Saturday, April 18, 2009

Bakat Baru Tak perlu cantik atau tampan


ADAKAH anda mempunyai bakat berlakon dan ingin mencipta nama seperti Rosyam Nor, Erra Fazira, Faizal Hussein, malah Que Haidar ?
Dengan bakat kurniaan Ilahi serta yakin dan mempunyai karisma tinggi, Anak Wayang mampu merealisasikan apa yang diimpikan oleh bakat baru di tanah air.

Program realiti televisyen terbitan Astro kini muncul untuk mengasah bakat baru berusia 18 hingga 35 tahun sebaik bermula sesi uji bakat di tiga lokasi bermula 4 April hingga 19 April ini.

Bermula di Hotel Grand Paragon, Johor Bharu pada 4 hingga 5 April lalu dan Bayview Hotel, Pulau Pinang minggu lalu, Anak Wayang berjaya menarik kehadiran hampir 1,000 penyertaan.

Siri penjelajahan di Pulau Mutiara minggu lalu mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran lebih 300 penyertaan peserta bukan saja dari Pulau Pinang, tetapi Perlis, Perak, dan Kedah.

Dua hari sesi uji bakat membuktikan semangat anak-anak muda untuk menjadi seorang pelakon dipuji kerana kesungguhan mereka melakukan apa saja bagi menarik perhatian juri.

Minta apa watak yang perlu dilakonkan sama ada menangis, ketawa, marah, menggoda dilakukan dengan penuh penghayatan, malah ada juga hadir sekadar melepaskan batuk di tangga dan bersuka-suka.

Dramatis Roslan Husin ketika ditemui berkata, sebagai panel juri yang diamanah Astro untuk mencari pelakon bukannya sesuatu yang mudah tanpa mempunyai pakej yang tertentu.

Beliau berkata, tidak perlu berwajah cantik atau tampan, tapi bakat lakonan tiada, malah istilah Anak Wayang itu sendiri cukup mendalam apabila seseorang itu perlu menjiwai watak yang diberikan.

Katanya, ada di antara peserta mempunyai karisma sama ada lahir menerusi pentas teater mahupun drama tari namun ianya masih belum mencukupi kerana kurang membuat persediaan.

“Kita mencari pelakon yang berjaya dan seharusnya mereka merebut peluang mencuba sebaik mungkin,” katanya.



Begitu juga dengan Faizal Husin apabila misi sebenar mencari hero yang mampu memegang watak utama dan memenuhi segala kriteria dengan paras rupa yang menarik serta mampu beraksi lasak.



“Saya ingin mencari seorang pelakon yang terbaik seperti mana ketika saya mula muncul di pentas lakonan ketika berusia 18 tahun sehingga ke hari ini dan diharap segala-galanya akan diperolehi,” katanya.

Bagi Marlia Musa pula, sekiranya bakal peserta Anak Wayang boleh berlakon dengan baik, seharusnya ia digilap sebagai permata bukan diperam begitu saja.

“Untuk menjadi pelakon perlu ada semangat serta disiplin yang tinggi kerana ia lahir dalam kehidupan kita sehari-hari malah kesungguhan mereka datang dari jauh perlu dibalas,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Produksi Astro, Hisyamuddin Sehan, berkata sambutan diterima Anak Wayang cukup menggalakkan dengan kehadiran peserta dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Apa yang menarik, ada antara peserta yang hadir mempunyai pelbagai personaliti menarik selain golongan kurang upaya (OKU) turut tidak ketinggalan mencuba nasib dalam uji bakat ini.

"Selepas uji bakat di Johor dan Pulau Pinang, Anak Wayang akan bertandang ke Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 18 dan 19 April depan," katanya.

Salah seorang peserta yang mara ke peringkat kedua, Fyzreen Damira Ahmad Farid, 22, lakonan mantap pelakon serba boleh Elly Suriaty dan Marlia Musa menjadi pendorong untuknya mencuba uji bakat dan tidak menyangka terpilih.

“Minat dalam dunia lakonan sememangnya sudah ada dalam diri saya cuma menunggu peluang dan percubaan pertama nyata membawa tuah walaupun saya tanpa penyediaan rapi,” katanya.

Uji bakat seterusnya diadakan Shah Alam Convention Centre (SACC) pada 18 dan 19 April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: