Sunday, April 19, 2009

Kristal mempamer sengat




Tidak sukar untuk mengatur temu janji dengan kumpulan ini. Walaupun sudah bertapak selama satu dekad dalam industri hiburan tempatan, namun Kristal tetap seperti dahulu.

Tidak semua artis bersikap begini.

Mungkin ada yang lebih meletakkan syarat yang bukan-bukan sebelum mereka boleh ditemu bual.

Disiplin dan semangat yang ada pada kumpulan ini sewajarnya diberi pujian lantaran sikap merendah diri mereka kepada umum.

Berbicara mengenai perjalanan kerjaya seni mereka bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Di sebalik pahit getir kehidupan sebagai insan seni, Kristal masih boleh berbangga kerana dapat bertahan selama 10 tahun dalam industri seni.

Sejarah telah membuktikan bahawasanya tidak ramai kumpulan yang akan bertahan lama dan menjadi legenda sepanjang zaman. biasanya hanya dapat bertahan empat lima tahun.

Kerjaya seni Kristal bermula sejak tahun 1999 dan ketika itu ia menjadi anak didik Awie. Walaupun pelbagai peristiwa hitam yang melanda Kristal sebelum ini, mereka masih lagi boleh berbangga kerana dapat bersatu meneruskan perjuangan seni.

Dianggotai oleh Razlan, 24 tahun, Rody, 23, Ezal, 25 dan Acap, 16, mereka merupakan antara kumpulan yang paling aktif menghasilkan album setakat ini.

Bagi Razlan, dia sendiri tidak menyangka untuk bertahan selama ini dan sepanjang perjalanan ini mereka telah pun menghasilkan sembilan buah album termasuk empat kompilasi yang mendapat sambutan daripada peminat.

“Sambutan daripada peminat sememangnya kami hargai. Kalau nak diikutkan Kristal sendiri selalu juga mengadakan persembahan di funfair. Bagi saya ini bukanlah satu perkara yang memalukan.

“Malah kami sendiri kagum melihat kesungguhan peminat yang datang menyaksikan persembahan tersebut dan kami benar-benar menghargainya,” jelas Razlan.

Lantaran itu Razlan tidak kisah jika ada yang melabelkan mereka raja fun fair kerana mereka sedar tempat itulah yang telah melahirkan Kristal 10 tahun yang lalu dan tempat itu juga yang menaikkan nama Kristal sehingga ke tahap ini.

Kumpulan yang pernah popular dengan lagu Delaila ini juga tidak pernah surut menerima kritikan lantaran mereka sering sahaja membawakan lagu-lagu saduran yang pernah dipopularkan oleh artis-artis dahulu.

Cinta SMS dan Memburu Impian yang pernah dinyanyikan oleh Kaza merupakan antara lagu yang dinyanyikan semula oleh Kristal dan dimuatkan di dalam album mereka.

Bagi Rody tidak ada salahnya untuk mereka terus merakamkan kembali lagu-lagu tersebut memandangkan masih ramai lagi yang meminati lagu tersebut.

“Sebenarnya bukan kami tak mahu membuat lagu-lagu baru. Kristal juga sedar impak yang akan kami terima sekiranya terus menerus menyanyikan lagu saduran.

“Pihak syarikat rakaman juga mempunyai strategi yang tersendiri dalam merencanakan perjalanan Kristal. Tapi saya sendiri akui, album yang memuatkan lagu saduran tersebut memang mendapat perhatian peminat,” jelas gitaris ini lagi.

Tambahnya lagi antara perancangan yang telah diatur termasuklah akan menerbit tiga buah album dalam masa setahun termasuklah satu album yang memuatkan lagu-lagu baru mereka.

l Album Bollyrock

Sedikit masa lagi peminat dapat menyaksikan kemunculan album kompilasi Kristal yang berentak Bollywood yang jarang sekali di angkat oleh mana-

mana penyanyi untuk dijadikan album penuh.

Bagi Ezal tidak ada salahnya untuk mereka memberikan pembaharuan kepada sesuatu yang lama seperti apa yang mereka lakukan selagi masih ada peminat yang mahu mendengarnya.

“Kali ini kami mengambil lagu-lagu seperti pop yeh- yeh yang pernah popular sekitar tahun 1960-an dan disuntik dengan elemen Hindustan tetapi diselitkan elemen rock. Terdapat juga lagu-lagu Hindustan yang sudahpun dimelayukan oleh penyanyi dahulu.

Kami hanya memberi nafas baru terhadap lagu tersebut dalam irama rock yang lebih dekat dengan jiwa setiap anggota Kristal.

“Setakat ini sudah ada lapan lagu yang siap dirakamkan dan kami bercadang untuk memuatkan sebuah lagu baru menjadikan keseluruhan 15 lagu dalam album tersebut,” jelas Ezal.

Walaupun masih lagi di bawah umur, kebolehan yang dimiliki oleh Acap sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Mungkin ada yang beranggapan dalam usia yang masih hijau ini, Acap seharusnya menumpukan pelajarannya terlebih dahulu.

Bagi Acap, apa yang dimilikinya kini adalah atas usaha dan penat lelah dirinya untuk sama-sama menyemarakkan lagi industri seni walaupun masih baru.

Untuk Anugerah Industri Muzik yang ke-16 (AIM16) yang akan diadakan sedikit masa lagi, Kristal juga turut tercalon untuk kategori Album Rock Terbaik menerusi album Bongkar bersama Hujan, Mus May, Butterfingers dan The Times.

“Kristal berbangga kerana tercalon dalam AIM16. Walaupun saingan sengit tetapi kami akan terima apa sahaja keputusan nanti. Kalau nak menang semua orang juga mahu memang. Kalau tak memang pun kami cukup berbangga apabila album Bongkar tercalon untuk top 5,” ujar Acap yang juga adik kepada Rody.

Kini hala tuju mereka semakin jelas. Kristal mahu terus berkarya selagi diterima peminat. Perjuangan mereka juga tidak pernah berkesudahan dalam memartabatkan rock sebagai teras perjuangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: