Monday, April 27, 2009
Arash tidak kisah watak pembantu
Arash Mohamad atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee, 40, bukanlah satu nama kecil dalam bidang lakonan. Namun begitu, dia tidak kisah untuk membawa watak pelakon pembantu. Antaranya dalam drama Rahsia Hati yang menyaksikan gandingannya bersama Aaron Aziz yang punya pengalaman jauh lebih sedikit berbanding dirinya.
“Tak apa, sebab bagi saya watak pembantu pun kadang-kadang lebih menonjol daripada watak utama. Apa yang penting kerjasama antara pelakon untuk menghidupkan watak masing-masing.
“Saya sendiri masih dalam proses belajar. Bila berpeluang bekerja dengan mereka yang baru, banyak benda yang saya belajar daripada mereka. Macam gandingan saya dengan Aaron, dia banyak juga membantu malah saya seronok bekerja dengannya. Ia membuatkan saya terasa lebih muda dari segi penampilan dan perwatakan,” ujarnya.
Menyentuh tentang watak idaman setelah lama berkecimpung dalam bidang lakonan, Arash berterus-terang bahawa dia masih belum menemuinya. Begitu pun, dia tetap memberikan yang terbaik setiap kali beraksi di depan kamera.
Bayaran tak setimpal
“Bukan saya tak minat berlakon filem, tapi tawaran yang diberi tak sepadan dengan kerja yang perlu dilakukan. Saya bukannya nak luahkan rasa kecewa, tapi bayaran yang diberikan memang tak setimpal. Sejak mula berlakon pada tahun 1991 sehingga hari ini, terlalu sedikit perbezaan yang dapat saya lihat.
“Jangan salah faham, bukannya saya riak atau berkecil hati tetapi saya sentiasa beranggapan rezeki saya belum sampai. Contohnya Rusdi Ramly, dulu dia berlakon drama TV sahaja tapi tengok sekarang? Rezeki dia baru tiba dan banyak filem yang dia lakonkan,” ujar Arash ketika ditemui di Finas, Ulu Kelang.
Tambah Arash, dia juga tak kisah untuk melakonkan watak yang boleh mendatangkan kontroversi kerana baginya, watak seperti itu boleh mendatangkan cabaran baru buatnya.
“Mengapa tidak? Tapi kenalah ada batas tertentu dan saya agak cerewet dalam pemilihan watak sebegini sebab silap langkah, ia memberikan impak bukan kepada saya seorang sahaja tapi kepada seluruh keluarga,” ujar Arash ketawa.
Tenang di samping isteri
Tanggal 25 Disember 2007, jejaka yang dikenali menerusi drama-drama bercorak korporat ini mengakhiri zaman bujangnya dengan wanita pilihan hati, Norafidahwati.
“Saya bersyukur dapat isteri yang memahami bidang yang saya ceburi. Lagi pun dia bekerja di Astro jadi tentulah dia faham kerjaya saya. Sejak berkahwin juga, rezeki saya semakin murah. Saya rasa hidup pun lebih tenang sekarang. Berbeza sangat dari zaman bujang.
“Saya tak merancang apa pun dan semuanya terserah kepada rezeki. Kalau dikurniakan cahaya mata saya sangat bersyukur. Tak kisahlah anak lelaki ataupun perempuan,” katanya penuh harap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: