Sunday, April 26, 2009

Syamsul bercerita tentang bohsia


Isu mat rempit dan permasalahan sosial menjadi tunjang utama filem ini.


Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam merupakan filem terbaru arahan Syamsul Yusuf sudahpun menjengah ke pawagam sejak 23 April lalu di 60 buah pawagam di seluruh negara.

Berbicara mengenai filem, ini bukanlah satu perkara yang mudah. Semua orang ada tafsiran tersendiri. Masing-masing mempunyai pandangan yang berbeza.

Walaupun istilah bohsia membawa maksud negatif tetapi tidak bermakna keseluruhan filem ini juga buruk. Penonton juga perlu menilai dahulu apa yang cuba untuk disampaikan oleh pengarahnya.

Bagi Yusuf Haslam, ini sebagai sebuah filem yang penuh dengan buah fikiran anak muda seperti Syamsul yang sentiasa mahu memaparkan pergolakan yang berlaku terhadap remaja pada hari ini.

Sebagai penerbit filem itu, Yusuf yakin dengan kemampuan anaknya itu walaupun berhadapan dengan cakap-cakap orang mengenai mereka.

"Bagi saya Syamsul merupakan seorang pengarah yang baik. Bila dia kata mahu buat filem mengenai bohsia, saya sendiri tidak menolak untuk memberikan kerjasama dan galakan kepadanya.

"Bagi saya apa yang cuba dipaparkan adalah sesuatu yang dekat di hati anak muda sepertinya. Setiap orang melalui zaman muda dan saya sendiri juga laluinya.

"Sekarang tahun 2009. Aliran filem juga berubah mengikut tahun. Mungkin pada masa sekarang sudah tidak sesuai dengan aliran filem yang pernah saya hasilkan dahulu.

"Sebagai bapa memang saya mendoakan dia akan berjaya. Namun hakikatnya perlu lebih berhati-hati terutamanya apabila meniti kejayaan. Kejayaan hari ini tidak bermakna akan menjamin kejayaan yang sama pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui di Mid Valley Megamall baru-baru ini.

Antara pelakon yang turut membintangi filem ini termasuklah Syamsul Yusuf, Shaheizy Sam, Nabila Huda, Salina Saibi, Aaron Aziz, Diana Danielle, Nasir Bilal Khan dan ramai lagi.

Syamsul yang sangat teruja dengan buah tangan terbarunya itu tidak dapat membendung perasaan gembira tatkala melihat penonton yang hadir pada malam itu berpuas hati.

"Walaupun pada mulanya ada pelakon yang menolak apabila ditawarkan watak bohsia, namun saya tidak patah semangat. Bagi saya inilah cabaran yang terpaksa saya lalui.

"Ini adalah filem kedua saya. Filem ini dilabelkan sebagai filem Malaysia pertama yang diklasifikasikan sebagai 18PL dan tanpa potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Walaupun dilabel sebagi 18PL, tetapi saya seronok sebab tidak ada pemotongan dan itu juga bermakna apa yang saya cuba sampaikan adalah jelas," kata Syamsul lagi.

Jelas Syamsul, dia berbangga dengan komitmen Nabila dan Salina yang sanggup menjadi bohsia walaupun watak itu negatif dari kaca mata umum.

Walaupun ada kata-kata sinis yang menuduh Syamsul hanya tahu mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Melayu khususnya, dia sendiri sudah bersedia dengan apa juga kritikan.

Baginya isu bohsia bukan satu perkara yang luar biasa sehingga perlu disorokkan. Bohsia merupakan isu masyarakat yang perlu dibendung dan ditangani dengan bijak.

"Saya tidak hanya memaparkan sisi gelap mereka semata-mata. Tapi cuba kita renungi apa sebenarnya yang menyebabkan mereka jadi seperti itu.

Bercerita mengenai sambutan pula, dia mengharapkan agar penonton dapat menerima mesej apa yang cuba untuk disampaikan dalam filem ini.

Walaupun filem pertamanya Evolusi KL Drift mendapat sambutan yang menggalakkan, dia sendiri masih gusar terhadap penerimaan peminat terhadap buah tangan terbarunya ini.

"Kejayaan masa lalu tidak menjanjikan kita kejayaan berterusan. Sebab itu apa yang cuba saya sampaikan adalah jelas dan tidak membebankan penonton," tuturnya lagi.

Sinopsis Bohsia

Bohsia mengisahkan Amy dan Tasya, dua remaja yang menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman manusia berhati binatang. Tanpa pendidikan dan latar belakang keluarga yang sempurna, mereka terus memilih jalan hitam untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Amy tertekan dengan kehidupannya dan menjadi remaja yang liar dan agresif. Dia sering melakukan perkara mengikut perasaan dan Tasya pula terjebak dengan dunia rempit yang dipengaruhi oleh teman lelakinya.

Amy dan Tasya bukanlah kawan rapat kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Mereka mengharapkan perhatian daripada mat rempit untuk mengisi kekosongan.

Muz yang juga teman lelaki Tasya merupakan seorang pemuda yang suka cakap besar dan menimbulkan kekecohan apabila dia kalah dalam satu perlumbaan dengan Acai, teman lelaki Amy.

Cerita digarap dengan konflik yang berlaku di antara Amy dan bapanya Salleh, seorang kaki judi yang sering meminta wang daripada anaknya.

Pelbagai permasalahan sosial hari ini dijadikan plot cerita termasuklah watak Azam yang menjadi bapa ayam dan mahu menjadikan Amy sebagai pelacur. Imej bersih yang ditunjukkan oleh Azam mengaburi mata adiknya Aishah yang sedang dalam proses untuk mengenal hati budi Muz.

Apabila Tasya mengetahui kecurangan Muz dia membalas dendam dengan membiarkan dirinya ditiduri oleh Acai dan rakan-rakannya dan ini ditambah pula dengan rasa cemburu terhadap Amy.

Tasya akhirnya mati akibat mengambil dadah dan Muz pula menunjukkan identiti kepada Aishah yang dia juga sebenarnya adalah golongan mat rempit yang dibenci oleh Aishah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: