Wednesday, April 8, 2009

Mengimpikan cahaya mata


MENYUAPKAN kek perkahwinan ke mulut suami tercinta.

Yatt semakin bahagia selepas bergelar isteri

TIADA ada yang diimpikan pelakon drama TV tempatan, Haryati Hamzah atau Yatt selain kehidupan yang dirahmati Allah, sebaik saja dia bertemu jodoh dengan pengurus sebuah pusat rekreasi, Abdul Mutalib Abdul Shukor, 29 Mac lalu.

Kata pelakon berusia 29 tahun itu, dia dan suami seboleh mungkin akan cuba membina kehidupan yang dipenuhi kebahagiaan. Lebih daripada itu, kegembiraannya ingin dikongsi bersama sanak-saudara, teman dan peminat.

"Doakan juga semoga kami dikurniakan cahaya mata yang menceriakan lagi rumah tangga baru dibina," katanya ketika ditemui pada majlis persandingan di De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya, 4 April lalu.

Majlis persandingan pihak lelaki diadakan pada sebelah siang, manakala keluarga pengantin perempuan pula mengadakannya pada sebelah malam, di tempat dan hari yang sama.

Bercerita mengenai anak-anak, Yatt dan Talib tidak pernah merancang sebesar mana keluarga harus mereka miliki.

BERSAMA ibu pengantin lelaki, Wan Jamilah Wan Abdul Hamid.

Kata si suami, semua itu diserahkan kepada ketentuan Yang Maha Kuasa.

Yatt ialah anak sulung daripada sembilan adik-beradik, manakala suaminya anak ketiga daripada tujuh adik-beradik.

"Saya amat gembira dengan kehadiran Talib dalam kehidupan kami sekeluarga. Paling tidak, dia boleh membuatkan adik-adik saya mendengar kata. Maklumlah, kalau kakak mereka sendiri yang bersuara, mereka buat tidak reti saja," katanya sambil memberikan senyuman.

Bukan faktor itu saja yang membuatkan Yatt menerima Talib dalam hidupnya. Bahkan, lelaki yang seusia dengannya itu juga bijak menyesuaikan diri dengan keluarganya.

"Talib juga seorang lelaki yang kelakar dan pandai mengambil hati. Selain itu, dia tahu bagaimana untuk mengawal diri saya. Begitupun, tidak bermakna dia mengongkong pergerakan atau karier seni saya.

"Sebaliknya, dia amat menyokong kerjaya saya sebagai pelakon. Saya pula kini haruslah berfikir sebagai seorang isteri, serta menjaga batas-batas yang tidak harus dilanggar wanita yang sudah bersuami," katanya yang kelihatan anggun dalam gaun rekaan Lynda Rahim.

Talib pula menganggap Yatt wanita yang kuat berpegang pada prinsip, serta mempunyai kelembutannya sendiri walaupun pada zahirnya dia memperlihatkan sikap yang agak kasar.

"Pendek kata, dia memenuhi ciri-ciri yang saya cari dalam seorang isteri," kata Talib yang mula berkenalan dengan pelakon berkenaan pada 2004.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, kedua-duanya mengaku, akibat jadual kerja yang tidak mengizinkan, mereka masih menunggu waktu yang sesuai untuk bercuti bersama-sama.

"Jika diizinkan, saya teringin sekali untuk berbulan madu di pulau. Saya seorang yang sukakan kebiruan laut dan kehijauan hutan," kata Yatt.

Mengenai hantaran pula, mereka sekali lagi menegaskan, jumlahnya sesuatu yang dirasakan bersifat peribadi dan hanya diketahui oleh keluarga terdekat. Pasangan ini dinikahkan di Seremban pada 29 Mac lalu, selepas kira-kira setahun mengikat tali pertunangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: