Seperti yang saya cakap dahulu, saya seperti kahwin dengan mentua saya
SATU Malaysia tahu dia gila-gila dan keanak-anakkan, sama seperti Radhi yang kita kenal sewaktu dia mula-mula muncul dengan band OAG 15 tahun lalu.
Namun kegilaan itu, katanya, tidak dibawa hingga kepada kes mahkamah yang melibatkan dirinya dan isteri, Shazlin Sharif, 30.
Mohd. Radhi Razali, 31, tidak hadir pada prosiding sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 23 April lalu.
Bukan sekali tetapi lebih empat kali dan akhirnya waran tangkap dikeluarkan bagi mencabar 'kedegilan' Radhi.
Pasangan itu bernikah pada 1 Januari 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd. Rifdhi Muslim, 4 tahun.
SensasiBintang menemubual Radhi baru-baru ini.
Bagaimanakah kehidupan anda sekarang?
Saya sedang fokus kepada proses rakaman album solo saya yang akan menyelitkan sebuah lagu berjudul Infiniti. DVD dan VCD konsert OAG di Istana Budaya juga akan dikeluarkan kelak.
Mulai bulan hadapan hingga Julai nanti saya akan masuk studio. Material sudah ada sekitar 12 buah lagu. Album solo ini adalah luahan isi hati saya yang sebenar dan memaparkan warna perubahan saya.
Perubahan apakah yang anda maksudkan?
Sudah lama saya impikan album solo cuma sekarang baru terhasil. Saya bersama OAG sejak berusia 15 tahun dan sampai sekarang masih terbawa-bawa kinjaan saya pada usia muda.
Saya mahu berubah. Saya mahu jadi diri sebenar. Saya sebenarnya perlu berubah. Album ini terlalu peribadi. Mungkin boleh dikatakan album selepas cerai atau album krisis pertengahan usia.
Isteri saya tidak sukakan saya yang dahulu. Dia mahu saya berubah. Saya sudah berubah banyak untuk dia. Saya jadi warak untuk dia.
Kalau perihal kehidupan di luar lingkungan muzik, apakah yang anda ingin ceritakan?
Saya tahu awak mahu tahu perihal kes mahkamah. Demi Allah saya memang tidak tahu tentang sebutan kes itu dan tidak diberitahu tentang perlu hadir ke mahkamah. Kalau saya tahu saya akan pergi. Betul.
Maksudnya langsung tiada komunikasi antara kamu dan isteri hingga sekarang?
Tidak ada. Saya hairan kerana waktu saya pergi mengambil anak, dia tidak beritahu langsung hal mahkamah tersebut. Apa salahnya dia SMS saya dan beritahu.
Tapi hal ini sebenarnya sangat peribadi. Saya mahu bercakap dengan dia tapi bagi dia, muka saya pun dia tidak mahu pandang.
Komunikasi yang baik perlu dari mata ke mata tetapi ini sepertinya tidak boleh terjadi. Jadi bagaimana mahu berbincang?
Apakah masalah anda sebenarnya?
Saya seorang yang sukakan kehidupan yang indipenden sedangkan Shazlin suka tinggal di rumah besar keluarganya. Seperti yang saya cakap dahulu, saya seperti kahwin dengan mentua saya.
Saya sudah pindah rumah untuk hidup dengan keluarga saya, sudah beli kereta untuk keperluan kami. Saya tidak tahu apa yang tidak cukup lagi. Dia mahu berada di dalam zon selesanya. Zon mewahnya.
Anda duduk sendiri sekarang?
Ya, di rumah kami di Damansara. Sukar menghadapi kehidupan seorang. Kadangkala seperti datang satu perasaan yang membunuh. Suicidal!
Bukanlah saya mahu membunuh diri tetapi satu perasaan yang seperti saya tidak mahu berbuat apa-apa langsung. Saya sunyi di rumah dan resah fikirkan anak saya.
Saya memang tidak boleh hidup tanpa anak saya. Saya kahwin sebab mahukan keluarga sendiri tetapi sekarang jadi begini. Shazlin tidak rasa apa yang saya rasa. Saya tidak mahu tuduh tetapi saya tidak tahulah kalau dia sudah ada orang lain dalam hidupnya.
Anak kamu, Rifdhi, sekarang ada ikut minat dan bakat kamu?
Saya rindukan keletahnya. Dia sudah boleh menyanyi dan nyanyiannya lebih baik daripada saya. Dia cepat hafal lagu-lagu saya dan aktif. Lagu yang paling dia suka ialah Permaisuri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: