Sunday, April 5, 2009

Zon Abie: Jauhi 'asap hitam'!


ASSALAMUALAIKUM! Minggu ini saya cuba membawa perihal anugerah yang dikatakan berlambak dalam gelanggang hiburan yang tidak sebesar mana ini (malah makin mengecil) dan kebetulan pula dua anugerah besar - Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan Anugerah Industri Muzik 2009 bakal berlangsung, masing-masing pada 12 April dan 2 Mei ini.

Biar banyak mana sekalipun majlis anugerah hiburan, tak kisahlah. Orang kita memang suka kalau menang dan dihargai. Eloklah orang kita yang mengiktiraf orang kita sebab untuk mendapat pengiktirafan luar bukan mudah (lainlah anugerah picisan yang jarang kita kenali).

Klisenya apabila tiba hari-hari kemuncak majlis ini, selain sibuk terlalu mementingkan penampilan di acara itu nanti, pasti ada kata-kata daripada mereka yang tersenarai dalam Top 5: "Tercalon di dalam senarai lima ini pun sudah dikira menang." Kalau tidak pun kita akan didengarkan yang ini: "Saingan semua hebat."

Tidak salah, tetapi terlalu klise kerana orang kita terlalu menjaga hati pihak lain, sekali gus memberi gambaran yang orang kita memang tiada keyakinan tinggi. Apa salahnya kalau bunyi itu ditukar: "Saya yakin dengan persembahan saya dalam filem itu, saya sudah buat yang terbaik. Terpulanglah kepada juri."

Atau yang begini: "Berdasarkan pencapaian saya sepanjang 2008, populariti saya naik mendadak hasil daripada kerja saya. Bagaimanapun, menang kalah, kita serahkan kepada Allah." Tetapi ada juga yang serahkan kepada peminat sebab peminat yang membuat pilihan. Tolonglah!

Bukan niat untuk mengajar kerana siapalah saya, tetapi selalu sangat saya berdepan dengan klise ini sehingga terdetik di hati, apakah artis ini tidak mempunyai tahap keyakinan yang meyakinkan? Apa yang saya nyatakan contoh di atas tidak seberapa kerana saya percaya banyak lagi kata-kata yang lebih baik.

Saya tidak mahu memanjangkan kisah itu, tetapi masih berkaitan dengan majlis penganugerahan kepada karyawan kita. Ini antara insiden kecil berjiwa haru yang berlaku di sebalik majlis pertandingan. Semua ingin menang, bodohlah kalau yang tidak mahu, tetapi masuk calon juga.

Tulisan ini terbentuk dengan idea daripada pembacaan saya terhadap tulisan Aznil Nawawi dalam kolumnya, Borak Paknil di Metro Ahad esok. Saya terkejut dengan apa yang dinyatakan dan saya percaya sangat yang Aznil bukan manusia yang suka mengada-ngadakan cerita sesuka hati.

Selama ini dipendam saja dalam hati walaupun bibirnya sentiasa senyum lebar dan ketawa berdekah-dekah seperti yang kita dengar di Era atau tengok Tom Tom Bak serta Jangan Lupa Lirik.

Menurut ceritanya, ada kalangan artis sendiri yang menghina dan mencercanya kerana tidak pernah menang anugerah (beberapa tahun lalu). "Kalau setakat datang tepuk tangan, baik tak payah susah-susah naik Genting." Hasutan dengki ini berlaku dalam ABPBH. Teman yang duduk di sebelah pun boleh sinis begitu sekali.



Peliknya yang melemparkan kata-kata nista itu adalah antara yang selalu naik pentas menerima trofi popular. Bukan seorang itu saja, ada yang ketawa besar apabila nama Aznil tidak diumumkan sebagai pilihan juri atau peminat. Apabila menang pula, timbul cerita lain kononnya muka sama saja yang menang.



Nampak tak betapa hati penuh hasad dengki? Hairan dengan golongan artis sendiri yang suka sangat melihat kejatuhan orang lain. Opps! Saya tersilap, bukan perkataan hairan yang perlu digunakan di sini sebab industri kecil dan sederhana ini memang penuh dengan asap hitam. Baik sesama artis mahupun mereka yang memimpin persatuan. Konsep mereka sesuai bertajuk 'Joget Mari Berbalah'.

Panjang lebar yang dicatatkan Aznil kolum itu. Saya sarankan anda semua menghayati baris demi baris apa yang ditulis pengacara paling popular ini.

Kebetulan sebelum menulis Zon Abie ini, saya teringatkan satu hadis. Mungkin sesuai atau mungkin juga tidak dengan apa yang saya cuba sampaikan hari ini. Maafkan saya kalau silap, tegurlah saya. Tetapi hadis di bawah ini menarik perhatian yang pada pertimbangan saya boleh diguna pakai dalam konteks ini.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda, "Janganlah kamu berhasad dengki antara satu dengan yang lain, janganlah kamu (sebagai pembeli) pura-pura menurunkan harga yang tinggi dengan tujuan memperdayakan orang lain supaya membelinya dengan harga yang lebih tinggi, janganlah kamu benci- membenci atau bermusuhan, janganlah kamu putuskan hubungan mesra, pulau memulaukan sesama sendiri dan janganlah kamu (sebagai penjual) memotong jalan penjual yang lain (janganlah kamu melakukan perkara yang keji itu) tetapi hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara. - Hadis riwayat Muslim.

Wassalam, insya-Allah kalau panjang umur kita jumpa lagi minggu depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: