Sunday, April 19, 2009

Matahati Ke Matadunia di pentas dunia

KUMPULAN House Of Matahati (HOM) sememangnya antara kumpulan artis yang paling aktif dan berpengaruh di Malaysia. Maka tidak hairanlah jika HOM sering terpilih untuk membuat pameran-pameran lukisan di serata pelosok negara.

HOM telah pun mencipta nama sejak 1993 oleh sekumpulan artis atas modal sendiri dan melaksanakan semua program yang dirancang oleh kumpulan tersebut.

Dianggotai oleh Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Masnor Ramli Mahmud dan Hamir Soib, Matahati sebenarnya telah menjadi penyumbang perkembangan seni tampak di Malaysia sambil memupuk bakat pelukis muda untuk terus berkarya.

Menariknya, setiap pelukis yang terlibat bukan sahaja mempunyai gaya lukisan masing-masing malah turut sama memperlihatkan identiti Malaysia seperti pahlawan Melayu, harimau Malaya, watak tok dalang dalam pementasan wayang kulit dan sebagainya.

Kini satu lagi sejarah tercipta. HOM kini mengorak langkah ke persada antarabangsa bakal mengadakan pameran lukisan ke Los Angeles sedikit masa lagi.

Perancangan untuk membawa lukisan Malaysia ke luar negara sebenarnya telah pun dilakukan sejak tiga tahun lalu dan hanya kini barulah ia dapat dilaksanakan.

Kali ini Matahati Ke Matadunia turut mendapat kerjasama daripada Balai Seni Lukis Negara, Galeri Chandan, DCA Fine Art, AD.verse dan kumpulan HOM sendiri.

Matahati Ke Matadunia tidak sekadar menyasarkan membuat pameran ke luar negara malah turut sama mahu membuka mata dunia tentang kemewahan serta kepelbagaian keseluruhan senario kontemporari di Malaysia.

Pameran kali ini mencipta sejarah kerana ia merupakan penyertaan paling ramai pelukis dari Malaysia yang akan terlibat dalam pameran yang akan diadakan selama tiga tahun yang akan bermula di Los Angeles dan merentasi beberapa buah tempat lain di sana.

Di samping itu juga setiap pelukis akan mempamerkan lima buah lukisan yang mapan dan para turut sama akan dijual kepada peminat seni di sana.

Apa yang menariknya, sekiranya lukisan yang mereka pamerkan itu dijual, maka kelima-lima ahli HOM akan membuat lukisan yang lain untuk menggantikan lukisan yang dijual.

Bagi Bayu Utomo, peluang yang wujud pada masa kini tidak harus dilepaskan begitu sahaja memandangkan ini adalah kali pertama pameran selama tiga tahun diadakan di luar negara.

“Saya merasakan Matahati Ke Matadunia merupakan sebuah peluang keemasan bukan sahaja kepada kita malah kepada rakyat Malaysia kerana ia turut sama mempromosikan seni Malaysia ke luar negara.

“Ada orang yang obses terhadap lukisan. Ada pula yang obses terhadap pelukisnya. Jadi kami cuba untuk menggabungkan kedua-duanya supaya masyarakat luar dapat menerima apa yang cuba kita paparkan ini,” kata Bayu Utomo ketika ditemui dia Balai Seni Lukis Negara.

Akuinya lagi, setiap lukisan semestinya mempunyai kualiti yang terbaik di samping nama pelukis yang popular untuk menjual hasil lukisan mereka.

Menyingkap perjalanan karier seni mereka bukan satu perkara yang mudah untuk sesiapa juga melaluinya. Banyak rintangan dan halangan yang terpaksa mereka lalui sebelum berjaya sampai ke tahap ini.

HOM sendiri bergerak atas usaha mereka berlima dalam memartabatkan bidang lukisan ke peringkat yang tertinggi. Lantaran itu pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan termasuklah program pertukaran dengan negara lain terutamanya Asia Tenggara bagi menghubungkan artis tempatan mengikut wilayah.

Sejak ditubuhkan HOM telah berjaya melahirkan MAGER, sebuah kumpulan pertukaran residen dengan Indonesia dan Filipina dan ARTRIANGLE, sebuah pameran untuk mengutip dana yang disertai pelukis dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Jelas Bayu Utomo, generasi muda seharusnya lebih peka terhadap masa depan kegiatan seni Malaysia supaya ia tidak terpinggir lantas jauh tertinggal di belakang negara-negara luar.

“Sebab itu kita menggalakkan generasi muda supaya dapat menghasilkan lukisan yang berkualiti dan setidak-tidaknya ia bakal mencuri tempat di hati peminat.

“HOM tidak pernah meminggirkan golongan ini kerana mereka merupakan golongan pelapis masa hadapan. Tapi saya sendiri mahu golongan muda bekerja dengan lebih keras dan tidak hanya menunggu peluang yang ada sahaja,” tuturnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: