|
|
Ada yang suka, tidak kurang juga yang mengeji. Begitulah pandangan skeptikal masyarakat terhadap golongan maknyah yang wujud pada hari ini.
Maknyah bukanlah satu fenomena baru dalam dunia masa kini malah ia sudah merentas zaman sejak dahulu lagi. Lantaran itu ada yang sanggup untuk mementaskan teater berkaitan dengan golongan ini.
Walaupun sudah dipentaskan pada tahun lalu, teater Patung Kertas masih lagi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak. Maka tidak hairanlah teater ini akan dipentaskan sekali lagi pada 23 April hingga 3 Mei ini.
Patung Kertas tidak sekadar memaparkan sisi gelap kehidupan golongan maknyah. Tetapi turut sama membuka mata khalayak mengenai apa yang terjadi di sebalik tirai kehidupan mereka selain menyampaikan mesej kepada penonton.
Bagi teraju utama Patung Kertas 2, Ashraf Muslim, teater ini merupakan pementasan yang istimewa bagi dirinya sejak mula berlakon teater itu pada musim pertama. Walaupun agak sukar untuk melakonkan watak Adik Chu, tetapi dia yakin dengan kebolehan dirinya untuk menghidupkan watak tersebut.
“Agak sukar sebenarnya nak menggambarkan perasaan apabila saya masih lagi dipilih untuk sebagai teraju utama kali ini. Susah sebenarnya untuk melakonkan watak Adik Chu ini,” jelas Ashraf.
Akui Ashraf, ada kalanya dia sendiri gusar terhadap pandangan masyarakat terhadap dirinya memandangkan watak tersebut sering dipandang negatif oleh orang ramai.
“Orang sering bertanyakan saya tentang cabaran melakonkan watak Adik Chu. Memandangkan saya bukanlah orang yang sebegitu, agak sukar sebenarnya untuk menjadi selembut ini.
“Sebab itu saya mula membuat kajian semula terhadap golongan ini. Saya terpaksa melihat cara mereka bercakap, senyum, berjalan dan semua sekali perkara yang berkaitan dengan mereka.
“Memang ini cabaran yang terpaksa saya tempuh. Saya tidak pernah menyesal apabila berlakon Patung Kertas, malah berbangga apabila dapat menimba banyak ilmu daripada kru dan pelakon yang ada,” ujarnya lagi.
Untuk menjadi pelakon yang berbakat, semua perkara harus dihadapi dengan tenang. Ashraf sendiri tidak mahu terlalu memilih watak yang ditawarkan walaupun kadangkala di luar batasan.
Bagi Kelvin Lau yang baru pertama kali memegang watak sebegini, dia sendiri takut terhadap penerimaan penonton apabila melihat dia beraksi dalam teater ini.
“Sepanjang 18 tahun bergiat aktif dalam bidang seni, saya akui inilah watak yang paling mencabar diri saya sebagai seorang pelakon.
“Ini bukanlah teater yang pertama lakonan saya tetapi ia adalah teater kedua. Saya akan cuba membawakan watak maknyah Cina sebaik-baiknya.
“Ada kala saya sendiri bimbang kesan negatif yang akan saya terima nanti. Tapi, setiap tindakan yang saya buat ada baik dan buruknya. Kalau takut kesan buruk sampai bila-bila pun tak kan ke mana,” jelas Kelvin yang pernah membintangi teater Ma Ho Huan.
Akui Kelvin, dia sendiri malu sendirian apabila cuba membawa watak maknyah Cina. Dengan berkat usaha dan tunjuk ajar daripada pengarah, semuanya kini boleh dilalui dengan sempurna.
Bagi Kelvin, menjadi seorang pelakon sememangnya memberikan 1001 cabaran yang tak pernah berkesudahan berbanding dengan bidang nyanyian yang sebelum ini telah pun menaikkan namanya.
“Tapi untuk menjadi seorang artis yang serba boleh saya tidak boleh selesa dengan apa yang sudah saya miliki sahaja. Masih banyak lagi perkara yang saya kena belajar selagi sehingga akhir hayat,” ujarnya lagi.
Kini, Kelvin mahu peminat menilai sendiri keupayaannya membawakan watak tersebut. Maklum balas daripada peminat adalah amat penting bagi memastikan dia dapat memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: