Gelak tawa bersilih ganti. Nyanyian duet mengiringi keriangan pada pagi hari temu ramah. Dua wanita ini berkongsi segalanya. Daripada kasut, baju hinggalah kepada perasaan di dalam hati.
Mereka punya persamaan fizikal dan emosi. Tapi satu perkataan yang paling tepat buat ibu dan anak yang vogue ini adalah ketabahan!
Pada mata kasar, selain kedua-duanya mempunyai tubuh yang kecil molek, Atilia dan ibunya, penyanyi versatil 1980-an, Salamiah Hassan, menyandang gelaran yang sama.
Mereka sendirian dalam melayari kehidupan dan karier tanpa dibantu seseorang yang bergelar suami. Namun hakikat itulah yang membuahkan kekuatan.
"Saya ingat lagi sewaktu kecil, saya memang nakal. Mama akan tunggu saya pulang rumah sampai pukul berapa pun. Saya juga pernah kena marah di hadapan orang. Dia memang seorang ibu yang garang.
"Tapi bila dikenang kembali kini, saya tahu mengapa dia berbuat demikian. Dia hanya menyanyi untuk menyara kami dan dia juga ibu dan bapa dalam kehidupan seharian kami," ujar Atilia, 35, tenang.
Mungkin kerana itulah Atilia atau nama sebenarnya, Raja Putri Atilia, hanya ditemani bapanya, Raja Haron pada hari dia dijatuhkan talak satu oleh suaminya, Ariff Johan Abdul Jalil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Atilia enggan ibunya hadir kerana si ibu sangat beremosi dalam menghadapi perkara sebegini. Kerana itu dia jarang menyuarakan cerita sedihnya kepada si ibu lantaran kelak tangisan ibunya akan lebih kuat berbanding dirinya.
Segala sedih serta duka hidupnya akan ditumpahkan kepada bapanya yang telah bercerai dengan ibunya 23 tahun lalu.
Menurut Salamiah, 57, Atilia jarang menelefonnya. Jadi bila nama Atilia tertera di skrin telefon bimbitnya dia tahu ada sesuatu yang penting atau tidak kena telah berlaku.
"Walaupun jarang menelefon, satu perkara yang kami pegang adalah masing-masing ada di hati kami."
Marah orang cakap pasal ibu
Dalam emosi yang tenang namun punya pawana marah, Atilia mengungkapkan bahawa anak mana yang tidak sakit hati dan marah bila orang luar sesuka hati berkata itu dan ini tentang ibunya.
Jika Atilia digelar hot mama, si ibu dilabel hot granny atau artis tua yang gemar berkemban dan berpakaian seksi. Gambar-gambar Salamiah memakai baju tidak berlengan atau skirt pendek juga bertebaran di Internet.
"Lama-lama saya faham dan kami mula beringat. Kena ambil perhatian akan segala perkara. Kami sudah mula tidak mengambil gambar dan meletakkan di laman web kami.
"Tiada apa yang salah dalam gambar-gambar kami cuma orang luar yang membesarkan hal itu.
"Saya ingat pesan ayah, apa yang penting adalah hati yang baik dan saya praktikkan itu," ujarnya yang seakan-akan sudah dibius dengan rasa marah apabila masyarakat suka menuding yang bukan-bukan.
Bagi Atilia mana mungkin dua tubuh kecil itu dapat mempamerkan keseksian.
Ibunya pula mengerti bahawa cakap-cakap perihal dia seorang ibu tua yang seksi sedang diperkatakan di luar. Salamiah tersenyum dan berkata: "Saya menganggap ia seperti kuman-kuman yang tidak berasas. Saya tidak rasa seksi dan saya selesa dengan apa yang saya gayakan.
"Sejak kecil saya sudah terdidik dengan famili yang terbuka malah ibu saya juga tidak pernah marah. Mulut orang memang tidak boleh ditutup.
"Yang boleh saya katakan ialah orang yang suka kutuk-kutuk ini seperti memberi kredit kepada kami sebab itu kami menjadi bahan kritikan mereka."
Salamiah terbayang diri
Salamiah sering melihat Atilia menyanyi di pentas dan terbayangkan dirinya sewaktu muda. Dalam hatinya terdetik, 'Eh.. itu saya.' Tersenyum menyatakan dia dan Atilia mempunyai persamaan dalam berinteraksi dengan penonton dan menyanyi dengan not yang tepat tetapi dalam keadaan 'belasah' sahaja.
Salamiah menjelaskan dia seorang yang kuat, garang dan tegas jika mahukan sesuatu. "Atilia ada semua itu. Tapi cara dia menegur jurutera bunyi lebih halus daripada saya. Cuma gerak-gerinya menyerupai saya."
Tingkah Atilia, dia mencemburui watak ibunya. Dia iri dengan kebolehan ibunya menangkap perhatian para penonton dengan tubuh yang genit itu.
"Memorinya sangat kuat. Dia ingat beratus-ratus lirik. Tidak seperti saya yang mudah lupa," ujar Atilia yang bakal berduet dengan Salamiah dalam lagu Gelombang untuk album kedua Atilia.
Gagal dalam perkahwinan
Atilia tenang bercerita perihal keruntuhan rumah tangga pertamanya. Katanya, dia masih bersahabat dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Jalil.Firasatnya, mereka lebih elok bergelar teman baik berbanding menyandang tanggungjawab sebagai suami dan isteri.
Malah kedua-duanya masih saling membuat panggilan telefon setiap hari bagi menyokong kegiatan masing-masing.
"Saya berkahwin pada usia yang muda, 24 tahun, pada 1998. Bagi saya, perkahwinan perlu dilakukan tulus daripada hati dan bukan atas paksaan sesiapa. Si dia harus menerima diri kita seadanya.
"Paling penting adalah sikap menghormati. Itulah kunci utama dalam perkahwinan, cinta jatuh di nombor dua."
Diusik adakah dia sedang mencari atau sedang bercinta kali kedua, Atilia ketawa.
"Oh, kalau saya ada kekasih sekarang mesti orang bercakap buruk tentang saya kerana baru bercerai. Saya biarkan saja hal cinta ini berjalan secara semula jadi.
"Dalam masa yang sama, saya tidak tipu yang saya memang mencari tetapi biarlah ia berjalan secara natural. Saya realistik, umur saya kini 35 tahun dan saya cintakan kanak-kanak.
"Ikut perkiraan, saya harus mempunyai anak pada usia 36 atau 37 tahun. Tapi buat masa ini belum ketemu. Hanya ramai kawan-kawan lelaki," ujarnya sekali gus menolak gosip jika ada yang menyatakan hatinya tertinggal di Jakarta lantaran sering berulang alik ke sana.
Sayu dalam tersenyum sewaktu saya bertanyakan ibunya pada waktu bilakah dia mahu melihat Atilia mendirikan rumah tangga lagi.
"Saya serahkan kepada dirinya. Saya tidak pernah memaksa dan dia juga tidak perlu tergesa-gesa. Jika takdirnya dia tidak berkahwin lagi pun saya tidak marah atau sedih.
"Saya juga tidak berkahwin lagi selepas gagal kali pertama dan saya percaya dia cukup kuat untuk melalui semuanya," tegas Salamiah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: