NORDIN WAN CHIK ataupun lebih dikenali sebagai Nana Carefree dikurniakan kebolehan memainkan saksafon dan trombone.
"Saya minat sangat main alat muzik sejak kecil. Dulu saya tak ada duit nak beli saksafon. Jadi saya pun simpan duit 50 sen dan menyewanya sekejap daripada sebuah pancaragam pengebumian kaum Cina.
"Lama selepas itu barulah saya mampu membeli sebuah saksafon usang dari sebuah kedai pajak gadai di Penang Road, Pulau Pinang," imbau beliau.
Penyertaan dalam sebuah kumpulan boria membawa tuah apabila beliau menarik perhatian penyanyi A. Ramli yang kemudian membawanya masuk ke dalam kumpulan Teruna Ria.
Pada tahun 1973, Nana berhijrah ke Kuala Lumpur dan bertemu dengan Lord Ella The Boys yang menjadi pemangkin kepada penubuhan kumpulan Carefree.
Rezeki kumpulan ini muncul apabila pengurus kelab malam Artist Club, Mike Burney membenarkan mereka berlatih bermain muzik di situ secara percuma.
Persembahan di kelab-kelab malam membuatkan nama Carefree semakin dikenali. Pada tahun 1978, mereka ditawarkan untuk merakamkan lagu di bawah naungan CMI. Bermula dari detik itulah jenama Carefree mendaki populariti.
Namun Carefree hanya bertahan sehingga 31 Disember 1982 akibat tiada persefahaman dengan pihak pengurusan.
Pasca Carefree, Nana gigih mengorak langkah sendiri. Alunan merdu saksafon Nana terus berkumandang di hotel-hotel terkemuka Kuala Lumpur.
Hala tuju karier Nana bertukar apabila beliau bertemu dengan pengusaha filem Umar Rojik.
"Daripada Umar Rojiklah saya belajar selok-belok penghasilan dan penerbitan media visual hingga saya dapat menghasilkan drama pertama saya, Kerana Sebuah Beg."
Minat barunya itu telah melahirkan sebuah syarikat produksi iaitu Productive Impact (M) Sdn. Bhd., hasil usaha bersama isterinya pada tahun 1992.
"Sekarang saya sedang menghasilkan sebuah dokumentari untuk Discovery Channel berjudul Di Persada Dunia, bertujuan memperkenalkan Malaysia ke mata masyarakat antarabangsa," ujarnya.
Menurut Nana, beliau juga sangat gemar menulis skrip dan menjadi pengarah. "Pengalaman yang tak dapat saya lupakan ialah semasa saya memasuki perkampungan Abu Sayyaf di Filipina untuk membuat liputan mengenai kumpulan itu dan budaya mereka.
"Masa itu saya ingat mereka nak serang kami, tapi tidak. Sebaliknya mereka telah awal-awal bersedia dengan baju masing-masing untuk mempersembahkan budaya mereka," kenang beliau.
Meskipun giat dalam seni visual, cintanya terhadap seni muzik masih membara. Baginya, meskipun Carefree telah lama pudar, kumpulan itu belum mati di dalam dirinya.
"Saya dan ahli kumpulan yang lain kini bercadang untuk menubuhkan Carefree Entertainment, iaitu sebuah syarikat untuk mencungkil dan melatih bakat-bakat baru dalam bidang muzik dan nyanyian."
Tambahnya lagi, Carefree juga akan menghasilkan single baru untuk mengembalikan kegemilangan kumpulan tersebut.
"Kami akan tampil dengan lagu baru dan juga seorang anggota baru," dedah Nana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: