Kempen FOMCA memboikot televisyen menimbulkan tanda tanya.
|
|
MENJADI senario biasa penduduk di selatan Johor menghidupkan televisyen seawal pukul 5 pagi. Dalam bersiap untuk menunaikan solat Subuh, sempat juga mereka menonton program ceramah agama.
Dengan pilihan 12 saluran televisyen Indonesia yang bersaing menyiarkan slot kerohanian bersama kiai ternama, menonton TV awal pagi bukan aneh.
Warga Johor juga bertuah kerana menikmati secara percuma tujuh lagi saluran dari Singapura.
Hakikatnya budaya menonton televisyen di Johor barangkali lebih ke hadapan berbanding penduduk di negeri-negeri lain.
Tidak hairanlah kita melihat sebahagian besar bumbung rumah di selatan tanah air itu memasang antena yang cukup tinggi.
Tetulang antena pula menuju ke arah Batam, Kepulauan Riau untuk mendapatkan siaran Indonesia; Bukit Batok bagi menerima liputan TV Singapura dan Gunung Pulai, Kulaijaya yang memancarkan enam saluran televisyen teresterial Malaysia.
Mewahnya siaran TV menyebabkan kanak-kanak Johor suatu ketika dulu malah mampu menghafal lagu kebangsaan Indonesia Raya, Majulah Singapura selain Negaraku akibat pengaruh televisyen.
Berbeza pula di Lembah Klang. Isnin lalu, kita dikejutkan dengan pelancaran kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen.
Kempen julung kali itu yang bermula dari 21 hingga 27 April lalu dianjurkan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Menurut Ketua Eksekutif FOMCA, Mohd. Yusof Abdul Rahman, kempen itu merupakan salah satu daripada 12 kempen yang dirancang pihaknya untuk menyedarkan pengguna supaya lebih memberi tumpuan kepada hubungan kekeluargaan.
"Kempen ini bukan untuk menyekat penyebaran maklumat semasa kepada orang ramai kerana mereka masih boleh mengetahui perkembangan negara dengan membaca akhbar atau melayari laman Internet," katanya.
Ironinya, acara itu tidak mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna apatah lagi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang kini diberi lebih kuasa mengawal selia semua siaran TV.
Persoalannya, jika ingin mendapatkan maklumat daripada Internet, bagaimana dengan orang miskin yang tiada akses kepada teknologi itu?
Bagi golongan ini, televisyen menjadi satu-satunya sumber hiburan dan maklumat terbaru.
Keadaan diburukkan lagi dengan sikap rakyat Malaysia yang kurang gemar membaca akhbar harian sebagai budaya wajib kecuali jika memaparkan berita sensasi.
Pandangan yang sama dikongsi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hassan. Katanya, kandungan TV kini berbeza dari zaman dahulu yang lebih hedonisme dan melalaikan penonton.
"Siaran TV era 60-an hingga 80-an hanya bersifat hiburan, namun kemudian timbul kesedaran mengenai program bercorak ilmiah.
"Dalam hal ini peranan ibu bapa amat penting dalam membimbing anak-anak menonton rancangan berfaedah," ujarnya.
Beliau memberi contoh drama MacGyver, X-Files dan Crime Scene Investigations yang memupuk minat remaja kepada sains dan matematik. "Program Discovery Channel dan History Channel mendidik kita untuk meminati sejarah dan geografi," hujah beliau.
Justeru, beliau menyarankan ibu bapa mendedahkan anak sejak kecil kepada rancangan dokumentari dan bersifat drama akademik.
Ia ibarat melentur buluh bermula daripada rebung dan bukan membiarkan si anak sekadar menonton siri kartun.
"Misalnya, kanak-kanak tentu suka meneroka keajaiban kejuruteraan inovatif Terowong Smart di Kuala Lumpur yang pernah disiarkan saluran Discovery Science atau kisah pengembaraan hebat Laksamana Cheng Ho di National Geographic," jelasnya.
Bagi pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, kempen memboikot TV itu menimbulkan tanda tanya kerana ia digerakkan di Barat dan mungkin tanpa disedari ada agenda tersirat pihak tertentu.
Bayangkan, ujarnya, jika kempen sedemikian dilancarkan ketika rejim Israel mengganas di bumi Palestin, adalah amat malang masyarakat Islam di Malaysia tidak tahu perkembangan terkini kerana enggan menonton siaran berita di TV.
Sambil memetik ungkapan pengasas stesen CNN, Ted Turner iaitu sesiapa menguasai maklumat, maka dia menguasai dunia, Hatijah beranggapan kempen tidak menonton TV perlu diteliti semula agar matlamatnya tidak pula merugikan masyarakat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: