Walaupun tahap literasi dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat, namun bahan bacaan mereka masih terarah kepada bahan bacaan ringan.
|
|
PENERBITAN ilmiah sebagai salah satu komponen industri bahan penerbitan buku atau majalah negara adalah satu sumbangan terbesar kepada usaha-usaha mencerdaskan dan meningkatkan intelektual bangsa.
Tahap pembacaan dan literasi sesebuah negara juga diukur melalui kemajuan industri penerbitan bahan bacaan yang berlangsung dalam negara tersebut.
Namun, dalam konteks Malaysia, penerbitan belum lagi dianggap sebagai sebuah industri yang besar. Ia hanya disifatkan sebagai industri sosial/budaya dan sifatnya masih lagi industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam hal ini, hanya penerbitan buku-buku teks sekolah yang boleh dikira membawa pulangan besar kepada para penerbit.
Buku-buku umum, apatah lagi buku pengajian tinggi dan buku-buku ilmiah amat sukar untuk membawa pulangan yang besar kepada penulis dan penerbit.
Hasrom Haron (1994), menyifatkan penerbitan ilmiah merupakan satu bidang yang tidak membuat untung. Penerbitan ilmiah lebih mementingkan kemajuan di perbatasan ilmu pengetahuan dan adakalanya melupakan hal pasaran dan ekonomi.
Pada umumnya, penerbit buku/jurnal ilmiah di Malaysia dibahagikan kepada lima kategori iaitu penerbit universiti, institusi penyelidikan, yayasan dan persatuan, penerbit swasta dan penerbit kerajaan (Dewan Bahasa & Pustaka, jabatan serta agensi kerajaan).
Menurut Hasrom lagi, penerbitan ilmiah di Malaysia sebenarnya menghadapi masalah yang lebih besar lagi iaitu melibatkan keperluan membina penerbitan ilmiah pribumi atau penerbitan ilmiah Malaysiana dalam bahasa Melayu.
Keadaan ini menjadi lagi sukar kerana pengaruh bahasa Inggeris yang kuat dalam semua hal terutama dalam komuniti akademi Malaysia.
Masalah ini semakin kompleks kerana wujudnya dilema dalam mencari keuntungan dan dalam masa yang sama, cuba memenuhi obligasi sosial kepada masyarakat dan negara.
Hal ini cukup ketara dalam penerbitan buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi serta bidang perubatan. Pembangunan penerbitan dalam bidang itu amat penting bagi sistem pendidikan tinggi tempatan supaya kita tidak lagi bergantung hampir keseluruhan pada buku-buku teks dari Barat.
Dalam hubungan ini, Datuk Dr. Hassan Ahmad (1997) pernah menyarankan agar ahli akademik menulis buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu bagi membina korpus ilmiah Malaysiana.
Alasan yang sering dikemukakan adalah buku dalam bahasa Melayu amat terhad sifatnya kerana kekurangan istilah dan kosa kata, sedangkan mereka sendiri tidak mempunyai tanggungjawab untuk membetulkannya.
Akhirnya, banyak buku pengajian tinggi diterjemahkan dari bahasa Inggeris dan bukannya membanyakkan ke dalam bahasa Melayu. Mungkin itulah cara penyelesaian yang paling segera dalam menyelesaikan masalah buku-buku pengajian tinggi dan buku-buku ilmiah di Malaysia.
Namun, kesan buruknya adalah kita tidak memberikan perhatian yang cukup kepada usaha membina korpus ilmiah menurut acuan kita sendiri.
Apakah minat membaca rakyat Malaysia hanya tertumpu pada bahan bacaan ringan atau semi serius. Dalam hal ini, penulis tertarik kepada usaha Jostin Gaarder yang mampu menulis sebuah buku Sophie's World, yang merupakan sebuah novel falsafah yang mengungkapkan hal-hal kefalsafahan.
Ilmu falsafah sering dianggap berat tetapi dipermudahkan dalam bentuk novel dan akhirnya menjadi best-seller termasyhur di dunia.
Sebetulnya para penerbit buku ilmiah di Malaysia harus lebih kreatif dan tidak mudah mengalah pada pasaran yang hanya inginkan buku-buku popular tetapi hampas dari segi kesan intelektualnya, mahupun meningkatkan ketajaman pemikiran.
Hal-hal yang hampir sama juga berlaku kepada penerbitan jurnal ilmiah di Malaysia. Rata-rata jurnal ilmiah di Malaysia bersifat khusus dalam sesuatu bidang dan teknikal sifatnya.
Menurut Md. Sidin Ahmad Ishak dalam buku Penerbitan Jurnal ilmiah di Malaysia (1997), terdapat lebih kurang 229 terbitan berkala yang dapat digolongkan sebagai jurnal akademik dan ilmiah.
Namun begitu, mungkin angka ini tidak begitu tepat kerana ada kemungkinan jurnal-jurnal yang telah 'mati' atau tiada dalam pasaran atau tidak muncul lagi dalam jangka masa beberapa tahun.
Ada juga yang diterbitkan buat kali pertama dan kali terakhir. Daripada jumlah ini, sebanyak 59 peratus adalah jurnal dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial dan 40 peratus lagi adalah berkaitan jurnal dalam bidang sains, teknikal dan perubatan.
Barangkali, jurnal Pemikir terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., merupakan satu-satunya jurnal ilmiah yang bersifat umum dan komersial yang masih lagi bertahan di pasaran.
Pada hemat penulis, nasib masa depan penerbitan ilmiah di Malaysia masih berada dalam tahap yang tidak jelas dan tidak menentu hala tujunya. Ini disebabkan kita tidak mewarisi suatu tradisi penerbitan ilmiah yang mantap yang amat berkait rapat dengan tradisi ilmu dan intelektual serta budaya membaca yang tinggi.
Apatah lagi arah penerbitan ilmiah di Malaysia sering diganggu dengan segala dasar dan polisi yang berubah-ubah dan kacau-bilau sifatnya sehingga pada akhirnya sifat 'nasionalisme' dan jati diri yang harus mewarnai kemapanan tradisi penerbitan ilmiah di Malaysia turut terkorban.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: