Sunday, April 26, 2009

Piring terbang waktu malam

Terdapat lebih 140 kes UFO ‘singgah’ di Malaysia dicatatkan dalam tempoh 30 tahun lalu. Bagi peminat ‘piring terbang’, UFO bukan lagi khayalan.




ZAID ZAIN, 43, sedang minum di sebuah restoran di Larkin Perdana, Johor Bahru, pada 17 Mac lalu apabila anaknya yang berusia 10 tahun, Mohd. Nauman menelefon untuk memberitahu dia ternampak sebuah objek pelik berlegar-legar di ruang angkasa.

Sebagai seorang yang obses dengan fenomena objek terbang tidak dikenali (UFO), Zaid bergegas pulang. Ketika itu jam baru menunjukkan pukul 8.30 malam manakala dada langit kelihatan cerah.

"Objek itu mempunyai dua warna iaitu putih dan hijau. Jika dilihat dari rumah saya, ia seperti betul-betul berada di ruang udara Stadium Larkin," katanya.


KAWAH berbentuk 'Y' yang dipenuhi air di kawasan lapang berpaya dan didakwa kesan objek asing turun telah ditemui di Kampung Gobek, Tanah Merah, Kelantan pada Mac 2000.


Selepas kejadian itu, boleh dikatakan setiap hari Zaid akan mendongak ke langit, namun 'UFO' itu hanya boleh dilihat sebanyak dua kali dalam seminggu.

"Saya terfikir juga ia mungkin pesawat canggih negara jiran, tapi tidak mungkin kerana bentuk dan objek terbang yang saya lihat itu terlalu tinggi di udara," katanya.


OBJEK terbang mengeluarkan cahaya terang ialah bentuk UFO paling kerap disaksikan di negara ini.



AHMAD JAMALUDIN





Adik Zaid, Mohd. Zamri, 30, sempat merakam pergerakan UFO tersebut dan menganalisis imej tersebut menggunakan komputer.

"Antara yang saya teliti adalah pergerakan, warna dan bentuknya," katanya.

Mohd. Zamri percaya objek itu bukan layang-layang bercahaya. "Tidak mungkin layang-layang boleh terbang setinggi itu di angkasa dan bertahan sehingga lebih satu jam sebelum hilang di celah awan," jelasnya.

Sekalipun UFO dianggap cerita dongeng oleh kebanyakan orang, masih ada rakyat Malaysia yang mempercayainya malah mendakwa pernah melihatnya.

Menurut laporan, terdapat lebih 140 kes kemunculan UFO di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 30 tahun lalu iaitu dari tahun 1981 hingga 2008.

Tanjung Sepat di Selangor dan Sungai Petani, Kedah ialah lokasi paling kerap objek itu didakwa muncul iaitu masing-masing sebanyak 10 dan lapan kali kali.

Satu anggaran kasar pernah menyatakan pendaratan UFO di seluruh dunia berlaku setiap 15 minit atau 30 minit.

Bagi bekas kakitangan kerajaan, Ahmad Jamaludin, 56, kemunculan UFO menjadi petanda gempa bumi akan berlaku di Sumatera, Indonesia.

Kejadian gempa bumi di Sumatera dipercayai berlaku dalam tempoh 24 jam hingga tiga bulan selepas UFO dilaporkan muncul.

"Jarak kemunculan UFO adalah bergantung kepada kekuatan gempa bumi itu. Jika magnitud 5 (biasanya kalau berlaku di kawasan utara Sumatera), ia (UFO) akan muncul di sebelah utara Semenanjung. Misalnya Pulau Pinang atau Kedah.

"Tetapi, jika magnitud itu lagi kuat, ia akan pergi jauh lagi, contohnya di Kelantan, Terengganu. Bergantung kepada magnitud tersebut," katanya.


MOHD. ZAMRI membuat lakaran piring terbang yang dilihatnya di Larkin, Johor Bahru pada 17 Mac lalu.


Memiliki pengalaman selama 33 tahun dalam bidang kaji kuman dan penyakit haiwan akuatik, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Ahmad yang ditemui Kosmo! Ahad di ibu negara tidak lama dahulu begitu teruja apabila diajak berkongsi perspektifnya tentang UFO.

"Ya, saya yakin memang ada UFO kerana banyak data yang menyokong kehadirannya," kata Ahmad yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Pernah belajar memandu dengan Kelab Penerbangan Perak, Ahmad memberitahu, beliau sering berhubung dengan pakar-pakar dan peminat UFO luar negara untuk merungkai misteri alam itu.





KITARAN kemunculan UFO. 'Makhluk asing' itu didakwa telah memetakan kehadirannya mengikut tahun.





Menurutnya, berdasarkan kajian menerusi kompilasi data-data sejak lebih tiga dekad lalu, UFO lazimnya muncul pada waktu malam.

"Data-data yang konsisten menunjukkan UFO biasanya muncul pada pukul 8 malam. Tetapi puncanya masih belum diketahui," ujarnya yang mula mengkaji tentang kehadiran UFO di Malaysia sejak tahun 1978.

Ahmad berpendapat kekerapan kemunculan UFO mempunyai kitarannya sendiri.

"Kemuncak kemunculan objek asing ini akan berlaku setiap 10 tahun. Tahun 2001, misalnya, dikategorikan sebagai tempoh kehadiran UFO paling banyak. Jadi gelombang itu bakal berulang lagi pada tahun ini atau tahun hadapan," katanya.

Kenapa hendak mengkaji UFO?

"Dengan mengkaji pendaratan UFO, kita dapat buktikan bahawa terdapat makhluk lain selain daripada manusia.

"Pakar-pakar astronomi turut meramalkan terdapat jutaan bintang yang ada penghuninya. Tapi satu pun tidak sampai ke sini kerana jaraknya terlalu jauh.

"Jadi saya ingin buktikan bahawa makhluk asing memang wujud dan mereka datang ke bumi," terang Ahmad panjang lebar.

Bagaimanapun, Pegawai Sains di Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Zulhabibullah Ismail, memberitahu sehingga kini tiada bukti secara saintifik wujudnya UFO.

"Pengkaji di Amerika Syarikat dikatakan pernah terjumpa dengan makhluk asing yang dipercayai UFO namun apabila dikaji hasilnya hanyalah bangkai binatang ataupun manusia.

"Malah kajian Angkasa berdasarkan aduan orang ramai yang mendakwa melihat UFO di Perak, Johor dan Kelantan sebenarnya hanyalah objek payung terjun, belon kaji cuaca serta pergerakan arus elektrik di udara," katanya.

Bicaranya lagi, kajian yang beliau lakukan juga mendapati objek yang disangka UFO ialah komet dan meteor.

"Seperti belon cuaca, ia mempunyai aluminium yang boleh memantulkan cahaya dan kelajuan angin membuatkan ia pantas bergerak.

"Pihak berkuasa Amerika Syarikat sendiri pernah mengkaji dengan serius sama ada UFO wujud atau tidak dengan memasang radio teleskop gergasi di kawasan pergunungan bagi berhubung dengan makhluk misteri itu.

"Tetapi program itu gagal walaupun berbilion dolar telah dihabiskan," ujarnya,

Penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah pula memberitahu, tiada satu pun ayat di dalam al-Quran dan hadis Nabi yang mengatakan wujudnya UFO.

"Yang ada ialah cerita mengenai syaitan, jin dan makhluk halus lain. Memang makhluk ini boleh bertukar rupa tetapi saya tidak pernah mendengar cerita jin bertukar menjadi piring terbang UFO," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: