KUALA LUMPUR – Sebuah kereta yang diletakkan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Gajus di Dang Wangi di sini semalam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di dalam but kereta terbabit.
Mayat Shee Chin Wah, 41, ditemui pukul 2 pagi oleh polis peronda yang membuat tinjauan di flat berhampiran kawasan pembuangan sampah di situ.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamed Zulkarnain Abdul Rahman berkata, semasa anggota peronda menghampiri kereta Proton Wira itu, ia mengeluarkan bau busuk.
“Sebaik but kereta dibuka, anggota peronda melihat satu mayat lelaki lengkap berpakaian dalam keadaan kaki dan tangannya diikat menggunakan tali nilon,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas mayat itu mendapati, leher mangsa telah dijerut manakala mulutnya pula disumbat dengan kain.
Katanya, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri mangsa di tempat kejadian.
Bagaimanapun, Zulkarnain memberitahu, pemeriksaan terhadap kereta itu, mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita iaitu isteri mangsa yang menetap di kawasan Dang Wangi.
“Mengikut maklumat keluarganya, mangsa tidak bekerja dan keluar dari rumahnya pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemui semalam,” katanya.
Katanya, berdasarkan kepada keadaan mayat, polis percaya mangsa telah dibunuh lebih dua hari lalu sebelum mayatnya ditemui.
Ujar beliau, mangsa yang berasal dari Segamat, Johor mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan mencuri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: