|
|
Debaran untuk disatukan sudah pun selesai. Tanggal 14 Februari 2009 telah menyaksikan penyatuan dua jiwa ini ke jenjang pelamin. Tarikh itu juga menjadi titik permulaan kepada mereka melayari kehidupan berumah tangga.
Kini debaran Que Haidar, 29 tahun dan Linda Jasmin, 36 menantikan kehadiran cahaya mata bukan sekadar mimpi indah malah realiti itu juga yang bakal menjadi penantian.
Ketika bertemu pasangan itu baru-baru ini, masing-masing tidak dapat mengucapkan kata-kata lantaran dek terlalu gembira kerana disahkan hamil.
Bagi Linda sendiri, walaupun ini bukanlah anak pertamanya, namun debaran hatinya tetap sama seperti ibu yang lain yang sedang menantikan kelahiran anak sulung. Perasaan seronok dan teruja tidak mampu dibendung lagi walaupun kandungan Linda baru sahaja mencecah dua bulan.
Ucap Linda, melalui fasa dalam alam rumah tangga merupakan perkara yang paling indah dan membahagiakan tambahan lagi bersama dua insan yang bertakhta di hatinya.
“Perasaan teruja memang ada. Terlalu gembira apabila disahkan mengandung. Setakat ini tidak banyak masalah yang saya hadapi.
“Bila berjumpa dengan doktor, pelbagai nasihat dan yang saya dapat. Sudah lama saya tidak hamil. Dalam jangka selama sembilan tahun tidak mengandung, doktor cakap ia dah macam orang yang baru pertama kali mengandung,” ujarnya tenang.
Sejak disahkan hamil, Linda turut terkena tempias seperti ibu mengandung yang lain. Kini seleranya sudah mula berubah dan sudah tidak seperti dahulu.
“Saya dah tak boleh nak menjamah nasi putih, roti, teh dan kopi. Sampai satu tahap saya sendiri tak mahu langsung melihat makanan tersebut. Muntah dah jadi perkara biasa.
“Semuanya berubah termasuklah selera makan juga. Kini saya lebih berselera terhadap sayur-sayuran dan susu,” jelas Linda tanpa berselindung.
Bila ditanya penerimaan Qalif, anak lelaki Linda dengan suami terdahulu, kata Linda, Qalif sangat teruja dan sudah tidak sabar-sabar menantikan kelahiran adiknya.
Menurut Linda, Qalif mahukan adik lelaki supaya dia mempunyai teman untuk bermain. Manakala Linda dan Que sendiri tidak kisah jika dikurniakan anak perempuan atau lelaki.
“Mungkin sekarang saya masih lagi tidak boleh mengetahui jantina anak kami. Tapi apabila kandungan mencecah empat bulan sahaja, saya akan cepat-cepat membuat pemeriksaan untuk menentukan jantinanya,” jelas bekas guru tari Akademi Fantasia ini.
Bagi Que Haidar sendiri, memandangkan ini adalah anak pertama baginya, sudah tentu debaran untuk menjadi ayah semakin berdegup kencang.
Ujarnya, pengalaman melihat Linda mengandung sememangnya sesuatu yang menakjubkan. Pelbagai perkara yang berlaku dalam tempoh morning sickness ini sememangnya di luar jangkaan Que.
“Kadangkala pelik bercampur gembira melihat perubahan yang berlaku pada Linda. Sampai satu tahap Linda tidak boleh terhidu bau saya sendiri.
“Pengalaman menjadi bapa kelak sememangnya saya tunggu-tunggu. Semuanya macam tak dirancang. Perkenalan dan perkahwinan semuanya berlaku dalam tempoh masa yang singkat.
“Dari segi persediaan pula, saya tidaklah bersedia sangat sebenarnya. Kata orang tua-tua, kita tak perlu beria-ia membuat pelbagai persediaan. Takut yang buruk berlaku pula. Jadi bila masuk sahaja bulan ke tujuh barulah saya mahu menumpukan sepenuhnya.
“Dari segi mental pula memang saya dah bersedia 100 peratus. Kini saya hanya memberikan tumpuan kepada kesihatan Linda dan anak dalam kandungan supaya tidak berlaku apa-apa masalah nanti,” cerita Que lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: