Sunday, April 5, 2009

Pesta Air 2009


BAGI menghangatkan kempen Zoom Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia melancarkan Pesta Air 2009 di Tanjung Balau, Johor, hari ini. Ia menyediakan pelbagai acara menarik antaranya sukan air, persembahan kebudayaan, pameran makanan tradisi dan permainan rakyat.

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar akan merasmikan acara ini. Dijadualkan, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said turut hadir.

Begitupun, acara paling menarik sudah pastinya konsert menampilkan artis popular anak jati Johor seperti Mawi, Noraniza Idris, Ramlah Ram dan Syura pada jam 8 malam dan dijadualkan berakhir jam 12 tengah malam.

Noraniza bakal mendendangkan lagu popularnya seperti Zapin Budi, Hatinya Tak Tertahan, Awallah Dondang dan Asyik Bisikan Hubah manakala Ramlah yang lama menyepi akan menyanyikan lagu seperti Ketentuan, Maharaja, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Diam-Diam Jatuh Cinta.

Sementara Mawi pula tampil mendendangkan lagu dari album terbarunya, Allah Habibee, Cinta Zulaikha dan Tercipta Untukku.

Pastinya paling menarik perhatian apabila anak tempatan yang berjaya mencipta nama di persada muzik antarabangsa, Datuk Shake akan tampil buat pertama kali di persembahan terbuka sempena perasmian Pesta Air 2009 mendendangkan lagu popularnya Umi, Gadisku, Lina dan Pulanglah.

Konsert yang dirancang dijangka akan bertambah hangat apabila kumpulan Senario turut sama menjayakannya. Selain berlawak jenaka dengan pengunjung, mereka turut menyanyi beberapa lagu seperti Sebelum dan Sesudah, Dikir Barat Siang Malam dan Joget Toleh Menoleh.

Turut sama memeriahkan acara, Kelvin Lau dan Kogee yang akan mendendangkan beberapa lagu Tamil seperti Kungguma, Dum Majale, Made In India dan Suranggani.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: