan persetujuan muncul pada majlis ini.

"Untuk menjalinkan persahabatan artis dua negara, saya gabungkan artis Indonesia dan Malaysia membuat persembahan. Mereka bersetuju kerana sebelum ini pun Jaclyn Victor pernah merakamkan lagu duet dengan Rio Febrian. Saya sediakan sut Lord's Taylor untuk mereka. Manakala tiket penerbangan dan penginapan oleh Hotel Istana.

"Sempena kedatangan mereka ke sini juga, artis yang ada album seperti Ello, Delon dan Rio Febrian mengambil peluang itu mempromosikan album baru mereka. Mereka yang berlakon pula saya uruskan janji temu mereka dengan produser filem dan drama tempatan. Mungkin boleh buat filem atau drama usaha sama dua negara.

"Kemunculan artis tempatan pula sebagai sokongan kepada Lord's Tailor yang selalu menaja sut untuk mereka. Untuk hari ini, setiap sut yang ditaja berharga RM3,500 hingga RM5,000 dan diberi terus kepada artis. Mereka juga tahu tiada bayaran. Penyanyi pun membuat persembahan percuma kerana mereka sudah lama teringin hendak berduet dengan penyanyi Indonesia. Inilah yang dikatakan 'sama-sama menang'.

"Penganjur juga tidak menyediakan meja dan makanan untuk artis kerana mereka sudah makan awal. Konsep majlis ini artis perlu menghiburkan setiausaha. Jika artis duduk, nanti dikatakan tidak mesra," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: