Wednesday, April 8, 2009

Tidak sia-siakan peluang


JULIANA tertarik dengan dress rekaan Nurita

GEMERLAPAN majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini bagai terbayang-bayang di mata pereka baru, Nurita Harith. Maklum saja, dia tidak pernah merasai kegemilangan majlis anugerah berkenaan dan tahun ini, buat kali pertama dia diundang menyerlahkan lagi penampilan selebriti yang bakal menghadiri acara terbabit.

Memilih pengacara dan pelakon muda, Juliana Evans sebagai ‘modelnya’, Nurita berasa cukup berbangga apabila pereka baru sepertinya turut terpilih menjayakan acara sebesar ABPBH. Justeru, dia memastikan peluang itu tidak akan dipersia-siakan begitu saja, apatah lagi setelah menyedari ramai pereka yang mula mencipta nama sebaik saja membabitkan diri dalam majlis anugerah paling popular ini.

Nurita sendiri, walaupun masih kurang dikenali, namun sudah mendapat perhatian selebriti tanah air. Antara pelakon dan penyanyi yang pernah mengenakan ciptaan graduan rekaan fesyen dari United Kingdom ini ialah Maya Karin, Dynas Mokhtar, Dayang Nurfaizah, Atilia, Aishah Sinclair, Liyana Jasmay, Farah Asyikin dan Ainul Aishah.

Wanita yang memiliki butik sendiri di Bangsar ini berkata, untuk Juliana, dia memilih fabrik sutera satin dan sifon bagi gaun yang bakal menampilkan potongan duyung. Manakala sentuhan tenunannya pula akan diserlahkan pada perincian di bahagian dada.

"Dengan potongan badan yang cantik seperti Juliana, gaun dengan potongan duyung diharap dapat membuatkan dia kelihatan lebih tinggi," kata Nurita yang memilih rona ungu buat si pelakon jelita ini.

Selain Juliana, Nurita mendedahkan, dia turut menyediakan gaun untuk seorang tetamu jemputan VIP pada acara penuh gilang-gemilang itu nanti.

Juliana tidak mengharap

SEMENTARA itu, Juliana yang bersaing dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular bersama-sama Abby Fana, Fara Fauzana, Cheryl Samad dan Nurul Alis, tidak menaruh harapan tinggi untuk membawa pulang trofi, menyedari saingannya dalam kategori itu bukan calang-calang pengacara.

"Diletakkan sebaris dengan calon akhir lain sudah begitu menggembirakan buat saya. Saya sedar, saya masih kecil berbanding nama lain yang turut tersenarai. Apa-apa pun, kita sama-sama tunggu keputusannya nanti," ujar bekas hos rancangan Remaja ini.

Dia tidak menyembunyikan rasa terkejut apabila namanya diumumkan termasuk dalam kategori pengacara TV. Ketika menerima panggilan daripada penganjur, Juliana menyangka dirinya disenaraikan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular.

Begitupun, dia tentunya tidak melepaskan peluang untuk sama-sama memeriahkan acara terbabit. Sejak dua tahun lalu, Juliana tidak ketinggalan berada di Arena of Stars tatkala acara berlangsung.

Pada tahun ini, peluang itu lebih bermakna apabila dirinya juga sebahagian daripada finalis bertanding.

"Saya cukup seronok setiap kali dapat hadir ke malam kemuncak ABPBH. Bukan saja ia peluang terbaik untuk beramah-mesra bersama selebriti daripada pelbagai cabang seni, malah ramai kawan yang turut berada di sana malam itu. Jadi, bolehlah kami sama-sama melepak dan bersembang sampai pagi.

Parti meraikan finalis yang diadakan kemudiannya juga agenda yang sangat menarik," katanya.

Pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Amerika dalam Komunikasi di sebuah institusi pengajian tinggi swasta ini kini sibuk menjalani penggambaran siri Ghost 2. Dia juga baru saja menamatkan penggambaran drama epik berjudul Rosli Dhoby, serta sebuah telefilem yang belum berjudul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: