Monday, April 27, 2009

Layar Lensa papar pembikinan produksi seni

TV1 menerusi slot Stigma mempersembahkan program Layar Lensa yang memberi informasi berkaitan pembikinan produksi seni melitupi filem, drama bersiri, iklan, animasi, teater dan video klip.

Dikendalikan pengacara yang mula meniti nama dalam bidang lakonan, Sherry Ibrahim, Layar Lensa memaparkan empat segmen iaitu segmen Roll, Camera & Action, Prebiu, Glosari dan diakhiri segmen Variasi.

Menerusi 13 episod siarannya, segmen Roll, Camera & Action menyingkap kerja-kerja di sebalik pembikinan. Antaranya ialah drama bersiri ‘Aku Budak Minang’, telemovie Mencari Mu, drama komedi bersiri Rumah Mak, siri animasi 2D Atan & Nyet dan lain-lain. Turut dimuatkan dalam segmen ini ialah temu bual bersama pengarah dan pelakon.

Segmen Prebiu pula mengulas tentang filem-filem seperti Los dan Faun, Pensil, Geng...Pengembaraan Bermula, Anak Halal, Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi Drift II, Kapaw dan banyak lagi filem tempatan lain.

Manakala segmen Glosari memaparkan indeks berkaitan dunia penerbitan mengikut abjad. Sebagai contoh Animasi & Aksi, Boom & Babak, Cerita & Close-Up, Dubbing, Established Shot, Hand Held, Jib Arm, Lyp Sync dan Montaj.

Segmen Variasi pula menutup tirai Layar Lensa dengan mengajak penonton berkongsi tentang latar belakang, peranan serta misi Persatuan Penerbit TV Malaysia bersama presidennya Jurey Latiff, proses membina grafik dengan menemu bual seorang pereka grafik muda, mendekati bidang kerja penyunting non-linear, melihat proses rakaman lagu di studio, belajar apa itu rakaman menggunakan unit Multiple Camera Production (MCP) dan sebagainya.

Justeru kepada semua peminat serta penggiat seni tempatan, pastikan anda tidak melepaskan peluang menyaksikan Layar Lensa yang disiarkan setiap Jumaat, jam 4.31 di TV1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: