Monday, April 13, 2009

Mila ceburi dunia perniagaan


Mila

Menggunakan popularitinya untuk menubuhkan syarikat LUVMILA

DARI seorang gadis kilang, dia bergelar bintang dan kini Nursharmila Jirin membina nama bergelar usahawan dalam usia yang masih muda. Memang tidak ramai penyanyi seusianya memiliki pandangan jauh mengenai hala tuju hidup mereka.

Dalam usia 21 tahun, Mila tidak mempersia-siakan populariti yang dimiliki sebaliknya digunakan sebagai platform untuk mempertingkatkan lagi taraf hidupnya. Kurang dua tahun membabitkan diri dalam kancah seni, dia berjaya mengubah hidup keluarganya.

Namun semua itu tidak akan dicapai tanpa sokongan peminat, malah atas saranan mereka juga LUVMILA Corporation Sdn Bhd (LCSB) ditubuhkan Ogos tahun lalu. Syarikat yang memulakan operasinya sejak 2007 di bawah MJ Warisan Niaga, bagaimanapun kini menjadi milik Mila dan keluarga sepenuhnya.

LUVMILA Corporation Sdn Bhd (LCSB) yang memasarkan produk kecantikan serta penjagaan peribadi wanita itu dimulakan secara kecil-kecilan hanya dengan 200 unit dan beroperasi dari rumah penyanyi genit itu. Bagaimanapun, sambutan memberangsangkan daripada pengusaha pusat kecantikan, LCSB akhirnya memiliki premis perniagaan sendiri.

“Perniagaan ini ditubuhkan disebabkan peminat. Mila pernah didatangi peminat yang bertanya bagaimana untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Nak suruh mereka menjual album tentulah tidak logik dalam keadaan dunia muzik yang lembap ketika ini.

ADILAH Hassan memotong belon sebagai simbolik perasmian sambil diperhatikan Mila dan bapanya, Jirin Burhan (kiri).

“Pada satu hari kebetulan seorang rakan membawa Mila melawat kilang kosmetik, dari situ Mila mendapat idea untuk menjadi pengedar barang penjagaan wanita. Dengan modal yang kecil, perniagaan itu boleh membantu golongan wanita yang berminat dalam bidang perniagaan untuk menambahkan pendapatan.

“Mila sendiri memulakan dengan 200 set yang hanya beroperasi dari rumah. Memandangkan tempahan cukup menggalakkan Mila bersemangat untuk mengembangkan lagi perniagaan ini. Lagipun Mila masih baru dalam bidang nyanyian, macam-macam boleh berlaku kepada kerjaya ini, apatah lagi Mila tengok kerjaya artis yang turun naik jadi Mila perlu mencari langkah keselamatan untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika majlis perasmian syarikatnya di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Pelancaran LCSB itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Adilah Hassan.

Kesungguhan anak sulung tiga beradik ini untuk bergelar usahawan bukan main-main, demi bergelar seorang usahawan berjaya, dia kini banyak membaca buku mengenai perniagaan dan biografi.

ADIK bongsu Mila diusung oleh empat hulubalang ketika majlis perasmian.

Sekalipun sibuk dengan kerjaya nyanyian, Mila sedaya upaya berusaha membahagikan antara waktu kerja dan sebahagian lagi waktu diluangkan untuk membaca.

Bagaimanapun, bukan mudah menjadi insan bernama Mila. Kesenangan gadis ini seakan-akan kurang disenangi, apatah lagi melihat Mila kini memiliki perniagaan, maka pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya. Inilah yang terjadi kepada syarikatnya MC Voices satu ketika dulu.

Kali ini Mila sekali lagi dituduh mempunyai hubungan dengan lelaki berusia yang dikatakan penyumbang dana kepada syarikatnya LCSB.

“Bagi Mila semua tuduhan itu hanyalah usikan semata-mata. Sudah jelas tuduhan itu tidak betul sama sekali. Lagipun ini bukanlah pertama kali Mila dilemparkan dengan tuduhan yang tidak berasas, apa yang penting ibu dan ayah mengetahui kedudukan sebenar,” kata Mila.

Lega kontrak disambung

PENUTUPAN Maestro secara mengejut membimbangkan semua artis yang bernaung di bawah syarikat pengurusan berkenaan. Namun Mila berasa bertuah dan amat lega apabila namanya diserap masuk ke dalam Astro Entertainment.

Katanya, dia masih belum bersedia untuk bergerak sendiri dan masih belum mampu untuk menguruskan kerjayanya sendiri tanpa bantuan syarikat pengurusan.

“Sebaik saja mendapat berita mengenai penutupan Maestro, Mila mengaku memang risau. Mila beritahu Norza iaitu pengurus Mila mengenai kebimbangan terhadap penutupan Maestro.

“Ketika itu mulalah pelbagai perkara berlegar di fikiran terutama perancangan untuk kerjaya nyanyian Mila. Sebelum ini Mila selesa di bawah Maestro kerana layanan yang diberikan amat baik sekali. Mila tidak perlu pening soal jadual kerja semuanya Maestro yang sediakan, jadi apabila perkara ini timbul, Mila risau bagaimana untuk menguruskan jadual dan kerjaya kerana tidak bersedia sepenuhnya,” kata Mila yang simpati dengan nasib rakan-rakannya yang terumbang-ambing.

Walaupun dirinya terselamat daripada musibah itu, penyanyi kelahiran Pulau Mutiara ini tidak lupa nasib malang rakan-rakannya malah ada menghubungi mereka bertanya khabar. Mila juga berkata, dia akan cuba sedaya upaya untuk membantu rakan-rakannya andai berkemampuan seperti menawarkan kerja nyanyian kepada mereka jika bersesuaian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: