Monday, April 13, 2009

Berlari 3 kilometer minta tolong


Sebahagian komponen dan wayar sebuah jentolak yang dirosakkan penjenayah di Jinjang Utara semalam.


KUALA LUMPUR – Dua pengawal keselamatan yang berlumuran darah di kepala berlari sejauh tiga kilometer dengan tangan terikat manakala mata hanya dapat melihat sedikit akibat ditutup pita pelekat menuju ke Balai Polis Jinjang bagi mendapatkan bantuan selepas diserang lima lelaki di Batu 6, Jinjang Utara di sini semalam.

Kejadian pukul 6 pagi itu berlaku selepas dua mangsa iaitu warga Indonesia dan Pakistan didatangi lima lelaki yang mahu mencuri dua buah jentolak yang diletakkan di satu kawasan lapang tidak jauh dari sebuah stesen minyak di situ.

Mulanya, dua mangsa yang ditugaskan menjaga tempat itu tidur dan kelima-lima lelaki itu terus mengejutkan kedua-dua mangsa sebelum tangan, kaki mereka diikat dan mata ditutup.

Penjenayah itu kemudiannya cuba menghidupkan enjin jentolak itu tetapi selepas setengah jam berusaha mereka masih gagal.

“Bengang dengan enjin jentolak tidak mahu hidup, suspek telah meminta kedua-dua mangsa membantu,” kata Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Zainudin Ahmad semasa dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun, menurut beliau, kedua-dua mangsa itu enggan membantu menyebabkan penjenayah itu meradang lalu membelasah kepala kedua-dua mangsa itu menggunakan senjata tajam menyebabkan mereka cedera.

Katanya, selepas hilang punca untuk menghidupkan dua buah jentera yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000 itu, kesemua suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam.

Zainudin memberitahu, menyedari mereka telah ditinggalkan penjenayah itu, dua mangsa dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup berlari selama 40 minit untuk sampai ke Balai Polis Jinjang bagi mendapatkan bantuan.

“Kedua-dua mangsa dapat lari selepas masing-masing dapat membuka sedikit pita pelekat yang menutupi mata mereka.

“Anggota polis yang terkejut dengan kehadiran kedua-dua mangsa yang cedera, tangan terikat dan mata bertutup sedikit itu terus menghubungi ambulans dan mereka dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapat rawatan,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: