Tuesday, April 28, 2009

Impikan kerusi sutradara




Fazren tidak ketepikan pengajian walaupun terima banyak tawaran berlakon

BICARANYA telus dan jujur, langsung tidak berselindung dan mungkin kerana itu Fazren Rafi disenangi ramai membuatkan tawaran lakonan sentiasa diterima oleh anak muda yang baru lebih setahun berjinak sebagai pelakon.

Pemuda berusia 24 tahun itu tahu apa yang dimahukan apabila memilih jalan hidup sebagai pelakon. Tegasnya ringkas, dia mahu meneroka segala ruang yang ada dan menimba sebanyak mungkin pengalaman kerana menceburi bidang seni adalah untuk bergelar pengarah.

Kesungguhan itu membuatkan pemuda yang berada dalam semester akhir jurusan Seni Persembahan Drama (Pengarahan) di Universiti Malaya (UM) langsung tidak memikirkan soal populariti.

Disebabkan itu dia berterus terang mengakui, sudah bergelar tunangan kepada gadis dari Batu Gajah, Perak, Sharifah Marlina Asyikin Syed Hassan sejak 13 Disember lalu.

“Untuk apa saya menyembunyikan perkara yang benar? Mungkin ada pihak selesa menyembunyikan status diri untuk menjaga populariti tetapi saya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu.

AZIZ (tengah) bersama barisan tenaga yang menguatkan produksi Mingguan Lelaki.

“Saya menjadikan lakonan sebagai platform untuk melangkah ke tahap lebih tinggi iaitu dengan bergelar pengarah. Itu cita-cita asal saya,” katanya.

Ditemui pada sidang media sempena pelancaran drama online, Mingguan Lelaki, jejaka yang mengagumi karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Namron ini berkata perkenalannya dengan gadis berusia 23 tahun itu bermula di tempat membasuh kereta.

Tidak sampai setahun berkenalan, mereka sepakat membawa hubungan itu ke satu tahap serius dengan menjalin ikatan pertunangan.

“Kami bertunang selama dua tahun. Alhamdulillah, setakat ini dia memahami kerjaya saya. Dia banyak menyokong dan tidak menghalang kerana dunia seni adalah minat dan kecintaan saya,” katanya.

Fazren mula dikenali menerusi drama bersiri Spa Q. Kesan populariti yang diraih menerusi produksi itu membuatkan kebanyakan peminat mengenalinya dengan watak yang dibawakan iaitu Dafi.

“Sampaikan saya begitu terharu apabila ada yang memanggil nama sebenar kerana sejak berlakon Spa Q, ramai yang menegur saya dengan nama Dafi,” katanya tidak menyangka populariti drama bersiri itu membawa banyak perubahan dalam hidupnya.

Dalam keghairahan memburu cita-citanya, anak kedua daripada lima beradik ini tidak lupa akan tanggungjawabnya sebagai penuntut.

Fazren berkata, dia berusaha keras untuk menggenggam segulung ijazah biarpun pada masa sama turut berhempas pulas di lokasi penggambaran.

“Sejak Spa Q tawaran berlakon tidak putus membuatkan saya perlu bijak membahagikan masa. Cuma tinggal dua kertas lagi yang perlu diselesaikan sebelum tamat pengajian. Sayang jika disia-siakan hanya kerana terlalu mengejar tawaran berlakon.

“Tawaran bagus tetapi ada yang terpaksa dilupakan disebabkan bertembung dengan jadual pelajaran. Saya mahu selesaikan dulu pengajian kerana itu permintaan ibu bapa.

“Berlakon selain memberikan wang poket kerana saya mahu berdikari, juga membuka ruang untuk saya mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari ketika di kelas. Ternyata ia memberikan pengalaman yang berbeza,” katanya.

Selain Spa Q 1 dan 2, Fazren juga pernah beraksi untuk drama lain seperti Adam, Puteri, Ali Din, Impian Laili, Air Mata Raj’ie, Bong dan Cintaku Di Mukah.

“Saya selesa mengambil satu tawaran dalam satu masa. Pernah dulu saya menerima dua tawaran serentak, sudahnya hidup saya jadi kelam kabut. Semuanya serba tak kena.

“Dari situ saya terfikir lebih baik memfokuskan kepada satu pekerjaan supaya tidak menimbulkan kekalutan bukan saja diri sendiri tetapi juga produksi terbabit,” katanya.

Menyentuh pengalaman bekerja di bawah Aziz M Osman dalam drama bersiri online, Mingguan Lelaki, Fazren berkata, dia semakin selesa kerana sudah memahami corak pengarahan pengarah itu selepas membintangi Puteri.

“Dulu saya takut kerana abang Aziz agak ‘ganas’ di lokasi tetapi kali ini dia lebih tenang. Mungkin ketika berlakon dalam Puteri dulu saya belum faham selok belok perjalanan kamera membuatkan saya tertanya-tanya banyak perkara.

“Untuk drama Mingguan Lelaki, perasaan takut sudah tiada sebaliknya saya lebih berjaga-jaga untuk memberikan hasil maksimum yang dimahukan pengarah,” katanya.

Mingguan Lelaki siaran Gua TV menemui penonton mulai 4 Mei ini di laman sesawang: gua.com.my memperlihatkan Fazren sebagai Ilham, lelaki lurus bendul yang menyandang jawatan sebagai penulis di majalah lelaki picisan.

Dalam kesibukan menulis mengenai isu lelaki, Ilham bekerja keras menyiapkan prototaip robot dengan hasrat mahu memenangi pertandingan yang menawarkan ganjaran lumayan RM100,000 sebagai hadiah utama.

Teman karibnya, Misha menyimpan perasaan terhadapnya. Bagaimanapun tumpuan Ilham terganggu apabila tertarik kepada penyanyi seksi dan menggoda, Farah. Drama ini turut dibintangi Sari Yanti, Memey Suhaiza, Khira Rahman dan Saiffz Salleh.

Subjek lebih dewasa

SINONIM dengan drama remaja sejak beberapa tahun ini, sentuhan Aziz menerusi Mingguan Lelaki membawa pengarah prolifik ini meneroka subjek baru yang lebih dewasa dan matang.

Bahkan pengalaman Ilham yang dibawakan Fazren, kata Aziz, mirip perjalanan yang dilaluinya dulu sebelum berjaya bergelar pengarah.

“Saya memang bercita-cita mahu bergelar pengarah tetapi ketika itu siapa yang percaya kepada percakapan seorang pelakon kanak-kanak.

“Tetapi saya percaya kepada aura yang diberi kepada orang ramai. Saya berusaha keras untuk mencapai cita-cita sebagai pengarah.

“Seluruh pengalaman lalu saya adaptasikan ketika pembikinan Mingguan Lelaki kerana mesej drama ini cukup baik.

“Biar apa juga situasi yang ditempuhi Ilham, fokus dan sasaran yang mahu dicapai tetap tersemat dalam dirinya. Ia bertepatan dengan situasi semasa kerana dalam apa juga keadaan kita perlu sesuaikan diri walaupun tidak berminat menjalaninya,” katanya.

Aziz juga mengakui, buat pertama kali dia tidak terbabit dalam menentukan senarai pelakon sebaliknya hanya menjalankan dengan material yang sudah tersedia.

Malah skripnya juga kata Aziz, tidak memerlukan sebarang rombakan kerana pecahan episod dibuat dengan teliti menjadikan Mingguan Lelaki sebuah karya asli.

“Saya berbangga kerana barisan pelakonnya memberikan komitmen yang baik, malah mereka juga menunjukkan bakat lakonan luar biasa.

“Seperti Memey Suhaiza, awalnya saya tidak yakin dengan kemampuannya. Tetapi watak perempuan penggoda dibawanya dengan baik dan dia berjaya memberikan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sering dilihat selama ini.

“Memey mempunyai potensi dan bakat yang besar untuk digilap menjadi pelapis pelakon yang berkualiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: