Monday, April 13, 2009

Belum masanya Search dibubarkan


SHAZALLI (dua dari kiri), Naib Presiden Kanan Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan Search pada sidang akhbar Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Penghargaan Search Di Awan akan kembalikan kegemilangan kumpulan rock ini

PENGHARGAAN yang mengubat kekecewaan silam, sekali gus mengubah suatu keputusan berat yang pernah bermain dalam fikiran mereka - membubarkan kumpulan yang sudah hampir tiga dekad bertapak.

Selama 28 tahun berjuang, Search merentasi pelbagai kenangan. Ada ketika kepahitan meragut semangat namun semua kekecewaan itu seakan-akan dibawa pergi apabila ada pihak menghargai kesungguhan dan kerja keras mereka.

Search masih mahu berdiri membawa misi mereka untuk memperkasakan industri hiburan meskipun hakikatnya situasi pasaran muzik sukar membenarkan kumpulan yang ditubuhkan sejak 1981 ini untuk mengulangi kejayaan gemilang yang pernah dikecapi.

Konsert Penghargaan Search Di Awan, cetusan bersama Celcom (Malaysia) Berhad menyuntik semangat baru kepada Search untuk memperkasakan semula perjuangan yang pernah diragut apabila impian besar mereka gagal direalisasikan, tiga tahun lalu.

Tidak perlu mengungkit apa yang berlaku, namun ia meninggalkan kesan yang cukup besar kepada Search malah membuatkan mereka berkira-kira untuk membubarkan perjuangan sepanjang 28 tahun itu.



“Lambat laun Search pasti mengucapkan selamat tinggal kepada semua. Cuma pada waktu ini, kami belum membuat apa-apa keputusan.

“Search menempuhi perjalanan dan pencarian yang begitu lama. Jadi, sesuatu keputusan besar yang ingin dibuat harus dilihat secara menyeluruh dan berhati-hati,” kata Amy mengulas ura-ura pembubaran Search yang sebelum ini hangat diperkatakan.

Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru awalnya bertitik tolak daripada keinginan Search untuk menyatakan penghargaan kepada peminat sebelum pembubaran kumpulan itu dibuat.

Bagaimanapun, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramli mengubah segala-galanya.

Pertemuan serta perbincangan hati ke hati membuat Celcom tersedar, sudah tiba masa untuk melakukan sesuatu terhadap kumpulan yang berjasa dalam pembangunan muzik tempatan.

“Konsert ini adalah penghargaan kepada Search bersama Celcom untuk mengembalikan martabat mereka sebagai legenda.

“Ia bukan konsert selamat tinggal Search. Lebih 28 tahun Search dalam industri, agak malang jika tiada langkah dramatik diambil untuk memberikan impak serta kesedaran kepada masyarakat mengenai kekuatan mereka,” kata Shazalli.

Search pula menegaskan, keputusan awal dibuat membubarkan kumpulan itu bukan kerana terkilan dengan situasi semasa industri muzik.

“Search pernah mengecapi detik gemilang dan paling berjaya sebelum isu rambut diperdebatkan. Ketika itu, setiap kali melancarkan album baru, Search akan ke seluruh negara untuk konsert.

“Semua artis mengimpikan konsert tetapi kami tidak mahu konsert yang gagal. Kami mengharapkan konsert terbaik, sekali gus menjadikan ia sesuatu yang diingati dan dikenang oleh semua yang bertungkus lumus menjadikan impian ini satu realiti,” katanya.

Celcom bawa Search ke seluruh negara

Bakal dibawa ke 11 destinasi di seluruh negara, penyertaan Celcom mencetuskan satu ledakan baru kepada penggiat industri hiburan seterusnya mengembalikan kewibawaan muzik tempatan.

Kata Shazalli, Amy serta beberapa artis lain pernah merungut apabila syarikat telekomunikasi lebih mengutamakan artis luar yang dianggap lebih berwibawa, sedangkan bakat tempatan juga tiada kekurangan.

“Kita sering mengambil sikap sambil lewa terhadap artis sendiri sedangkan Search melalui laluan sukar untuk berada pada tahap ini.

“Membiarkan Search mengucapkan selamat tinggal adalah satu penghinaan kepada industri muzik negara,” katanya.

Namun kata Shazalli, bentuk sokongan tidak hanya melalui penajaan sebaliknya Celcom komited membangunkan pengisian industri muzik tempatan apabila membelanjakan lebih RM13 juta, tahun lalu.

Menaja Search kata Shazalli, membantu menambah nilai kepada pelanggan Celcom. Disebabkan itu mereka mencari konsep persembahan yang bersesuaian supaya tidak bercanggah dengan prinsip Celcom.

Mengulas mengenai konsert itu, Amy berkata, ia detik yang ditunggu-tunggu dan tanpa menyangka ia akan memberikan kenangan yang tidak pernah mereka bayangkan.

“Ini masanya untuk Search kerana bagi kami kalau mahu menyatakan penghargaan, berikan sesuatu yang bernilai dan akan diingati,” katanya.

Sempena konsert yang berjalan selama empat bulan itu, Search turut merakamkan tiga lagu baru yang ditawarkan eksklusif kepada pelanggan Celcom.

INFO: Senarai lokasi Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru

  • 2 Mei : Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang
  • 9 Mei : Stadium Tertutup MPJB, Johor Bahru
  • 16 Mei: Stadium Mini Jengka, Pahang
  • 22 Mei: Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu
  • 29 Mei: Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah
  • 5 Jun : Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kelantan
  • 27 Jun: Stadium Sarawak, Kuching
  • 4 Julai: Stadium Tertutup Miri, Sarawak
  • 11 Julai: Kompleks Sukan Sandakan, Sabah
  • 18 Julai: Kompleks Sukan Tawau, Sabah
  • 1 Ogos : Kuala Lumpur.

  • Tiket dijual pada harga RM35 dan RM55 untuk semua lokasi kecuali Kuala Lumpur pada harga RM55 dan RM85. Untuk keterangan lanjut, layari: www.tickethotline.com.my. Pelanggan prabayar Celcom Blue menerima 30 peratus diskaun dengan tambah nilai minimum RM30. Apa perlu dilakukan dengan menaip Search dan hantar ke 28881.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: