DIAN P Ramlee menunjukkan pingat kedua tertinggi Kerajaan Negeri Sarawak, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar kepada Tan Sri P Ramlee. |
Seniman Agung Tan Sri P Ramlee menerima gelaran Datuk Amar pada APSM2009
"Pingat ini akan saya serahkan kepada Jabatan Arkib Negara untuk tatapan peminat dan diharapkan dapat dipamerkan di Muzium Peringatan P Ramlee sebagai tatapan peminat setianya," kata Dian P Ramlee waris kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menerima anugerah Pingat Kebesaran Kedua Tertinggi Kerajaan Sarawak, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar P Ramlee.
Dian yang menerima plak berbentuk bintang daripada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada malam Anugerah Perdana Seniman 2009 (APSM2009) yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak tidak pernah menyangka diundang semata untuk mewakili keluarga Allahyarham.
“Saya langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai anugerah ini apabila diundang oleh kerajaan Sarawak yang diwakili persatuan Seniman sebaliknya hanya disuruh datang kerana ada pengumuman penting yang hendak dibuat.
“Mereka tidak memberitahu langsung mengenai anugerah kedua tertinggi yang sudah diumumkan pada 4 April lalu daripada Kerajaan Negeri Sarawak kepada arwah bapa dan pada malam ini mereka menyerahkan pingat itu kepada saya sebagai warisnya.
“Sebagai warisnya sudah tentu saya terharu dan bangga dengan anugerah yang diberikan dan saya tahu ia diberikan kerana sumbangan besar Allahyarham terhadap perkembangan seni negara mahupun dalam kalangan masyarakat di Bumi Kenyalang ini,” katanya yang turut berbangga apabila Taib sendiri adalah peminat setia karya Allahyarham.
AZIZ SATTAR bersama isteri. |
Malam kemuncak APSM2009 yang dihadiri hampir 200 delegasi dari semenanjung membabitkan 100 anak seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak, dan pemuzik hadir bagi mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.
Sememang itulah objektif APSM yang dianjurkan Seniman dengan mengadakan di luar Kuala Lumpur untuk mendekatkan warga seni dengan masyarakat.
Sebanyak 18 anugerah diberikan kepada seniman tanah air tidak termasuk Pingat Kebesaran Bintang Kenyalang Sarawak yang diberikan kepada P Ramlee. Anugerah yang diberikan itu merangkumi dua kategori iaitu Bintang Seniman dan Anugerah Bintang Seniman Pencapaian Abadi.
Datuk Aziz Sattar
YUSRI menunjukkan anugerah yang diterima. |
Sebelum ini beliau yang pernah menerima beberapa anugerah mengakui pengiktirafan yang diterima daripada Seniman ini adalah berbeza daripada sebelum ini.
“Sudah tentu saya gembira apabila menerima anugerah daripada anak seni sendiri kepada anak seni. Walaupun sebelum ini saya turut pernah menerima anugerah tetapi itu adalah anugerah daripada kerajaan kepada anak seni.
“Sepanjang 60 tahun pembabitan dalam industri perfileman rasanya ini antara kenangan paling manis apabila bakat yang selama ini saya curahkan diiktiraf orang seni sendiri," katanya.
Anita Sarawak
“Sepanjang bergelar penghibur tanah air, saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan atau anugerah tetapi cukuplah peminat terhibur dengan apa saja yang saya lakukan dalam industri ini, saya juga tidak pernah meletakkan diri sebagai yang terbaik.
“Selagi bergelar penghibur, saya akan terus belajar untuk memperbaiki kelemahan diri,” katanya yang berterima kasih kepada Seniman atas anugerah ini”.
Yasmin Ahmad
“Saya bersyukur kerana perjuangan saya selama ini dalam membangunkan industri filem tanah air dihargai oleh Seniman. Memang saya tidak menyangka akan menerima anugerah ini bersama semua nama-nama besar.
“Saya cukup terharu apabila diundang untuk menghadiri malam anugerah ini yang diadakan di Sarawak lebih lagi di hadapan peminat nombor satu P Ramlee, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.”
Yusri KRU
Yusri KRU dinobatkan sebagai Pencapaian Cemerlang Pengarah Filem Visual Kesan Khas.
“Memang ini adalah anugerah yang paling bermakna bagi saya kerana ia diberi daripada anak filem kepada anak filem sendiri.
“Saya juga terasa lebih bermakna apabila orang filem sendiri yang mengiktiraf karya saya, ini bermakna saya harus bekerja dengan lebih kuat untuk membuktikan anugerah yang saya terima ini tidak disia-siakan.
“Selain itu, usaha yang dilakukan KRU Movies untuk mempertingkatkan industri filem menggunakan kecanggihan teknologi terkini tidak dipandang sepi.
Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya buktikan dengan kepakaran teknologi yang ada, kita mampu menghasilkan filem dengan lebih baik."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: