|
| PENGANJUR Grand Prix Petronas Malaysia ke-11, mengotakan janji mereka apabila menerbangkan penghibur sensasi dari Britian, Jamiroquai, ke negara ini Rabu lalu. |
Jamiroquai yang tiba di ibu kota beberapa jam sebelum sidang media Jamiroquai Live In Malaysia sempena F1 di Peridot Club, Hotel One World' bermula diwakili vokalis utamanya, Jay Kay atau nama sebenarnya, Jason Cheetham, 39, selaku jurucakap.
Sebagaimana dimaklumkan penganjur sebelum ini, kumpulan memperkenalkan konsep asid jazz itu diterbangkan khas bagi menjayakan konsert sempena penutupan acara berkenaan yang berlangsung, esok jam 8.30 malam.
Menambahkan lagi keghairahan, Jamiroquai akan melakukan persembahan di kawasan landasan helikopter yang di sebelah Litar Sepang Antarabangsa (SIC).
Jay Kay yang tiba lewat 90 minit pada sidang media itu berkata, pada persembahan malam itu peminat F1 akan dihiburkan dengan himpunan lagu daripada enam album mereka sebelum ini.
"Seperkara yang menarik apabila menjayakan persembahan ini kerana sejak dulu lagi muzik yang diketengahkan Jamiroquai sering dikaitkan dengan sukan permotoran," katanya.
Akui Jay, dia sendiri peminat dan penyokong setia pasukan Ferrari selain mempunyai koleksi kereta jenama mewah berkenaan.
"Ini adalah perlumbaan kedua yang saya saksikan sepanjang tahun ini. Apa yang boleh saya katakan serba sedikit mengenai persembahan malam itu nanti, peminat yang menghadiri pertunjukan akan terhibur dengan persembahan kami.
"Ia akan menjadi satu persembahan yang bagus, menyeronokkan dan kami mahu penonton merasai kehangatannya. Pernah sebelum ini kami menjayakan persembahan di Le Mans untuk Audi, apabila melalui acara itu terjalin hubungan yang baik dan mereka memaklumkan kepada saya terdapat banyak pasangan babitkan kira-kira 40,000 orang menanti persembahan kami.
"Justeru, kami harap sambutan yang sama dan sehebat itu diberikan peminat Jamiroquai di Malaysia," katanya.
Sidang media selama kira-kira 15 minit itu turut menyaksikan kehadiran Pengerusi SIC, Datuk Mokzani Mahathir. Satu upacara penyerahan cenderahati kepada Jay Kay turut disempurnakan Pengurus Besar Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Raja Datuk Nordiana Zainal Shah dan Pengurus Besar Karyaneka, Zuraidah Abdul Razak.
Band yang dipengaruhi elemen muzik jazz, elektro, soul dan disko dijangka memberi persembahan bertenaga dan memainkan himpunan lagu popular mereka antaranya Feels Just Like It Should, Seven Days In Sunny June, Runaway, Radio, Virtual Insanity dan Cosmic Girl.
Jay Kay berkata, tidak akan ada lagu balada dipersembahkan kepada penonton kerana mereka bukanlah kumpulan Boyzone.
Selain pertunjukan itu, Jamiroquai akan terbang ke Indonesia bagi menjayakan konsert sebelum pulang ke England untuk menyiapkan rakaman album ketujuh mereka.
Sebaik selesai pembikinan album berkenaan, mereka akan memulakan promosi jelajah sempena album berkenaan diperkenal di rantau Asia.
Mereka mempunyai alasan kukuh mengapa memilih Asia sebagai destinasi utama memperkenalkan kemunculan album kali ini kerana ketika album itu dilancarkan, Eropah akan mengalami musim sejuk.
"Keadaan cuaca terlalu dingin dan kami tidak tahan mengikuti aktiviti promosi dalam keadaan begitu. Sebab itulah kami mengambil keputusan melakukan promosi di Asia terlebih dulu kemudian kembali ke tanah air apabila suhunya stabil," katanya.
Beberapa artis turut ditampilkan sepanjang konsert 90 minit itu antaranya, Joe Flizzow yang baru melancarkan album solonya, The President; kumpulan R&B dari Amerika, Naturally 7; Maliq & D' Essentials dari Indonesia dan DJ outfit Twilight Actiongirl.
Semua pemegang tiket F1 yang berharga RM100 atau RM50 (untuk pelajar saja) berpeluang menonton konsert berkenaan, jam 8.30 malam iaitu sebaik perlumbaan akhir selesai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: