Friday, April 10, 2009

Lupakan tekanan, debaran

Hampir semua finalis berseronok memancing udang

KEHANGATAN malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008), Ahad ini semakin dirasai. Pada masa yang sama, debaran 80 finalis semakin memuncak sehingga di antara mereka tertanya-tanya siapakah bakal menyandang gelaran Bintang Paling Popular selepas 22 tahun penganjuran.

Bagi melupakan sejenak debaran dan tekanan itu, beberapa finalis ABPBH 2008 meluangkan masa melakukan aktiviti riadah dengan memilih memancing udang sesama mereka bertempat di Pusat Memancing Udang Sri Manja, Taman Sri Manja di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Aktiviti memancing baik ikan mahupun udang sememangnya menjadi tarikan bukan saja orang awam malah sebahagian artis tanah air turut dilihat mempunyai minat yang sama.

Pusat memancing udang yang juga milik artis veteran Mas Omar ini turut menjadi pilihan finalis seperti Faizal Tahir, Meet Uncle Hussien (MUH), Rabbani, Rusdi Ramli, Fahrin Ahmad, Kenchana Dewi, Aiman, Stacy dan Nubhan.

Bagi calon Pengacara TV Lelaki Popular, Faizal Tahir berkata, aktiviti seumpama ini dapat merehatkan minda selain berjumpa rakan artis lain yang turut dicalonkan.

“Ini sebenarnya aktiviti yang sihat walaupun ia bukanlah hobi utama saya tetapi dapat melihat dan mencuba kelainan memancing udang ini satu pengalaman menarik saya.

“Kali terakhir saya memancing semasa masih bersekolah, itupun memancing ikan bukannya udang seperti hari ini. Memang saya dapat berasakan memancing udang dan ikan ini sangat berbeza tetapi kepuasannya tetap sama apabila dapat hasilnya.

“Saya mengurangkan aktiviti memancing selepas tamat sekolah bukannya sebab apa tetapi dapat rasakan yang saya ini tidak pernah ada nasib apabila memancing. Susah nak dapat,” katanya yang hanya mendapat seekor udang setelah sejam memancing.

Anggota kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) yang turut dicalonkan bagi kategori Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular turut tidak mahu melepaskan peluang apabila diajak untuk menyertai aktiviti memancing udang itu. Menurut vokalisnya, Lan memancing mengajar erti kesabaran yang kuat.

“Tidak semua orang suka memancing kerana ia sebenarnya mengajar kita erti kesabaran, orang yang minat memancing ini adalah orang yang kuat kesabarannya.

“Walaupun ada yang menyatakan memancing ini membuang masa tetapi saya tidak kata begitu kerana masa memancing diambil pada ketika kita ada masa, tidak membuat apa-apa. Daripada tidur saja di rumah ada baiknya melakukan aktiviti yang dapat dimanfaatkan bersama kawan-kawan,” katanya yang pertama kali dicalonkan dalam ABPBH 2008.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: