ABDUL TAIB menyerahkan cek RM100,000 kepada Mustapha disaksikan oleh Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah (dua dari kiri). |
DITERBANGKAN ke Kuching, penganjuran Anugerah Perdana Seniman 2008 di negeri Bumi Kenyalang ini bagaikan dialu-alukan.
Selama tiga hari iaitu 4 April hingga 6 April, lebih 200 artis daripada lama dan baru berkampung di Kuching untuk memeriahkan anugerah ini dengan acara kemuncaknya berlangsung di Stadium Perpaduan Negeri.
Acara dwi tahunan yang diadakan bagi menghargai jasa anak seni tanah air anjuran Persatuan Seniman (Seniman) mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan sokongan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, menjadikan ia acara terbesar yang disertai oleh anak seni ke negeri itu.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam perutusan yang dimuatkan dalam buku cenderamata anugerah ini menzahirkan setinggi penghargaan kepada Seniman dan mengharap semua pihak memberi sokongan terhadap aktiviti yang dilaksanakan itu.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Sarawak amat berbesar hati dan ingin merakamkan penghargaan dan setinggi ucapan tahniah, terutama kepada penganjur iaitu Persatuan Seniman dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi yang mewakili Kerajaan Negeri Sarawak, di mana dengan daya usaha, komitmen dan idea, mampu bekerjasama menjayakan majlis yang amat bermakna ini,” katanya.
Menurutnya, memang sudah tiba masanya penggiat seni diberikan penghargaan dan pengiktirafan kerana bidang ini boleh dianggap sebagai satu bidang yang cukup kuat pengaruhnya dalam membina peradaban masyarakat.
AKSI lincah Anita menghangatkan suasana Anugerah Perdana Seniman 2009. |
“Memandangkan bidang seni boleh dianggap sebagai suatu bidang yang cukup kuat pengaruhnya dalam membina masyarakat peradaban masyarakat, mengukuh integrasi antara kaum selain memaparkan realiti sebenar kehidupan masyarakat, maka saya rasa anugerah sebegini iaitu penghargaan, ingatan dan simbol penghargaan kepada penggiat seni dalam semua bidang yang sudah banyak memberi sumbangan dalam menghiburkan masyarakat adalah tepat pada masanya,” kata Abdul Taib lagi.
Sebagai menghargai peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh Seniman, Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Abdul Taib menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM100,000 kepada persatuan ini yang diterima oleh Presidennya, Datuk Mustapha Maarof.
Kehadiran lebih 5,000 penonton di Stadium Perpaduan ini sudah jelas membuktikan penduduk Sarawak bukan saja menyanjung tinggi kerjaya orang seni tetapi ini juga dianggap sebagai satu kesempatan untuk menyaksikan secara dekat artis pujaan.
Sambutan ini dianggap cukup mengejutkan penganjur. Mana tidaknya, Kuching menjadi destinasi teramai kehadiran penonton selepas pernah mengadakan APSM sebelum ini di Kangar, Alor Star dan Kuala Lumpur.
Sebanyak 18 anugerah disampaikan kepada penerima yang banyak menyumbang jasa dalam industri seni dihargai pada malam kemuncak itu. Daripada jumlah itu, dua kategori iaitu Bintang Seniman dan Bintang Seniman Pencapaian Abadi serta anugerah khas tertinggi yang pertama kali diperkenalkan iaitu Anugerah Khas P Ramlee.
Abdul Taib dipilih menerima anugerah itu selepas mengambil kira minat mendalam beliau serta pengetahuan mengenai seniman agung Tan Sri P Ramlee. Malahan ia juga mengambil kira usaha Taib selama ini memulihara karya seniman itu yang dimilikinya secara peribadi dan tersimpan kemas di kediamannya di Demak Jaya.
Majlis penganugerahan itu turut diselang selikan dengan persembahan seni yang bertemakan Lama & Baru yang dijayakan oleh artis daripada ahli Seniman sendiri.
Persembahan pembukaan daripada anak kelahiran Sarawak sendiri iaitu Bob (AF) dengan nyanyiannya sambil menaiki perahu yang dijulang oleh penari pengiring dijayakan dengan cukup simbolik untuk mengucapkan selamat datang kepada semua delegasi.
Menariknya persembahan nyanyian bagi mengenangan kembali karya seni P Ramlee dijayakan dalam bentuk medley yang dinyanyikan oleh artis seperti Ahmad Fauzee, Azlina Aziz, Liza Aziz, Nasier Wahab, Hashimah Yon, Salwa Abd Rahman, Hail Amir dan Musly Ramlee.
Selain itu penonton dikejutkan dengan persembahan teater muzikal Impak Maksima yang di bawa khas dari Kuala Lumpur untuk disajikan kepada masyarakat Sarawak. Persembahan bertenaga 20 minit itu cukup menggembirakan masyarakat Sarawak yang diadakan ala Brodway.
Persembahan ditambah dengan nyanyian komedi daripada pelakon veteran Wahid Satay yang cukup mengelikan hati penonton. Majlis ditutup dengan persembahan diva tanah air, Anita Sarawak yang turut membawakan lagu P Ramlee.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: