Wednesday, April 1, 2009

Peluang promosi diri, album


SENARIO jualan album yang masih lembap membimbangkan artis tempatan untuk menghasilkan album baru. Biarpun kebanyakan syarikat rakaman lebih berani menerbitkan album kompilasi berbanding album lagu baru, beberapa penyanyi tetap bersemangat untuk terus berjuang.

Bagi Naib Juara Malaysian Idol musim kedua, Norhanita Hamzah atau Nita, dia turut merasai tempias hingga jualan album pertamanya yang lalu gagal.

Katanya, walaupun syarikat rakaman Suria Records atau SRC mengambil inisiatif melakukan pembungkusan semula album pertamanya dengan menyelitkan lagu baru, Dulu Kau Berjanji, selepas single Kusut dan Aku semata-mata sebagai strategi menembusi pasaran Indonesia, sebaliknya apa yang diharapkan masih tidak mampu melonjak namanya di negara seberang itu.

Kini selepas tiga tahun bernaung di bawah SRC, dia berasakan masanya sudah tiba untuk bergerak sendirian. Katanya, dia bebas untuk menentukan hala tuju sendiri selepas kontrak tamat Jun ini. Sebagai perancangan, dia masih mahu menghasilkan album baru pada masa akan datang.

“Saya bersyukur kerana masih mempunyai 8 Unit yang menguruskan aktiviti saya sehingga kini. Walaupun album pertama gagal, tetapi 8 Unit tetap membantu saya mencari peluang mengadakan persembahan. Melihat pada jualan album yang merudum, saya berpandangan artis tidak boleh bergantung kepada album untuk cari makan.

“Sebelum ini saya pernah menyanyi di kelab malam dan melihat artis mampu untuk terus hidup jika mendapat peluang mengadakan persembahan. Untuk album baru akan datang, saya akan pastikan lagu yang dimuatkan adalah yang terbaik dan bukan tangkap muat,” katanya.

Dalam pada itu, Nita menyatakan rasa gembira kerana meraih peluang mengadakan persembahan bersama Faizal Tahir untuk Minggu Setiausaha yang akan berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, 22 April depan, jam 8 malam. Acara anjuran Me & U Creative itu, membawakan tema hitam dan merah dan turut menampilkan Sharifah Shahirah sebagai pengacara majlis.

Kata Nita, persembahan ini adalah kali pertama yang diterima sejak bergelar penyanyi empat tahun lalu. Sungguhpun dia hanya menjadi penyanyi undangan di samping Faizal, tetapi dia tidak terkilan. Sambil berfikiran positif, dia menganggap persembahan ini sebagai peluangnya untuk mempromosi diri dan album pertamanya yang lalu.

“Saya menyertai bidang nyanyian kerana minat yang mendalam selain sokongan keluarga dan impian untuk mengasah bakat seni dalam diri. Mengenai gandingan bersama Faizal kali ini, saya berasa sangat betuah kerana tidak semua artis diberi peluang untuk mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha.

“Mungkin peluang terbabit dengan acara seperti ini, menjadi batu loncatan untuk saya perbaiki karier nyanyian saya selama ini,” katanya.



Bagi Faizal pula, dia bersemangat untuk menjayakan acara ini yang kedua selepas terbabit bersama Anita Sarawak atau Kak Nita pada 7 April bertempat di Pusat Konvensyen Sime Darby. Untuk persembahan kedua, Faizal dijangka menyampaikan lapan lagu manakala Nita tiga lagu. Mereka turut berduet sebuah lagu. Bagaimanapun, mereka masih memilih lagu yang sesuai untuk persembahan pada malam itu nanti.



“Persembahan kedua ini suatu yang berbeza kerana saya menjadi artis utama untuk acara ini. Antara dua acara untuk Minggu Setiausaha yang akan saya jayakan, tentunya perasaan saya lebih gemuruh untuk persembahan pertama kerana saya bergandingan dengan Kak Nita yang juga seorang legenda.

“Memandangkan tetamu yang hadir sanggup bayar untuk menonton persembahan saya menerusi acara ini, saya mahu mereka puas hati dengan apa yang ditonton. Saya fikir persembahan seperti ini perlu diselitkan dengan permainan supaya tambah menarik dan menghiburkan tetamu,” katanya.

Pengurus Projek, Me & U Creative, Karyah Ezanafitri Karim pula berkata, penganjur berkeyakinan dua penyanyi ini dapat menarik perhatian ramai memeriahkan acara sempena Minggu Setiausaha kali ini. Katanya, populariti Faizal dan Nita masih diminati ramai peminat yang mahu menyaksikan persembahan dua penyanyi ini dengan lebih dekat serta secara eksklusif.

“Faizal dan Nita mempunyai keserasian untuk menghiburkan tetamu pada acara ini. Kami menjangkakan 1,000 tetamu akan hadir pada persembahan malam itu nanti dan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah menanti tetamu antaranya dua tiket penerbangan ke mana-mana di Asia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: