|
|
BENARLAH seperti yang sering disebut ramai, lagu-lagu pop yang diterbitkan pada tahun 1980-an memiliki nilai yang sangat tinggi.
Populariti lagu-lagu yang dimasyhurkan oleh artis-artis era berkenaan sangat hebat sehingga terus menjadi rujukan dalam direktori muzik masa kini.
Salah sebuah lagu yang sudah berusia lebih 20 tahun iaitu Bukan Belas Bukan Simpati antara yang sentiasa diingati oleh sebahagian besar daripada kita.
Lagu berkenaan dilontarkan oleh seorang gadis comel berkulit hitam manis dengan suara lunaknya.
Walaupun kehadirannya ketika itu pada usia yang terlalu muda iaitu 12 tahun, si cilik Azian Mazwan Sapwan menarik perhatian peminat muzik tanah air.
Populariti mengubah nasib dan kehidupan Azian. Bahkan album-album yang dihasilkan penyanyi itu juga mengukuhkan kedudukannya di persada seni.
Sayang sekali, semua cerita indah 22 tahun dahulu yang pernah dikecapi penyanyi yang berasal dari Batu Buruk, Terengganu itu dilupakan sedikit demi sedikit.
Kini pada usia memanjat 33 tahun, Azian Mazwan Sapwan bukan lagi gadis sunti yang pernah menjadi igauan ramai lelaki.
Bahkan hidup Azian hari ini juga tidak lagi memaksanya berdampingan dengan ribuan peminat, berhadapan dengan pelbagai kerenah promoter pertunjukan pentas atau melayan soalan-soalan nakal wartawan.
Semua itu sudah jauh ditinggalkan
Yang menjadi tumpuan utamanya hari ini ialah tanggungjawab sebagai isteri kepada Mohd. Ahra Zubir, 37, dan ibu kepada tujuh orang cahaya mata.
Permata hati yang melengkapi kehidupan bahagia Azian dan suaminya, Ahra ialah Mohd. Ashraf, 14, Nur Athirah Hanim, 13, Mohd. Azrail, 12, Mohd. Aqil, 10, Mohd. Amil, 8, Mohd. Adib, 5, Anastasia Zayra, 3.
Pada masa yang sama, Azian masih lagi berkhidmat di Mesiniaga yang berpengkalan di Subang Jaya, Selangor.
Namun begitu, kalau pernah bergelar artis masyhur, Azian masih lagi tidak terlepas daripada diundang mengadakan persembahan sekali-sekala.
Mesra dikenali sebagai Yan, penyanyi yang sudah lebih sedekad menyepi daripada publisiti itu berkata, dia bersyukur kerana masih ada orang mengundangnya menyanyi biarpun tidak memiliki sebarang album baru.
Ada ketika dalam sebulan, Azian menerima antara dua hingga tiga undangan menyanyi di jamuan makan malam korporat dan majlis kahwin di hotel-hotel.
"Apabila dapat menyanyi itu seronok juga, hilanglah rindu pada bidang seni yang Yan tinggalkan dulu," ceritanya dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
Lazimnya, pada majlis-majlis yang disertainya, Azian akan menyampaikan lagu-lagu artis popular seperti Mencintaimu nyanyian Kris Dayanti, Kaulah Segalanya (Ruth Sahanaya) dan When You Tell Me That You Love Me (Diana Ross).
Kepada mereka yang barangkali tidak menyedari kehadiran Azian, si manis ini pernah melakukan kejutan apabila terpilih menyertai pertandingan nyanyian Bintang RTM tahun 1986 pada usianya 11 tahun.
Yang menariknya, ketika itu, RTM tidak menetapkan had umur penyertaan.
Justeru, persembahan cemerlang Azian menerusi lagu Dia Yang Ku Cari nyanyian Endang S. Taurina melayakkan Azian berjaya dalam sesi uji bakat itu.
Sejujurnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu ini tidak pernah menyangka penyertaannya dalam Bintang RTM 1986 hingga ke peringkat akhir dengan lagu Sekadar Di Pinggiran mengubah seluruh kehidupannya.
Masakan tidak, ketika itu, rakan-rakan sebayanya sibuk memberi tumpuan pada pelajaran sedangkan Azian sedang sibuk membina nama di persada seni.
Apabila sudah popular juga, Azian harus memenuhi pelbagai undangan nyanyian khususnya pada setiap minggu.
Jadualnya bertambah padat selepas album sulungnya, Erti Budi (1987) dan Bukan Belas Bukan Simpati (1988) mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.
Sebagai artis yang begitu muda, Azian mengakui, menjadi artis pada ketika menyeronokkannya kerana ramai yang menerima kehadirannya.
Namun dalam keseronokan itu, Azian tidak menafikan, jauh di sudut hati, emosinya benar-benar terganggu dengan pandangan skeptikal masyarakat.
Kesedihan tambah berganda bila ibu dan ayahnya menjadi mangsa kata-kata kurang manis masyarakat di sekeliling yang kurang senang dengan kejayaannya.
Yang mengguris perasaan mereka sekeluarga ketika itu ialah kononnya ibu dan ayah Azian hanya tahu makan hasil anak saja.
"Bagi Yan semua itu bukan satu kesalahan. Walaupun Yan masih kecil tapi sudah menjadi rezeki kami sekeluarga.
"Lagipun apa yang Yan bagi pada emak atau ayah bukannya mereka dapat dengan mudah. Sebabnya, setiap kali Yan mengadakan persembahan emak sering menemani dan menjaga makan pakai Yan.
"Dalam erti kata lain, emak sudah seperti pengurus Yan. Daripada Yan bawa orang lain, lebih baik ayah atau emak yang teman, lebih selamat.," ujarnya menjelaskan situasi yang pernah dilaluinya ketika zaman kegemilangannya dulu.
Ketika sibuk dengan kerjaya seni, Azian yang juga anak sulung daripada tiga beradik Azlan Mazwan, 31, dan Azrin Mazwan, 23, tidak pernah mengabaikan pelajarannya.
Sebagai bukti, anak kepada pasangan Sapwan Sakim, 58, dan Maznah Mohamed, 56, mendapat pangkat dua dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan kepujian dalam mata pelajaran Matematik dan Perakaunan.
Siapa sangka, hujung minggu yang dipenuhi dengan pelbagai undangan mengadakan persembahan untuk menambah pendapatan keluarga menjadikan Azian seorang pelajar yang rajin dan cemerlang.
Dengan keputusan itu, Azian ditawarkan melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Perakaunan ke Institut Teknologi MARA (atau kini Unversiti Teknologi Mara atau UiTM) pada tahun 1993.
Tetapi sayangnya, selesai menamatkan pengajian semester pertama, Azian terpaksa meninggalkan menara gading kerana kesibukannya menyertai pertandingan Pujaan 10 Nescafe '93 menerusi lagu Cinta Embunan Pagi.
Biarpun kesal dengan jalan yang dipilih itu, namun Azian percaya pada ketentuan Ilahi. "Yan berbalik kepada qada dan qadar Allah. Sebabnya bila belajar separuh jalan Yan ditemukan jodoh pula," katanya berkongsi cerita permulaan perkahwinannya.
Sesudah jauh berkelana mengejar impian seni sehingga seluruh pelosok negara dijejaki, siapa sangka jodoh Azian hanya berada di depan mata.
Mohd. Ahra Zubir bukan lelaki asing dalam hidup Azian. Dia merupakan senior Azian ketika mereka di sekolah menengah yang sama.
"Kami mula rapat ketika Yan masih di tingkatan empat dan pada tahun 1994 kami berkahwin di Terengganu," cerita Azian sambil memandang penuh kasih tiga daripada tujuh anaknya yang menemaninya pada pertemuan itu.
Memang sudah ditakdirkan perkahwinan yang berdasarkan cinta itu telah memberikan mereka zuriat yang dilahirkan ketika genap setahun usia perkahwinan mereka.
"Tuhan sudah menentukan rezeki kami untuk menimang cahaya mata pada awal perkahwinan.
"Tetapi disebabkan ketika itu Yan masih baru bekerja di Kuala Lumpur maka anak sulung dan nombor dua dipelihara oleh emak di kampung.
"Dan sampai sekarang mereka menetap dengan emak di Chendering, Terengganu," kata Azian mengenai ahli keluarganya.
Menyusuri kembali kejayaan dan pencapaiannya dalam bidang seni, selain album Erti Budi dan Bukan Belas Bukan Simpati, Azian juga pernah muncul dengan dua album Impian dengan lagu hitsnya Rumah Kecil Tiang Seribu dan Cinta Embunan Pagi (1991).
Selain itu, sebuah album kompilasi bersama Life Record Singapura juga pernah diterbitkan pada tahun 2006.
Selain album, Azian begitu bersyukur kerana dia bukan setakat dikenali di Malaysia. Betapa tidak pada tahun 1988 ketika usianya 13 tahun, Azian Mazwan Sapwan telah dipilih mewakili Malaysia ke World Childrens Music Festival di Nagoya, Jepun.
Dalam pertandingan itu, Azian yang ditemani ayahnya menyanyikan lagu Anugerah Tuhan ciptaan Azian dan gurunya, Cikgu Anuar.
"Syukur Alhamdulillah, kerana buat pertama kali Malaysia menghantar wakil menyertainya dan Yan menang tempat pertama dengan hadiah wang tunai dan sijil penghargaan serta trofi," kata Azian menyingkap kenangan manisnya mencipta sejarah sendiri.
Walaupun pada tahun berikutnya Azian tidak menyertai pertandingan berkenaan, namun dia diundang untuk menjadi artis undangan untuk membuah persembahan di sana.
Bagi Azian, itu semua momen indah sepanjang penglibatannya dalam bidang seni yang tidak boleh dijual beli.
"Walaupun waktu itu tidak boleh kembali lagi tapi Yan tidak pernah menyesal. Sebaliknya, Yan amat bersyukur apalagi kini Yan juga dapat memenuhi semula impian Yan untuk memegang segulung diploma tidak lama lagi," kata Azian.
Sejak tahun lalu, Azian mengikuti pengajian luar kampus di UiTM dalam jurusan Executive Diploma Financial Management.
"Insya-Allah. tahun ini Yan akan dapat tamatkan pengajian Yan, Semoga impian yang terbantut itu akan menjadi kenyataan," luah Azian mengenai kegembiraan yang sedang bersarang di hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: