Sunday, April 26, 2009

Latihan finalis Kacak Bergaya

Hanya kira-kira dua minggu lagi menjelang pertandingan akhir Pencarian Kacak Bergaya Pancaindera. Pastinya 12 orang finalis sedang membuat persediaan rapi.

Empat lagi finalis yang bakal bersaing pada acara yang akan diadakan pada 9 Mei depan ialah Mohd. Khairi Mansor, Mohamad Nadzree Kusairi Shariff, Syed Khairul Syed Abdullah dan Mohd. Nurhalis Shafiq Shamsuri.

Mohd. Khairi Mansor atau Kimi, 24, membuat persediaan daripada segi penampilan dan memastikan dapat menarik perhatian pihak juri.

Kimi yang bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat banyak menghabiskan masa dengan kerja dan sering pulang lewat. Malah pada hujung minggu juga kadang-kadang beliau ke pejabat.

“Saya memang jenis yang melakukan setiap kerja bersungguh-sungguh. Saya tak mahu nampak main-main termasuk apabila bertanding nanti,” kata Kimi.

Kimi dari Kluang, Johor itu sudah menyediakan keperluan yang diperlukan termasuk memastikan dapat mengikuti segala aktiviti yang diatur menjelang pertandingan akhir.

Mohamad Nadzree, 26, juga tidak mahu tertinggal aktiviti yang dijalankan termasuk latihan yang bakal diadakan nanti.

Kesemua finalis akan menjalani latihan peragaan dan kelas grooming bersama Aleeza Kasim di Studio Vogue At Work milik model itu minggu depan.

“Saya sudah memohon cuti agar dapat belajar ilmu yang akan diperturunkan oleh model terkenal itu,” kata Nadzree yang berasal dari Kuala Lumpur.

Nadzree yang bekerja di sebuah pusat pengajian tinggi di Pulau Pinang juga memastikan dirinya berada dalam keadaan cergas menjelang peringkat akhir nanti.

Syed Khairul, 26, juga bersungguh- sungguh dalam pertandingan. Pengalaman menyertai pertandingan lain sebelum ini dijadikan panduan.

“Setiap pertandingan lain caranya dan kita kena ikut rentak dan keperluan sesebuah pertandingan. Pertandingan ini lebih kepada personaliti, jadi kita kena tampilkan personaliti diri,” kata beliau.

Syed Khairul atau Roy mempunyai kelebihan kerana memiliki susuk tubuh yang berketul-ketul, namun ia bukanlah sandaran utama.

“Kita kena meyakinkan pihak juri dalam pelbagai aspek,” sambung anak muda keturunan Arab dari Johor Bahru, Johor itu lagi.

Mohd. Norhalis Shafiq atau Afiq, 23, sangat baru dalam dunia seni. Beliau tidak pernah terdedah sebelum ini. Namun apabila bertemu rakan-rakan baru, beliau jadi teruja.

“Saya tidak pernah ada pengalaman. Apabila mengenali rakan-rakan yang turut bertanding dan mendengar pengalaman seni mereka, saya rasa seronok.

“Saya rasa dunia ini satu dunia yang menyeronokkan. Saya anggap pertandingan ini sebagai pembuka jalan kepada saya,” kata Afiq.

Jejaka yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu turut mengamalkan diet dan ke gimnasium sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan dia setanding dengan calon lain.

Tajaan butik ternama

Pertandingan Pencarian Kacak Bergaya 2009 lebih meriah apabila mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk butik dan pengeluar pakaian lelaki.

Kesemua 12 finalis akan memperagakan pakaian berkonsep batik daripada Dzull D’Classique. Zul akan mempersembahkan batik yang berkonsep moden dan terkini.

Hing Yiap Group pula menyediakan pakaian sukan jenama Antioni dan pakaian smart kasual jenama Unionbay edaran mereka.

Antioni satu jenama terkenal yang kini menawarkan pelbagai koleksi pakaian sukan dan yang berteraskan sukan serta pakaian kasual.

Sejak tahun 1991 Antioni menjadi pakaian sukan rasmi atlet ke Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

Unionbay pula bermula di Seattle, Amerika Syarikat pada tahun 1981. Selain berteraskan sukan, Unionbay juga terkenal dengan himpunan denim.

Unionbay kini mendapat sambutan golongan remaja yang mencari kalainan daripada fesyen yang konservatif. Unionbay juga ada himpunan beg dan kasut.

Finalis juga akan menggayakan pakaian berkonsep santai daripada Gedung Al-Habshee, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Gedung Al-Habshee yang baru beroperasi adalah butik yang menyediakan pakaian moden serta pakaian khusus wanita bertudung.

Sementara itu E-Go Hair & Beauty, KL Sentral pula akan memperlengkapkan dandanan rambut peserta.

Tiket menyaksikan acara final

Selain pertandingan pencarian wajah baru, acara kemuncak akan meriahkan dengan persembahan dua penyanyi hebat Noryn Aziz dan Bob serta artis baru Wana dan Nashrin daripada program My Starz LG.

Ramai artis terkenal tanah air akan memeriahkan majlis selain kemunculan istimewa bekas penghias ruangan Kacak Bergaya yang kini sudah bergelar artis popular.

Peminat yang mahu menyaksikan majlis itu boleh membuat tempahan meja dengan menghubungi Rusdi di talian 017-3569233 atau Zie (03-41060299)

Pihak penganjur mengenakan bayaran RM40 seorang termasuk minum petang sepanjang majlis berlangsung.

Hanya 100 tempat duduk sahaja dibuka kepada peminat. Jadi buatlah tempahan segera. Anda juga boleh datang terus membuat pembayaran di pejabat Jamu Mak Dara Sdn. Bhd. No 333, Lorong Sarawak. Melawati Urban 1, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: