Sunday, April 26, 2009

Irwansyah selepas kecewa

TIGA tahun lalu, kisah cinta antara penyanyi dan pelakon remaja, Irwansyah dengan Acha Septriasa mendapat liputan meluas di kalangan media dua negara.

Pendek kata, di mana ada Acha pasti ada Irwan dan apa yang paling penting, hubungan mesra di antara merpati dua sejoli itu mendapat restu kedua ibu bapa mereka.

Bagaimanapun, kisah Romeo dan Juliet itu bernoktah awal tahun lalu dengan alasan duduk berjauhan menyebabkan hubungan yang dipertahankan selama dua tahun itu akhirnya berkecai.

Pelakon Love, Love is Cinta, 40 Hari Bangkitnya Pocong dan Heart ini juga tidak menolak kemungkinan sekiranya bekas kekasihnya mempunyai teman lain selepas dia belajar di Malaysia.

Lantas, gosip kononnya Irwansyah hendak membunuh diri akibat terlalu kecewa dengan perpisahan itu pula menular.

"Memang saya amat sedih dengan perpisahan itu. Tetapi rasa itu tidak pernah menyebabkan saya bertindak di luar jangkaan seperti membunuh diri. Saya masih waras..

"Sebenarnya saya terlalu sayangkan dia. Hidup saya kosong selepas perpisahan kami kerana ketiadaan Acha. Secara jujur, saya masih sayangkan dia sehingga hari ini," katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Jejaka ini menambah, "Saya tahu, kami mungkin tidak akan bersama. Cukuplah dengan apa yang saya lalui. Tapi apa yang pasti, saya tidak mahu ulangi rasa trauma itu."

Dalam pada itu, Irwansyah juga menyatakan minatnya untuk mencari teman hidup di kalangan wanita biasa yang mempunyai kriteria yang baik, memahami pekerjaannya sebagai artis dan boleh berdikari.

Mungkin kerana jiwa anak muda berusia 24 tahun itu terlalu rapuh dan mudah sensitif lantas menyerahkan urusan jodoh dirinya ditentukan sendiri oleh takdir dan waktu.

Katanya, itu sahaja cara untuk merawati lukanya dan tidak mahu terlalu gopoh untuk mempunyai teman istimewa buat seketika.

Sebulan selepas perpisahan, seluruh perhatian ditumpukan termasuk mencipta Lagu Untukmu yang dikatakan berkait rapat dengan perasaannya pada ketika itu.

"Ia dicipta sebelum perpisahan kami tetapi apabila setelah ia berlaku, secara tidak langsung ia ada hubung kait.

"Sekiranya Acha mendengar lagu itu saya berharap dia dapat menjaga dirinya dan berjaya dengan apa sahaja yang dia lakukan," ujarnya.

Berkonsepkan pop organik iaitu genre muzik lebih bertenaga, Soliter pasti dapat merungkai segala persoalan mengenai sejauh mana kemampuan dirinya bergelar bintang solo.

Soliter menampilkan kerjasama beberapa komposer terkenal seperti Melly Goeslow, Dewiq serta Opick.

Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam Soliter adalah Kutunggu Jandamu ciptaan Melly Goeslow, Jangan Menungguku (Sandy Canister & Pay & Egus Suhu); Wajahmu (Opick); Camelia (Dodhy - Kangen Band); Lagu Sedih (Melly Goeslow), Jangan Bohong (Jimmo & Melly Goeslow), Tinggalkan Aku (Dewiq), Cinta Lama Bersemi Kembali (Melly Goeslow) dan Tak Cinta Lagi (Alam Urbach).

"Soliter sudah terjual lebih 20,000 unit di Indonesia manakala muat turun nada dering bagi lagu Kutunggu Jandamu berjaya mencapai 500,000 langganan manakala lagu Camelia, 1 juta langganan," katanya.

Jelasnya, seluruh perhatian dan kehidupannya kini ditumpukan sepenuhnya bagi mempromosikan Soliter.

Anak kelahiran Jakarta, Indonesia itu juga sedang giat memperbaiki vokalnya dengan seorang guru vokal yang terkenal iaitu Dodi Katamsi agar kekuatan suaranya dipertingkatkan terutama semasa membuat persembahan langsung.

"Saya akui terdapat komen yang mengatakan suara saya tidak seberapa tetapi percayalah saya sendiri akan mengubahnya menjadi terbaik," jelas Irwan yang merupakan duta iklan untuk beberapa produk termasuk kesihatan di Indonesia.

Ditanya tentang kerjaya lakonannya, Irwansyah kini lebih bersifat selektif bagi memilih filem yang benar-benar dapat menonjolkan kelainan dirinya.

Katanya, di negara kelahirannya sekarang sedang hangat mempertontonkan filem atau drama televisyen berunsurkan seram dan seks, tetapi dia tidak berminat untuk berlakon untuk kedua-dua filem genre berkenaan.

Irwansyah juga baru menolak tawaran untuk berlakon dalam filem Sebelah Mata yang memerlukannya dirinya untuk membotakkan kepala bagi watak seorang peninju.

"Saya juga teringin untuk mempunyai kumpulan muzik sendiri setelah mengikuti latihan bersama band adik saya iaitu Lexa.

"Hafiz Fathur pandai bermain gitar dan sering menjadi pemuzik iringan semasa mengadakan persembahan di sekitar Jakarta," katanya yang berminat menceburkan diri dalam bidang politik ini.

Bercerita lanjut tentang dirinya yang bertanding pada Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia yang baru sahaja dilangsungkan baru-baru ini, Irwansyah mengatakan ia merupakan satu pengalaman yang sangat berguna.

Jejaka yang tingginya 177 sentimeter yang bertanding atas tiket Parti Indonesia Sejahtera untuk daerah Solo itu mendapat 50,000 undian dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun, sokongan yang didapatinya semakin lama semakin merosot dan dia sendiri tidak mengetahui apa puncanya.

"Saya menggunakan duit saya berjumlah RM20,000 (Rp50 juta) untuk berkempen dan kelengkapan untuk pilihan raya itu.

"Manifesto Pemilu ketika itu adalah memperjuangkan kebajikan anak muda dan mengajak mereka bersama ke arah melakukan sesuatu yang baik dalam hidup," kata artis berbintang Pisces ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: