SELEPAS kejayaan Karnival Jomheboh di Ayer Keroh, Melaka dan Kuantan, Pahang, kemeriahan penganjuran Jomheboh diteruskan lagi minggu ini dengan memilih lokasi yang lebih menarik iaitu di pangkalan TLDM di Lumut, Perak. |
Seperti penganjuran sebelumnya, pelbagai aktiviti menarik disediakan di gerai akhbar harian bahasa Melayu nombor satu tanah air, Harian Metro/Metro Ahad (HM/MA).
Antara aktiviti disediakan di Gerai HM/MA ialah kuiz 18 tahun Harian Metro, pertandingan untuk kanak-kanak, Mini Personaliti Harian Metro, jualan akhbar, cenderahati, kuiz, uji bakat Metro Idol dan Metro Idol final yang bakal menawarkan hadiah wang tunai kepada peserta.
Barisan artis undangan yang bakal menyemarakkan acara ialah bintang yang digilap daripada program realiti TV Akademi Fantasia (AF) iaitu Aizat AF5, Zila AF4, Amylea (AF3), Wana (My Star LG) dan penyanyi dan pemuzik era 90an, Awang dari kumpulan BPR.
Mereka akan menghiburkan pengunjung serta pembaca setia HM dengan rangkaian lagu popular masing-masing khusus buat warga Lumut yang pastinya tidak sabar menyaksikan artis pujaan dari dekat.
Aizat yang pertama kali membuat persembahan di gerai HM/MA akan menyampaikan lagu daripada bingkisan albumnya sendiri iaitu Fikirlah, Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.
Bintang AF3 yang baru tersingkir dari minggu kesembilan pentas One In A Million (OIAM), Amylea Azizan pula menghiburkan pengunjung dengan lagu seperti I'm Yours (Jason Mraz), Dia (Sheila Majid) dan Akan Tiba (Alif OIAM). Seorang lagi rakan seperjuangan mereka dalam AF, Zila atau Zila Saeron pula menyampaikan tiga lagu dan antaranya lagu duet dengan tunangnya, Along daripada kumpulan Cham (Raja Lawak 2), Jika Kau Kekasih yang pernah dipopularkan Bienda. Dua lagi lagu dirahsiakan untuk memberikan kejutan buat pengunjung nanti.
Wana yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music pula menyampaikan lagu, Semuanya ada di sini, Ku Telah Jatuh Cinta dan Nakal.
Manakala Awang BPR yang sudah tiga kali muncul di gerai HM menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu seperti Gaza Merintih, Putar Roda Hidup, Walaupun Nyawa Hilang, Kau Dijiwaku dan lagu popular BPR, Dari Sinar Mata.
Eksekutif Penjenamaan HM, Zurani Abdullah atau Bond, berkata, gerai HM/MA dibuka dua hari seawal jam 10 pagi hingga 9 malam.
|
"Selain mengadakan pelbagai aktiviti menarik bersama persembahan nyanyian daripada artis undangan, kami juga menyediakan barangan jenama HM untuk dijual pada hari itu. Antaranya, kemeja-T berkolar, beg sandang, topi, yang semuanya dijual pada harga berpatutan.
|
"Lebih menarik apabila kami turut menyediakan perkhidmatan membuat mock-up muka depan Harian Metro kepada pengunjung dengan bayaran RM5 sahaja.
"Pembaca setia akhbar ini diminta tidak melepaskan peluang mengabadikan wajah mereka dalam mock-up muka depan HM," katanya.
Bond berkata, pengunjung juga diberi peluang menunjukkan bakat berdansa di gerai HM/MA.
"Peserta yang berjaya juga dapat membawa pulang hadiah cenderahati eksklusif dari HM/MA.
Tidak ketinggalan, penampilan maskot HM/MA, Nabilo bersama naib juara Metro Idol di Bukit Jalil, Disember 2007 Lena," katanya.
Kata Bond lagi, sejak gerai HM dibuka di Karnival Jomheboh, sambutan yang diterima daripada pengunjung serta pembaca setia HM cukup memberangsangkan.
"Ia dapat dilihat menerusi penyertaan orang ramai yang memberi sokongan padu dalam setiap aktiviti diadakan. Begitu juga dengan pertandingan karaoke Metro Idol serta pencarian mini Gadis Metro. Pihak kami mengharapkan pertandingan ini juga bakal menggilap bakat baru dalam kalangan warga Lumut nanti.
"Pertandingan itu juga menawarkan sejumlah hadiah wang tunai lumayan sebagai ganjaran. Bagi pertandingan karaoke Metro Idol, hadiah wang tunai disediakan sebanyak RM1,000, manakala, Pencarian Gadis Metro pula menawarkan RM300.
"Pada penganjuran kali ini juga, kami mensasarkan lebih 20,000 pengunjung akan membanjiri gerai HM/MA nanti dan jumlah itu akan bertambah pada penganjuran akan datang," katanya.
"Apa yang penting, pengunjung serta pembaca setia akhbar ini berasa gembira dan dialu-alukan setiap kali mereka berkunjung ke gerai HM. Malah, pada masa sama, acara ini dapat dijadikan platform untuk pengunjung menjalinkan hubungan lebih akrab dengan akhbar yang menjadi pilihan dan kegemaran ramai masa kini," katanya.
Hadir sama menceriakan acara itu nanti, Pengarang Hiburan HM, Adam Salleh.
Apapun, semua warga Lumut diminta datang beramai-ramai ke gerai HM hari ini dan esok untuk sama-sama berkongsi kemeriahannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: