Friday, April 10, 2009

Ringkas tapi selesa


Pelakon Spa Q tidak mahu berlebih-lebihan pada kemuncak ABPBH 2008

SOMBONG dan sukar didekati, pandangan skeptikal itu kerap dilemparkan kepada wanita bernama Norish Karman.

Tanggapan itu sering kalinya muncul di bibir mereka yang hanya mengenali ibu kepada tiga cahaya mata ini dari jauh. Sememangnya mudah melemparkan tuduhan tanpa terlebih dulu cuba untuk mengenalnya.

Bertemu wanita berusia pertengahan 30-an ini, memberi peluang dan ruang untuk mengenalinya dengan lebih dekat seterusnya mengetepikan gambaran kononnya pelakon ini sebagai ‘kekwat’ atau berlagak.

Hadir dengan wajah polos, sekadar menyarung baju T terpampang gambar animasi popular ‘Mickey Mouse’ dipadankan bersama seluar denm, Norish atau nama sebenarnya Nor’Ashikin Karman ramah menegur semua yang ada di Rafflesia The Pearl Centre.

Tanggapan mengenai wanita ini bercanggah sama sekali. Dia ternyata seorang yang ramah, sedang wajahnya dioles cantik oleh Iman Ali, mulutnya tidak henti-henti berbicara mengenai pelbagai perkara. Dari lakonan kepada bidang nyanyian yang dicintai, kisah anak-anak yang menjadi jantung hatinya hinggalah soal gosip.

Tiada satu pun soalan yang diaju dibiarkan tanpa jawapan. Hati langsung berbisik, ibu kepada Muhammad Haqiem Amany, 10, Muhammad Hady Amieran, 6, dan Nur Hanyz Amanda, 5, ini sebenarnya seorang yang mudah mesra.

“Ini adalah wajah asli saya. Saya tidak mampu mengubah wajah yang kelihatan sombong ini menjadi lain. Saya tahu ramai yang mengatakan saya sombong hanya disebabkan wajah ini. Masalah sama turut dihadapi Farahdhiya tetapi kami tidak boleh buat apa-apa,” kata pelakon yang anggun dengan persalinan sentuhan daripada pereka muda, Zery Zamry.

Rekaan pereka sama bakal digayakan Norish yang diundang sebagai penyampai anugerah pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian tanggal 12 April nanti.

Mengakui dirinya seorang yang cerewet, pelakon ini tidak mahu kelihatan terlalu feminin sebaliknya mahu ditampilkan dengan imej ‘hot & rock’, ada karakter dan gaya tersendiri.

Norish juga memberitahu, dia jarang menghadiri majlis anugerah jika tidak perlu. Sebaliknya, lebih gemar menghabiskan masa bersama anak-anak. Selain itu dia juga tidak gemar bersolek tebal kerana mengakui dirinya seorang yang ringkas.

“Inilah saya, lebih selesa baju T dan selesa dengan jeans. Saya tidak suka bersolek tebal, malah lebih selesa menyolek sendiri wajah supaya solekan tidak terlalu melampau,” kata wanita ini yang hangat digosipkan dengan abang kepada penyanyi dan pelakon Farahdhiya, Luqman.

Terbaru kisah bercuti bersama Luqman menjadi bualan. Namun Norish tidak melenting, kala diajukan soalan itu, dia menjawabnya dengan cukup bersahaja. Tetapi sepatah katanya cukup untuk menjawab segalanya.

“Saya tidak pernah marah jika orang ingin memperkatakan apa saja mengenai saya. Jika saya takut dengan gosip, tentu saya tidak akan kelihatan bersamanya,” kata wanita yang tidak pernah peduli dengan gosip.

“Saya tidak pernah baca surat khabar yang menulis gosip dan saya juga tidak pernah marah dengan gosip mengaitkan diri saya. Bagi saya itu kerja pemberita, kalau dia rasa perlu untuk disampaikan saya kena terima.

“Saya perlu akur dengan status sebagai selebriti,” katanya yang tidak sabar menantikan kehadiran album sulungnya.

Sebati dengan watak Qistina

EMPAT tahun projek album Norish Karman masih tertangguh, amat besar harapan wanita yang memegang watak Qistina dalam drama bersiri Spa Q yang baru saja melabuhkan tirainya baru-baru ini untuk melihat album sulungnya itu direalisasikan sekitar tahun ini juga.

Namun ada saja rintangan yang menghalang hingga Norish harus sabar menantikan kehadiran ‘buah hatinya’ itu.

“Ada saja perkara yang timbul pada saat saya cuba menghabiskan penghasilan album. Selalunya tawaran lakonan yang tidak dapat ditolak muncul pada saat-saat saya mahu memberikan tumpuan pada album.

“Memandangkan tidak lagi terikat dengan Spa Q, nampaknya bolehlah saya memberikan tumpuan kepada album. Sekarang ini hanya tinggal satu lagu terakhir daripada Johari Teh yang masih belum dirakam.

“Oleh kerana pasaran sekarang yang agak perlahan, saya memilih untuk menghasilkan mini album yang memuatkan lebih kurang lima lagu terlebih dulu. Saya memang tidak sabar menantikan kemunculan album ini. Jika sudah serius dalam bidang nyanyian, dapatlah saya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan anak-anak sekalipun sibuk di set penggambaran.

Pelajaran menjadi keutamaan kepada ibu ini terhadap anak-anaknya. Sesekali Norish akan menghubungi guru anak-anaknya untuk bertanyakan perkembangan pelajaran mereka. Malah, sekali sekala anak-anaknya datang ke set untuk mengulang kaji pelajarannya bersama Norish ketika waktu rehat ibu mereka.

Susah Dapatkan Norish

MEREKA pakaian buat Norish Karman menjadi impian Zery sejak dia menonton Spa Q. Bukan saja Norish, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni reka fesyen itu juga mengimpikan untuk menghasilkan rekaan buat dua lagi teman Norish, Azizah Mahzan dan Jasmin Hamid tetapi mereka tidak dapat menghadiri ABPBH kerana terikat dengan kerja lain.

Namun mendapatkan Norish juga bukan mudah. Berkali-kali menghubungi pelakon itu, akhirnya Zery berjaya juga menembusi talian pelakon yang senantiasa sibuk itu. Sesudah mendapatkan persetujuan Norish untuk bertemu, bukan mudah juga untuk meyakinkan Norish dengan sentuhan pereka baru sepertinya.

Setelah perbincangan demi perbincangan, akhirnya Norish bersetuju juga untuk menerima tawaran Zery. Memilih kain jenis sifon dari rona merah jambu (dusty), Zery akan menghasilkan sesuatu yang bakal membuatkan Norish tampak seperti seorang puteri.

Kekal dengan trademarknya, pereka itu bakal menggunakan teknik lipatan atau dripping pada gaun malam yang bakal dihasilkan. Bagi mengangkat tema Seni Tenun, Zery menggunakan songket yang ditaja oleh Gamelan Songket.

“Saya akan menghasilkan sesuatu yang tidak kelihatan begitu feminin tetapi ada gaya tersendiri. Norish tidak mahu persalinan yang sarat, dia mahukan sesuatu yang ringkas dan nampak rock,” kata pereka itu yang turut menghasilkan rekaan buat Elyana.

Zery yang sudah tiga tahun terbabit di dalam ABPBH dan kini memiliki butik di Seksyen 9, Shah Alam tidak mahu terikat dengan ramai artis kerana mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada kualiti rekaannya.

Bagi mereka yang ingin mengetahui rekaan terbaru pereka ini boleh layari zeryzamry.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: