Sunday, April 26, 2009

Kevin cari isteri




PESONANYA ketika melakonkan watak seorang pengurus artis popular Eric 'E' Murphy dalam siri Entourage telah membuatkan ramai yang jatuh hati terhadap E. Kevin Connolly.

Eric, lelaki berusia 33 tahun, sangat cool dan begitu menjaga kawan baiknya, seorang pelakon popular lakonan Adrian Grenier.

Eric disifatkan sebagai seorang yang sedikit kaku oleh Kevin. Cuma itu kelainannya berada dalam karakter kedua-dua lelaki itu.

"Saya suka merasakan diri saya sebagai seorang yang lebih menyeronokkan dan senang didampingi.

"Saya membuat filem bebas dan mengarahnya, sama seperti Eric yang berfikiran bisnes dalam industri hiburan," ujar Kevin yang kini boleh ditemui dalam siri Entourage yang disiarkan di saluran 411 Astro pada setiap hari Rabu pukul 10.30 malam.

Kevin merasakan drama itu yang kini memasuki musim kelima digemari ramai kerana elemen realisme yang ditonjolkan.

"Sesetengah orang seakan-akan tidak percaya bahawa kami (pelakon Entourage) akan menghabiskan masa bersama. Jadi mereka akan berasa masih menonton drama itu di luar kaca televisyen.

"Mereka terbawa-bawa akan siri tersebut," ulasnya tentang siri yang mengetengahkan Mark Wahlberg sebagai penerbit eksklusif.

Kevin mula menjejakkan kaki ke dalam industri hiburan sejak usia enam tahun dengan muncul dalam iklan komersial, Chips Ahoy. Kini dia bukan sahaja pelakon bahkan pernah mengarahkan sebuah filem indipenden, Whatever We Do yang dipertontonkan semasa Anugerah Filem Sundance.

Filem itu dibarisi pelakon terkenal seperti Robert Downey Jr., Amanda Peet dan Tim Roth.

Muncul dalam He's Just Not That Into You, filem itu memberi impak kepada kehidupan solonya. Sebelum ini Kevin pernah menjalinkan hubungan serius dengan beberapa selebriti seperti Nikki Cox, Nicky Hilton, Haylie Duff dan Julianne Hough.

Tidak hairanlah kerana dia memiliki wajah yang redup dan pernah dinobatkan sebagai Lelaki Solo Paling Panas pada tahun 2007.

"Saya mahu bertemu dengan seorang wanita dan kemudian menjadikan dia isteri dan kami mempunyai anak.

"Ibu saya sering bertanyakan hal itu. Saya baru saja membeli sebuah rumah. Saya perlukan seorang wanita yang berpotensi untuk pindah masuk ke rumah tersebut."

Namun dia yang sedikit ortodoks dengan perhubungan merasakan teknologi tidak akan membantunya mendapat temu janji dengan mudah.

"Ramai orang kata saya akan bertemu 'jodoh' selepas saya mempunyai laman web sendiri. Tetapi saya belum bertemu sesiapa pun. Semuanya lebih sebagai kawan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: