Sunday, April 19, 2009

Melawan penjajah Sepanyol

Selepas popular dengan drama Pangako Sayo, kini Jericho Rosales kembali menemui peminat menerusi filem Baler yang bakal ditayangkan pada 16 April ini.

Selayaknya filem ini diangkat

ke tempat yang sepatutnya lantaran kehebatan lakonan Jericho yang membawakan watak Celso, Anne Curtis (Feliza Rayes) dan pelakon-pelakon lain yang hebat.

Baler tidak sekadar memaparkan kisah cinta antara dua insan yang berlainan fahaman malah turut sama mengangkat perjuangan menentang penjajah oleh penduduk Filipina terhadap tentera Sepanyol yang menjajah negara itu.

Berlatarkan tahun 1898, plot cerita dibina dengan kisah cinta antara Celco dan Feliza secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa. Sedangkan pada masa tersebut penduduk sekitar Baler masih lagi dijajah tentera Sepanyol yang rata-ratanya menimbulkan kebencian kepada penduduk tempatan.

Feliza terpaksa merahsiakan cintanya kepada Celso lantaran kekasihnya itu merupakan askar Sepanyol yang dibenci oleh bapa Feliza, Nanding lakonan Philip Salvador.

Nanding juga bukan sekadar penduduk kampung biasa malah turut sama menganggotai kumpulan pemberontak menentang penjajah. Perjuangannya menentang penjajah tidak sekadar itu sahaja malah turut sama mengheret keluarganya ke konflik yang lebih buruk.

Pada waktu itu penduduk di sekitar Baler berpegang teguh kepada agama Kristian dan sangat menyanjung tinggi paderi yang ada.

Apa yang membuatkan Nanding kecewa apabila anak keduanya, Gabriel terlalu taksub kepada paderi sehingga tidak mempedulikan apa sahaja yang sedang berlaku di kampung mereka.

Gabriel juga sentiasa ada bersama paderi dan belajar mengenai pelbagai hak-hal agama yang membuatkan bapanya berang. Nanding juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadap Gabriel walaupun sudah puas membelasah anaknya itu.

Dalam masa yang sama terdapat juga gerakan-gerakan daripada penduduk tempatan untuk menentang mereka dan penduduk juga mengerti isyarat akan berlakunya pertempuran antara pemberontak dan askar Sepanyol.

Cinta antara Celso dan Feliza juga menemui jalan buntu lantaran keluarga Feliza dan penduduk kampung terpaksa berpindah, bimbang akan berlakunya pertempuran.

Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku Celco tidak pernah putus asa dan sentiasa mengharapkan Feliza akan kembali kepada dirinya.

Semasa dalam perjalanan berpindah Gabriel telah melarikan diri dan kembali ke gereja untuk terus bersama dengan paderi yang dikasihinya. Ia telah menimbulkan kemarahan Nanding kerana anak keduanya itu tetap memilih untuk bersama paderi.

Pertempuran demi pertempuran berlaku menyebabkan tentera Sepanyol terpaksa bertahan di dalam gereja. Bimbang akan musibah yang menimpa Gabriel, penduduk tempatan tidak menyerang gereja sebaliknya hanya mengepung untuk tempoh yang lama.

Satu demi satu askar Sepanyol yang terkorban dan menyebabkan mereka terus bertahan di dalam gereja.

Baler juga tidak sekadar memaparkan tentang isu penentangan terhadap penjajah, malah turut sama menyelitkan kasih sayang seorang ayah terhadap anak walaupun tidak mendengar kata.

Nanding masih lagi menerima kembali Gabriel walaupun dia sendiri yang mahu mengikut paderi tersebut. Nanding turut menerima tamparan yang hebat apabila Feliza mengandung dan melahirkan anak Celso. Nanding terpaksa reda dan menerima kenyataan yang anaknya mencintai askar Sepanyol yang paling dibenci.

Filem ini tidak sekadar memaparkan tentang sejarah masa lalu tetapi turut sama mengangkat elemen cinta, persahabatan, kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.

Maka tidak hairanlah filem ini telah pun memenangi 10 anugerah di Festival Filem Metro Manila termasuklah filem terbaik, pelakon wanita terbaik, pengarah terbaik, lakon layar terbaik, sinematografi terbaik dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: