|
|
SIKAP saling percaya menjadi rahsia kebahagian pasangan pelakon, Kenchana Dewi, 36 dan suaminya, P Gunasegaran, 48, selepas 18 tahun berkahwin. |
Biarpun sebelum ini ramai yang tidak menyangka Kenchana atau nama sebenarnya S Kanjana Devi sudah berkahwin selain mempunyai tiga anak yang meningkat dewasa. Mungkin disebabkan perwatakan Kenchana seperti gadis remaja yang mesra dan sentiasa ceria membuatkannya sentiasa disenangi.
Menyedari situasi itu, Kenchana membuat pengakuan tidak pernah menyorok statusnya sebagai isteri dan ibu kepada G Patkieswaran, 16, Tashvetha Devi, 7 dan Mishalin Devi, 6. Malah Kenchana kerap meluangkan masa dan bersiar-siar bersama keluarga ketika waktu lapang.
“Saya tidak pernah menyorok status sebagai isteri atau ibu. Saya sentiasa menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai keluarga ketika memenuhi undangan menjayakan temu bual dan sesi fotografi bersama pihak media terutama ketika perayaan Deepavali. Tidak timbul langsung soal menyembunyikan status saya.
“Mungkin ada segelintir peminat yang tidak dapat menerima hakikat apabila melihat perwatakan menerusi drama saya. Sikap ceria dengan watak seorang wanita kecoh cukup sinonim dengan saya.
“Bagaimanapun, saya bangga kerana kebanyakan peminat sudah mengikut cara penampilan saya dalam drama yang kelihatan lebih muda daripada usia,” katanya.
Kenchana yang popular menerusi drama bersiri Puteri, Spa Q (TV3), Dari Mata Arisa dan Angelina (RTM) ditemui ketika menjadi tetamu untuk program bual bicara, Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 jam 3.05 petang dari Studio IBC, Angkasapuri baru-baru ini.
Program yang disiarkan setiap Rabu menampilkan pengacara, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau Scha membawa penonton mengupas kehidupan sisi rumah tangga selebriti popular tanah air. Sepanjang Mac, empat pasangan artis menjadi pilihan menjayakan program ini bermula komposer Edrie Hashim dan Pat, Sharifah Sahorah dan Raja Mukhriz, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestary serta Kencana dan Gunasegaran.
Bercerita mengenai detik perkenalan bersama suami yang bertugas sebagai Pengarah Urusan PTM Lighting Design itu, Kenchana berkata, mereka mula berkenalan ketika remaja apabila apabila sama-sama menggunakan bas mini untuk pulang ke rumah selepas waktu kerja.
Ketika itu Kenchana berusia 18 tahun dan perkenalan singkat itu membawa mereka ke gerbang perkahwinan pada 1992.
Akui Kenchana, walaupun nampak ceria dia sebenarnya jenis wanita yang garang memandangkan ketika waktu remaja dulu abangnya berkhidmat dalam tentera secara tidak langsung mereka adik-beradik turut terpengaruh dengan disiplin dan ketegasannya.
“Ketika itu saya sudah mula terbabit dalam dunia seni sebagai penari lagu tradisi masyarakat India. Saya dan suami tidak mengambil masa yang lama untuk berkenalan. Selepas setahun mengenal hati budi, saya mencabar dia untuk bertemu keluarga dan masuk meminang.
“Saya sendiri tidak menyangka gurau itu diambil serius olehnya. Wakil keluarga pihak lelaki datang ke rumah saya dan menetapkan tarikh perkahwinan kami.
“Suami dan keluarga sememangnya memahami minat saya. Mereka tidak pernah menghalang pembabitan saya dalam dunia seni malah memberi galakan dan dorongan kepada saya untuk berjaya dalam bidang ini walaupun selepas bergelar isteri dan ibu kepada tiga anak,” katanya.
Sikap bertolak ansur suami yang sentiasa mengambil berat keperluan anak-anak membuatkan Kenchana tidak berdepan banyak masalah apabila terbabit dalam penggambaran di luar Lembah Klang.
Bakat seni Kenchana turut diwarisi dua anaknya, Patkieswaran dan Tashvetha yang mula berjinak-jinak dalam iklan komersial dan drama.
Malah Kenchana juga bakal digandingkan bersama anak sulungnya dalam drama bersiri terbarunya, JRA 1975 terbitan Nusantara Seni Karya Sdn Bhd untuk siaran Astro. Drama arahan Dinesh Samby turut menampilkan lakonan Datuk Jalaluddin Hassan, Shahrudin Thamby, Buzen dan Badrul Muhayat memaparkan kisah benar yang berlaku di Malaysia pada 1975.
Selain itu, Kenchana membawa watak Shanti akan menjalani penggambaran drama 13 episod, Angelina terbitan Unit Drama RTM disusuli penggambaran sitkom Puteri untuk musim ke-11 pada Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: