Friday, April 10, 2009

Lisa, Alya semakin teruja

BERPELUANG melaram rekaan pereka tempatan menjelang malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 mungkin antara impian selebriti tanah air.

Apa kurangnya dengan nilai kreativiti hebat daripada pereka tempatan. Malahan ada hasil rekaan pereka fesyen tempatan juga kelihatan mewah. Itu antara perasaan kali pertama yang dirasai dua bakat besar negara kita, Lisa Surihani dan Alyah apabila Azura Mazaruddin bersedia berkhidmat mereka pakaian termasuk menata gaya dua selebriti berbeza latar seni ini.

Ketika menyarung persalinan Azura Couture, Lisa mahupun Alyah, semangat ‘memberi’ mereka terhadap gaya yang diingini cukup terserlah. Masing-masing anggun mengenakan gaun senada berwarna ungu di samping aksesori mutiara Rafflesia The Pearl Centre.

Kesempatan ini, memberi peluang kepada mereka dan Azura bertukar pandangan dan menokok idea untuk rekaan bertemakan Sentuhan Tenun pada 12 April nanti. Lisa contohnya bagaikan sudah jatuh hati dengan rekaan yang dipakainya dalam fotografi ini hasil rekaan wanita tinggi lampai persis model itu

“Ini kali pertama Lisa mendapat kerjasamanya untuk mereka pakaian bersempena ABPBH 2008. Sebelum ini pun Lisa dapat tahu, dia selalu mereka pakaian untuk Nora Danish. Malah, dia dapatkan nombor telefon bimbit daripada kenalan Nora sendiri.

“Lisa ada mengikuti perkembangan rekaannya dan daripada Facebook Nora sendiri, Lisa ada melihat hasil rekaannya. Kreativiti dan hasil rekaannya cukup mengujakan. Pertama kali bertemunya (ketika fotografi berlangsung), dia sangat peramah,” kata Lisa yang tercalon untuk kategori Artis Baru Wanita Popular.

Kata Lisa, tema ABPBH tahun ini cukup menarik perhatiannya.

“Kalau nak tahu, Lisa kalau tempah mahupun membeli baju raya sama ada kurung atau kebaya, memang Lisa suka yang menggunakan fabrik songket. Kebetulan Berita Harian tetapkan tema sedemikian,” kata Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia ke-21,

Manakala Alyah pula tidak menyangka diberi kesempatan untuk mendapatkan khidmat Azura.

Kata penyanyi semakin dikenali dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini, kali pertama dia memerhati hasil rekaan Azura secara langsung ialah ketika berlangsungnya Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) tahun lalu.

“Keseronokan berganda buat Alyah sebenarnya, sudahlah dapat melaram rekaan Azura, dapat pula ke ABPBH 2008 buat julung kalinya. Sebelum ini, Alyah tak pernah berpeluang ke majlis anjuran Berita Harian itu. Kali ini, Alyah dapat menyaksikannya secara dekat biarpun tidak tercalon dalam mana-mana kategori,” kata Alyah teruja kerana kesempatan itu dapat digunakan untuk memberi sokongan kepada industri hiburan.

Mengenai rekaan Azura, kata Alyah, dia menyifatkannya sebagai praktikal dan tidak terlalu sarat.

Menurut Alyah, dia ada memberi pendapat kepada Azura untuk tampil dengan gaya aktres Eva Mendes yang gemar memakai gaun mengikut potongan badan.

Ingin kekalkan kain jaring sebagai identiti

AZURA atau nama penuhnya, Norazura Mazaruddin ingin menampilkan tiga artis yang dipertanggungjawab menerima sentuhannya dengan tiga koleksi warna berbeza menggunakan tiga entiti fabrik iaitu kain jaring, sifon dan songket.

Membawakan konsep ‘less is more’, Azura berkata, dia sanggup menyediakan jurusolek supaya pakaian yang akan digayakan ketiga-tiga artis itu selari dengan matlamatnya.

“Tiga busana ini dalam satu koleksi tapi dengan rekaan berbeza. Konsep gaun ini seperti biasa tidak terlalu sarat dan apa yang saya idamkan ialah untuk tampilkan mereka dengan gaya berbeza daripada kelaziman.

“Lalu, jika mereka ingin khidmat tatarias yang perlu kena dengan busana yang direka, saya bersedia memberikan nasihat termasuk memastikan solekan yang bakal dioles kena dengan pakaian yang dipakai.

“Pemakaian gaun malam selalunya membuatkan si pemakai nampak matang daripada usia sebenar, jadi saya perlu berhati-hati kerana mereka masih muda. Apa yang penting, saya akan pastikan identiti saya menggunakan kain jaring turut diaplikasikan kepada rekaan ini,” katanya serius.

Mengenai songket yang akan digunakan, kata Azura, dia akan memastikan jalinan keindahan songket itu terus terpancar tanpa menjejaskannya. Katanya lagi, cukuplah diadunkan dengan elemen moden supaya tampak kontemporari.

PROFIL: Azura Mazaruddin

  • Nama penuh: Norazura Mazaruddin
  • Tarikh lahir: 1 November 1984
  • Tempat lahir: Hospital Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • Pembabitan sejak: 2003
  • Emel: azura_mazazi@yahoo.com
  • Kejayaan: Juara Anugerah Jarum Berlian 2003, Pakaian Permaidani Merah Tercantik Murai.com digayakan Raja Farah pada 2007, Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu dan Pakaian Artis Wanita Paling Glamor ABPBH 2007 masing-masing digayakan Nora Danish, Naib Juara Anugerah Fesyen Batik, Piala Seri Iman 2008.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: