Friday, April 17, 2009

Nurul kahwin tahun depan?

SEMAKIN jelita, bergaya dan berani - itulah yang boleh dikatakan kepada penyanyi, pelakon dan pengacara yang juga bekas isteri kepada penggubah lagu, Ajai sejak kebelakangan ini.

Setelah hampir dua tahun sepi selepas melahirkan single ‘Tangis Syukur’, Nurul akan muncul dengan album terbaru yang memuatkan lima lagu baru dan dua lagu bonus bila-bila masa sahaja. Ini mungkin akan melepaskan rindu peminat kepada artis berkulit hitam manis ini.

“Dah tak sabar rasanya nak tunggu album baru berada di pasaran. Nurul tak nak cerita panjang tetapi kepada yang dah lama menunggu tu kenalah dapatkan satu,” ujarnya ceria.

Ditanya rahsia kelihatan semakin jelita dan menawan, Nurul yang menjadikan aktiviti berkuda sebagai hobi di masa lapang terus menguntum senyum.

Ujarnya diiringi gelak: “Mungkin sebab Nurul sering gembira kerana rezeki semakin bertambah. Album baru akan berada di pasaran dan dalam waktu yang sama, Nurul telah dilamar untuk berlakon dalam sebuah filem tentang Zaiton Sameon.”

Sudah ada teman lelaki

Mungkinkah ada sebab lain Nurul semakin gembira dengan kehidupan kini? Apabila diusik tentang teman baru, Nurul terpana seketika sebelum dengan ikhlas mengakui kewujudan ‘si dia’.

“Tak berani nak cerita panjang kerana semuanya bergantung pada kuasa Tuhan. Insya-Allah kalau ada jodoh mungkin tahun depan kot,” ujarnya penuh makna. Akui Nurul, sejak kembali solo ada beberapa lelaki yang cuba mendekati tetapi pengalaman lalu membuatkan dia cukup berwaspada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: