JIKA untuk album perdana Matta dikenali lewat penggunaan kata 'Oo Oo' dalam lirik lagu popular mereka, Ketahuan, album selanjutnya juga menggunakan resipi yang sama.
Memasukkan banyak unsur kisah nyata untuk lirik-lirik yang ditulis, album kedua ini dinamakan Pematta dengan mempersembahkan single Ada Yang Marah untuk dihayati oleh para peminat.
"Ada Yang Marah diambil daripada kisah benar dua anggota band ini.
"Sama seperti Ketahuan, lagu ini mengisahkan kekasih seseorang yang digoda oleh teman baiknya sendiri," ujar Matta yang ditemui di pejabat syarikat rakaman Pelangi Indah di Jakarta, Indonesia.
Untuk album kedua ini mereka mengakui sudah bertemu dengan warna sebenar muzik yang mereka cari sebelum ini.
Sedar dengan fenomena anak-anak kecil turut menyanyikan lagu-lagu mereka khususnya Ketahuan, Matta mempertaruhkan lirik yang nakal dan lucu serta sudah biasa dengan kehidupan harian pendengar.
"Dari sudut material, muzik kami sedikit berbeza. Namun garis pemisahnya kami sudah dapat melalui album Permatta. Muzik kami lebih segar dan semakin menunjukkan ciri-ciri kedewasaan," setuju ahli band ini.
Mereka sepakat menyatakan bahawa kehadiran album pertama dengan meledaknya lagu single Ketahuan benar-benar memberi impak dalam karier mereka.
"Dari sudut kehidupan dan muzik, ia memang memberi perubahan yang besar," ujar si vokalis, Sunu, yang pernah digosipkan dengan pelakon remaja Malaysia, Diana Danielle.
Apabila disentuh tentang kualiti muzik mereka yang lebih menjurus kepada soal kuantiti jualan dan memenuhi kehendak pasaran semata-mata, mereka menjawab: "Kami mencari inspirasi untuk membuat album ini selama lebih lapan bulan.
"Bukan semudah itu untuk dilihat dari sudut komersial. Kami harus selamba saja membuatnya. Tapi ia bukan bermaksud kami tidak ambil peduli. Kami ambil berat soal lagu serta kualiti."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: