Sunday, April 26, 2009

Juliana lebih fokus


LANGKAHNYA dalam dunia lakonan baru saja bermula. Sedang namanya mula meniti di bibir peminat dan pengarah tempatan, kerjaya Juliana Evans dilihat semakin suram. Dalam drama mahupun telefilem, wajah gadis ini tidak semeriah dulu menyerikan kaca TV.

Begitupun, gadis berusia 20 tahun ini punya kehendak sendiri. Katanya, buat masa ini biar tumpuannya diberi terhadap pelajaran dulu.

“Saya tidak mengetepikan dunia lakonan dan pengacaraan. Cuma buat sementara waktu, saya lebih fokus terhadap pelajaran. Jika dulu saya mengambil diploma dalam jurusan Komunikasi dan Pengajian Media, kini saya sambung ke peringkat ijazah pula.

“Buat masa ini saya hanya menerima tawaran berlakon dan pengacaraan jika punya waktu terluang atau ketika cuti. Sekurang-kurangnya kerjaya seni saya masih berjalan,” katanya.

Melihat hasil kerjanya dalam bidang lakonan dan pengacaraan, nyata gadis ini lebih menyerlah bergelar pengacara. Malah, Juliana juga tidak menafikan dia lebih tertarik untuk mengacarakan program sendiri.

“Dunia lakonan yang baru saya ceburi ini berbeza dengan bidang pengacaraan dan komersial. Namun semua itu memberi pengajaran kepada saya.

“Saya juga tidak menafikan dunia lakonan bidang yang menyeronokkan. Walaupun sebelum ini saya bergelar pengacara dan model, berlakon memberi cabaran dan pengalaman baru yang nyata mematangkan karier saya.

“Pun begitu, kerjaya sebagai anak seni sekadar memenuhi minat untuk mengembangkan bakat yang ada. Saya masih lagi pelajar dan ia membataskan saya untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam bidang ini,” katanya.

Tambah gadis ini, sebagai anak seni dia tidak mahu memilih. Kalau boleh, beri dia peluang untuk mencuba semua bidang yang ada dalam industri ini.

“Saya mahu bergelar artis versatil. Sekurang-kurangnya saya dapat mengasah bakat dalam semua bidang. Begitupun selepas bergelar pelakon, saya menyedari minat lebih menjurus kepada pengacaraan.



“Bagi saya, pengacaraan membolehkan saya menjadi diri sendiri. Berbeza dengan lakonan, saya terpaksa mengikut watak diberi.

“Namun jangan salah sangka. Setiap orang ada minat sendiri. Walaupun menggemari bidang ini, saya tidak akan ketepikan lakonan dan model,” katanya.

Mengimbau sejarah lalu anak gadis berdarah kacukan Inggeris dan Melayu ini, kerjaya seninya bermula sebagai model komersial. Kebetulan ibunya pernah bekerja dengan sebuah syarikat produksi, peluangnya lebih mudah.

“Jika diikutkan, saya mula aktif sebagai model ketika berumur 11 tahun. Sejak kecil, ibu bapa mendidik saya cara untuk bergaya di depan kamera. Ia satu kelebihan.

“Dari situ, minat dalam bidang seni ini semakin mendalam. Lebih menarik, keluarga turut memberi galakan, malah gembira melihat anak mereka menceburi bidang ini.

“Sebab itu saya mahu mencuba semua bidang berkaitan seni. Bukan tamak, sebaliknya saya mahu keluarga turut sama berbangga menerusi pencapaian saya. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya dapat membina karier sebagai anak seni pada usia muda,” katanya.

Dalam kesibukan memperoleh segulung ijazah, Juliana masih sempat membintangi beberapa drama tempatan, antaranya Rosli Dobi untuk tayangan Astro Ria dan terbaru Ghost yang kini ditayangkan di 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: