Sunday, April 19, 2009

Gadis dirogol 15 mat rempit

KUANTAN 18 April - Seorang gadis berumur 17 tahun dirogol bergilir-gilir oleh 15 mat rempit dalam satu kejadian di kawasan ladang kelapa sawit Felda Chini, Pekan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang tidak bersekolah itu mengikut ajakan salah seorang suspek untuk bersiar-siar.

Beliau berkata, pada mulanya mangsa menemui dua suspek dikenalinya yang datang dengan dua buah motosikal pada pukul 9.15 malam.

"Mangsa kemudian membonceng salah sebuah motosikal dan dibawa ke sebuah ladang kelapa sawit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Yahaya lagi, sebaik tiba di kawasan ladang itu kira-kira pukul 9.30 malam, muncul pula 13 lagi mat rempit daripada kumpulan berkenaan.

"Mangsa kemudian diraba, kaki dan tangannya dipegang lalu dirogol bergilir-gilir di tempat kejadian sehingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kemaluannya," katanya.

Beliau berkata, selepas dirogol, mangsa telah dihantar pulang ke rumah seorang rakannya.

Katanya, mangsa bersama rakannya itu kemudian telah pergi ke Hospital Pekan untuk menjalani pemeriksaan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan.

Katanya, berikutan laporan oleh mangsa, polis telah menahan 15 remaja lelaki berumur 17 hingga 19 tahun pada Rabu lalu.

Yahaya berkata, mereka telah direman tujuh hari sehingga 21 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: