|
|
JIKA dulu tanggungjawab isteri hanya di rumah menguruskan makan, minum dan pakaian suami serta anak, tetapi zaman berubah apabila kini menyaksikan ramai wanita berperanan penting untuk menampung pendapatan keluarga. Golongan hawa ini tidak lagi terikat dengan persepsi masyarakat dulu yang mahu isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. |
Bagi penyampai radio popular Hot FM, Nik Nur Azura Nik Mahmood atau Azura, dia percaya suami dan isteri pada masa kini perlu keluar bekerja mencari pendapatan supaya kehidupan pada masa akan datang bertambah baik. Biarpun sibuk bekerja, dia sentiasa memastikan tanggungjawab terhadap suami tidak dilupakan.
Azura yang mendirikan rumah tangga dengan Pegawai Eksekutif Penjenamaan TV3, Shaffique Ahmad Zehnun sejak lapan bulan lalu, berkata kehidupan yang dilalui selepas berkahwin tambah stabil walaupun ada ketika dia tidak mempunyai masa yang cukup bersama suami di rumah. Katanya, tanggungjawab sebagai isteri bekerja memberi banyak cabaran khusus dari aspek pengurusan masa.
Mengenai komitmen terhadap kerja, dia mengakui tugas yang dipikul makin bertambah selepas diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik sejak setahun lalu. Berbanding dengan tugas sebelum ini, fokus kerjanya kini lebih tertumpu pada kerja belakang tabir dan pengurusan operasi radio. Ini bermakna, suaranya jarang ke udara sebaliknya banyak menghabiskan masa menyiapkan jadual harian penyampai lain.
"Boleh dikatakan kehidupan saya selepas berkahwin bertambah sibuk sama ada di pejabat mahupun di rumah. Disebabkan sibuk bekerja, ada ketika masa untuk bersama suami dan keluarga terbatas. Selalunya saya hanya berkesempatan bersama suami selepas habis waktu bekerja dan cuti hujung minggu.
"Walaupun waktu kerja saya sepatutnya jam 9 pagi hingga 6 petang, tetapi ada ketika, saya perlu kerja lebih masa seperti pada Jumaat kerana saya perlu membuat persiapan jadual lagu untuk diputarkan pada Sabtu, Ahad dan Isnin. Malah, saya terpaksa berkorban masa untuk kerja pada Sabtu untuk mengendalikan program Hot FM Yang Keren bersama Anne yang ke udara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
"Bagaimanapun, saya tetap ambil positif atas apa yang saya lalui. Dari aspek kerja, saya mula berasakan kemahiran komunikasi diri meningkat apabila kini kerap bertemu dengan ramai pelanggan Hot FM termasuk pegawai perhubungan awam dari syarikat rakaman yang mahu mempromosikan lagu baru artis mereka.
"Dalam pada itu, saya juga semakin memahami selok- belok bagaimana stesen radio beroperasi dan mengapa sesebuah lagu itu kerap diputarkan. Untuk pengetahuan, lagu yang kerap diputarkan adalah berdasarkan faktor lagu itu hits dan mendapat banyak permintaan daripada pendengar.
"Dalam kesibukan bekerja, ada ketika saya mengakui berasa tertekan dengan tugas baru ini kerana kurang memberi tumpuan terhadap suami dan keluarga. Namun, ini tidak dijadikan alasan untuk mengalah sebaliknya saya tambah bersemangat untuk berhadapan dengan segala cabaran," katanya.
Kata Azura, persefahaman antara suami isteri sama ada mengenai soal kerja penting dalam mengekalkan kebahagiaan hidup berpanjangan. Sesibuk mana sekalipun, dia menyatakan suami dan keluarga adalah keutamaan.
"Selalunya selepas habis kerja jam 6 petang, saya akan terus balik ke rumah. Jika diikutkan masa untuk kami bersama agak terhad kerana saya juga kerja pada hari Sabtu. Bagaimanapun, saya berusaha gunakan masa yang terluang dengan sebaik mungkin khusus selepas habis waktu bekerja dan pada cuti hujung minggu.
"Sama ada suami atau isteri, masing-masing memerlukan masa untuk bersama. Ketika di rumah, masalah di pejabat perlu diketepikan. Dalam menjalani kehidupan bersama, saya tidak nafikan kami juga berdepan dengan salah faham, tetapi itu adalah lumrah kehidupan yang berlaku pada setiap keluarga.
"Saya sendiri faham apabila suami perlukan perhatian isteri terutama cuti hujung minggu. Bagi saya, suami isteri perlu tabah menghadapi pelbagai cabaran yang hadir dan berusaha menyelesaikan masalah dengan berbincang secara baik," katanya.
Masih mempelajari tanggungjawab menjadi isteri soleh, Azura juga menyatakan dia kini mengambil pil selera makan untuk menambah berat badan.
Katanya, penampilan diri perlu dijaga termasuk memastikan diri sendiri puas hati dengan apa yang dimiliki.
"Selepas sebulan saya mengambil pil berkenaan, nyata berat badan saya bertambah tiga kilogram. Sebelum ini, ramai kenalan yang ditemui berkata saya nampak terlalu kurus walaupun sebenarnya banyak makan.
"Apabila ramai yang asyik bertanya soalan sama, saya agak tertekan dan mengambil keputusan untuk mencuba pil itu.
"Mulanya saya bertemu dengan Selvana, ibu kepada pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie yang mengesyorkan sejenis pil untuk menambah selera makan. Memang tidak dinafikan selepas saya makan pil itu, selera makin bertambah hingga suami pula terkejut kerana saya makan banyak.
"Ketika ini, saya berasakan banyak lagi perkara yang perlu saya belajar dan terokai mengenai kehidupan berumah tangga mahupun di tempat kerja. Untuk kerjaya, saya mahu mahirkan diri dalam skop tugas yang dilakukan dan tidak ketepikan tanggungjawab sebagai isteri.
"Soal anak, buat masa ini saya fikir ia bukan masa sesuai untuk kami menimang cahaya mata. Perkahwinan kami hanya baru langkah pertama dan kami perlu banyak belajar soal menguruskan rumah tangga dengan lebih baik.
"Memandang kami berdua sentiasa sibuk bekerja, agak sukar jika mempunyai anak dalam masa terdekat ini. Biarlah kami habiskan masa berbulan madu lagi dan mungkin tahun depan, kami bersedia untuk mempunyai anak," katanya.
Profil:
NAMA: Nik Nor Azura Nik Mahmood
UMUR: 27 tahun
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1981
ASAL: Kuala Terengganu, Terengganu
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
KERJAYA: Pengarah Muzik, penyampai radio Hot FM dan pengacara Malaysia Hari Ini (MHI)
PROGRAM RADIO: Hot FM Yang Keren.
PROGRAM TV: Pop, Sukan Dot Com dan Zon Aktif
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: