Wednesday, April 8, 2009

Semoga tuhan bantu kami


PERSEMBAHAN Malaysian Unplugged Live @ Istana Budaya OAG Showcase akan menjadi persembahan terakhir Radhi bersama OAG.

Radhi sanggup tinggalkan OAG demi rumah tangganya

ZAHIRNYA dia nampak ceria. Malah perwatakannya masih 'gila-gila', seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun jauh di sudut hati, siapa tahu gelodak jiwa dalam diri Radhi selepas rumah tangga yang dibina bersama pelakon, Shazlin Sharif berkecai di pertengahan jalan.

Menjalani kehidupan sendirian membuatkan kehidupan Radhi ketika ini sentiasa dirundung duka. Disebabkan tekanan itu hampir saja membuatkan vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG) ini membunuh diri.

Namun, sokongan keluarga, teman rapat serta ingatan terhadap cahaya mata tersayang memberikan kekuatan kepada Radhi untuk meneruskan kehidupan serta tidak mudah mengaku kalah terhadap dugaan yang mendatang.

Pengakuan ini dibuat Radhi ketika ditemui pada sidang media Malaysian Unplugged Live @ Istana Budaya OAG Showcase baru-baru ini. Kata Radhi, walau apapun terjadi, dia akan pastikan perceraian bukanlah jalan penyelesaian.

Hip: Selepas lebih setahun kes rumah tangga Radhi dan Shazlin tertangguh, apa sebenarnya status perkahwinan Radhi ketika ini?

DEMI anak serta masih sayangkan isterinya, Radhi berusaha mencari jalan penyelesaian untuk tamatkan segera kemelut rumah tangganya.

Radhi: Kami masih lagi suami isteri walaupun sebelum ini dia (Shazlin) pernah meminta cerai. Saya masih sayangkan dia. Lagipun sebelum ini saya selalu terdengar cerita kawan-kawan yang berdepan dengan masalah rumah tangga terus menceraikan isteri mereka apabila dipaksa. Bagi mereka, artis mudah mendapat pengganti. Tapi saya tak mahu jadi begitu. Kalau boleh saya mahu mengulangi kembali saat-saat manis ketika bercinta. Saya sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan keadaan seperti ini, kesunyian dan merindukan kebahagiaan yang pernah kami kecapi sewaktu bersama dulu. Pun begitu saya tak nafikan antara saya dan Shazlin ketika ini tidak lagi serapat dulu. Kali terakhir saya bertemunya dua bulan lepas. Namun, kerana anak (Mohd Rifdhi Muslim), kami masih lagi berhubungan menerusi panggilan video dan bertanya khabar antara satu sama lain. Saya masih lagi menaruh harapan supaya kami dapat kembali bersama. Semoga tuhan dapat membantu memulihkan hubungan kami.

Hip: Tapi isteri Radhi sudah meminta cerai. Bukankah itu bermakna jalan penyelesaian yang diingininya?

Radhi:
Saya tahu, namun seperti yang saya katakan tadi, saya tak mahu terburu-buru. Saya tak mahu datang ke mahkamah apabila hal ini mahu dibicarakan kerana saya masih lagi mencari jalan penyelesaian. Berilah kami masa untuk menilai kembali hubungan kami. Saya akui sepanjang bersendirian, saya banyak bermuhasabah diri dan berfikir banyak perkara. Jadi, di sini ingin saya umumkan bahawa aksi di Malaysian Unplugged Live @ Istana Budaya OAG Showcase akan menjadi persembahan saya yang terakhir bersama OAG. Selepas ini saya bergerak secara solo. Mungkin apabila saya sudah bergerak solo, kehidupan saya nanti lebih teratur dan masalah rumah tangga saya dapat diatasi. Iyalah sebelum ini tumpuan saya banyak kepada kumpulan sehinggakan rumah tangga saya terabai.

Hip: Tak risau peminat OAG memberontak dengan pengunduran Radhi?

Radhi: Sebenarnya sebelum ini pun bekas syarikat rakaman kami, EMI pernah menyuarakan hasrat untuk melihat saya bergerak solo iaitu pada tahun 2000. Sebelum itu saya masih menjadi artis Postive Tone. Bagaimanapun, pada masa itu saya belum bersedia bergerak solo. Lagipun, muzik OAG masih lagi relevan. Tapi, saya kira waktunya sudah tiba untuk saya bergerak solo. Konsert saya di IB nanti bakal menjadi persembahan terakhir kami. Pengunduran saya sebenarnya sudah mendapat restu anggota lain seperti Eric, Fizul, Nizam dan Zul. Tapi ingin saya nyatakan di sini, pengunduran saya hanyalah untuk sementara dan bukan kerana sebarang perselisihan faham. Berilah saya peluang untuk melakukan perubahan dalam karier.

Hip: Apa pengalaman yang boleh Radhi kongsi bersama sejak hidup bersendirian?

Radhi:
Hidup berseorangan selama lebih setahun memberikan saya banyak idea untuk melahirkan lagu yang berentak perlahan dan yang mampu mengusik jiwa pendengar. Mungkin sebelum ini khalayak melihat saya sebagai seorang yang sentiasa ceria seolah-olah tidak mempunyai masalah. Justeru, dalam album yang diberi judul Infiniti ini nanti peminat saya akan dapat melihat saya dari sisi yang berbeza berbanding sewaktu bersama OAG. Kalau bersama OAG, kebanyakan lagu saya berentak rancak dan liriknya agak gila-gila tapi dalam album ini nanti, lagunya banyak menceritakan tentang kesedihan, yang ada kena mengena dengan kisah hidup saya. Apapun, saya bersyukur kerana dengan cara ini, sekurang-kurangnya penderitaan yang saya tanggung sedikit terubat.

Hip: Memandangkan konsert ini yang terakhir buat OAG, sebelum Radhi bergerak solo mungkin ada apa-apa mesej buat peminat anda?

Radhi:
Saya harap peminat OAG memahami situasi ini dan terus menyokong OAG dengan hadir ke konsert yang akan berlangsung pada 18 dan 19 April ini. Dalam konsert berkonsepkan akustik ini, kami akan menyanyikan lagu baru OAG berjudul British Di Bawah Tanah Air. Selain OAG, kumpulan lain yang akan membuat persembahan termasuklah Bunkface, The Times, Projek Pistol, Auburn, Cili dan Dance To The Radio.

Saya harap dapat jumpa semua peminat OAG di sana nanti pada kedua-dua hari itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: